TANAH Melayu pada awalnya dipelopori golongan Bumiputera, tetapi tidak ramai tahu terutama generasi muda mengenai susur galur dan sejarah sesebuah tempat atau kampung wujud kerana kaum lain berhijrah ke negara ini.

Kampung-kampung di pedalaman dan terpencil kadang-kala mempunyai kisah tersendiri serta kedatangan kaum Cina serta India turut meninggalkan pembangunan serta manfaat untuk anak bangsa.

Bukan sahaja masyarakat luar, malah sebahagian besar penduduk di daerah ini tidak tahu sebenarnya sebuah kampung di Paka yang dikenali sebagai 'Santong' berasal daripada penghijrahan masyarakat Cina.

Sempena nama pasangan suami isteri

Bukan sebuah perkampungan popular tetapi perkembangan penempatan ini wajar dibanggakan kerana semakin lama pelbagai kemudahan tersedia.

Pengerusi Jawatankuasa dan Kemajuan Kampung (JKKK) Santong, Mohd Shafie Salleh berkata, Santong diambil sempena nama sepasang suami isteri berbangsa Cina iaitu Hoo Sang dan Kuang Tong.

Kedatangan suami isteri tersebut terlebih dahulu membuka penempatan sehinggalah sepasang suami isteri Melayu pula datang pada 1953.

“Pasangan Cina datang ke sini untuk bercucuk tanam termasuk mengusahakan tanaman getah.

“Sejak bila mereka mula meneroka kawasan ini tidak dapat dipastikan dan nama kampung ini diambil sempena nama mereka.

“Kedatangan suami isteri Melayu, Salleh Mamat dan Fatimah Mamat yang juga arwah ibu dan ayah saya adalah untuk bekerja di ladang getah 100 peratus milik kaum Cina,” katanya.

Beliau berkata, ketika itu tiada sebarang kemudahan dan untuk sampai ke Santong perlu menaiki sampan kerana masih tiada jalan darat.

“Ketika itu tauke-tauke Cina membina rumah kongsi untuk pekerja dan segala hasil getah akan dijual ke Paka melalui Sungai Santong sejauh sembilan kilometer.

“Ketika itu terdapat 20 pasangan suami isteri berbangsa Melayu yang bekerja dan selepas merdeka kehadiran orang Melayu semakin bertambah lebih kurang 20 pasangan lagi,” katanya.

Bermulanya pembangunan di Santong

Pada 1959, Sultan Terengganu telah melantik Salleh sebagai ketua kampung dan ketika itu mereka masih tinggal di rumah kongsi.

“Pada 1961, Salleh memohon kepada pejabat tanah untuk mendapatkan 20.2 hektar tanah untuk penempatan baharu dan telah diluluskan.

“Tanah tersebut dibahagikan kepada 60 lot untuk 60 peserta dan pada 1993 kawasan tersebut ditebas hanya menggunakan kapak serta bukan kerja mudah kerana pokok-pokok kayu terlalu besar.

“Pada 1964, Salleh dan penduduk mula membina rumah di penempatan baharu menggunakan kayu hutan," katanya.

Pembinaan jalan darat mula dibuat dari simpang Paka ke Kampung Santong dan pada 1968 sebuah sekolah siap dibina di penempatan itu.

Kepimpinan diwarisi

Kata pewaris kepimpinan kampung tradisi itu, tahun 2000 turut mencetuskan pelbagai kemajuan di penempatan itu dan beliau pula dilantik sebagai ketua kampung.

“Pada 15 Jun 2002, Salleh telah kembali ke rahmatullah," katanya.

Jelasnya, sehingga 2015 terdapat seramai 756 penduduk di Santong dan bertambah dari semasa ke semasa.