• Selamat tinggal kanser Wan Arif menunjukkan kesan pembedahan di kaki kirinya yang sudah pulih.
  • Selamat tinggal kanser Semakin ceria... Wan Arif ditemani ibu bapa dan adik perempuannya berkunjung ke Pejabat Sinar Harian.
1 /

“Abang dah sembuh, terima kasih semua.” Itu ayat pertama yang dikeluarkan penghidap kanser tulang, Wan Arif Ferdaus Wan Ahmad Affendy sebaik melangkah masuk ke Pejabat Sinar Harian, Ipoh, Perak.

Ditemani ibu bapa dan adik perempuannya, Wan Arif, 9, yang selamat menjalani pembedahan pertama di bahagian kaki kirinya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, Julai lalu kelihatan ceria dan bersemangat.

Mengakui kini dirinya semakin sihat, Wan Arif berkata, dia mahu berkongsi rasa gembiranya bersama rakyat Malaysia yang banyak menghulurkan sumbangan dan mendoakan kesihatannya sejak kali pertama kisah hidupnya disiarkan media, April lalu.

“Sekarang abang dah boleh buat banyak benda, pakai baju sendiri, makan sendiri, kadang-kadang boleh main lawan-lawan dengan adik.

“Abang tak sangka dapat sihat secepat ini, apa-apa pun terima kasih semua yang doakan dan bagi duit supaya pembedahan berjalan lancar, hanya ALLAH dapat membalasnya,” katanya.

Wan Arif kini disahkan sembuh hampir 100 peratus apabila pemeriksaan kali terakhir di PPUM, 6 Januari lalu menunjukkan perkembangan positif yang mana gerakan tulang di kaki kirinya sudah menyamai kaki kanan.

Daripada pemeriksaan yang dijalankan juga mendapati, sel kanser yang terdapat di kaki kiri murid Sekolah Kebangsaan (SK) Toh Indera Wangsa Ahmad, Batu Gajah itu telah hilang.

Dengan perkembangan itu, Wan Arif mengakui sudah tidak sabar mahu meneruskan sesi persekolahannya yang dijangka dapat dimulakan, April ini.
“Dah lama sangat abang tak ke sekolah, rindu cikgu, rindu kawan-kawan,” katanya.

Sebelum pembedahan, tubuh kecil Wan Arif ini pernah menerima suntikan granulocyte-colony stimulating factor (GCSF) di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh dan menjalani imbasan magnetik resonan (MRI) serta melakukan kemoterapi hampir enam kali di PPUM.

Terharu sumbangan orang ramai

Paling gembira dengan perkembangan itu pastinya ibu bapa Wan Arif yang menyifatkan ia sebagai anugerah paling bernilai bagi menghadapi tahun baru yang lebih bermakna.

Ibunya, Zetty Ramli, 29, berkata, keprihatinan rakyat Malaysia menjadikan proses pembedahan dan rawatan anak sulung daripada tiga beradik itu berjalan lancar.

Malah, katanya, sejak tabung kutipan Sinar di Hati dilancarkan, April 2011, sumbangan yang diterima tidak putus-putus menyebabkan keperluan kos pembedahan yang diperlukan sebanyak RM80,000 dapat dikumpulkan hanya dalam tempoh kurang sebulan.

“Bukan sahaja orang persendirian, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti kelab dan persatuan juga seakan-akan mengerti keperitan yang dihadapi abang.

“Ketulusan Kerajaan Negeri Perak menyumbang RM30,000 kepada kami juga sebagai rahmat besar apabila dengan wang berkenaan, pembedahan abang dapat dilakukan awal,” katanya. Sinar Harian yang mengikuti kisah hidup Wan Arif sejak awal turut gembira dengan perkembangan itu.

Boleh bermain, ketawa

Zetty berkata, anaknya itu kini semakin bijak berdikari dengan memilih untuk menguruskan keperluan diri sendiri. Ada ketikanya, Wan Arif yang masih memerlukan tongkat untuk berjalan mahu mandi bersendirian dan memakai pakaian sendiri.

“Mula-mula risau juga, takut terjatuh atau sebagainya, namun lama-kelamaan kami faham, dia mahu cuba untuk berdikari, mungkin dah bosan sebab selama ini semua keperluan dirinya diuruskan,” katanya.

Zetty berkata, paling ketara ketika ini apabila Wan Arif boleh bermain dan bergurau bersama dua adiknya, Wan Batrisya, 6, dan Wan Adib, 3.

“Saya pasti dia sudah tidak sabar mahu bermain dengan kawan-kawannya pula, Insya-ALLAH, kalau tiada apa-apa komplikasi, abang sudah boleh bersekolah paling awal April ini,” katanya.

Meskipun ketinggalan sesi pembelajaran agak lama, Wan Arif tidak pernah melupakan buku pelajarannya apabila sering mencuri masa membaca dan membuat latihan. Kali terakhir Wan Arif ke sekolah, April lalu.

Jika sebelum ini keluarga berkenaan terpaksa berkampung di Kuala Lumpur bagi memudahkan rawatan susulan dilakukan, kini rutin kehidupan mereka sudah kembali seperti biasa.

Bapa Wan Arif, Wan Ahmad Affendy Wan Mohd Yaakob, 34, berkata, dia sudah membawa keluarganya kembali menetap di rumah mereka di Kampung Sentang, Batu Gajah.

Menurutnya, kesihatan Wan Arif yang semakin baik menjadikan rutin harian mereka kembali normal. Mengakui belum mendapat pekerjaan tetap setelah mengambil keputusan berhenti kerja tahun lalu, Wan Ahmad dan isterinya menjadikan perniagaan menjual aiskrim goreng sebagai sumber pendapatan.

“Kami baru saja berjinak-jinak dalam perniagaan secara kecil-kecilan, sekurang-kurangnya boleh juga menampung keperluan keluarga, lagipun Wan Arif masih memerlukan rawatan susulan bagi memastikan dirinya benar-benar pulih,” katanya.