Ada berpendapat wanita paling cantik di dunia boleh ditemui di Kashmir, kononnya melihat warna mata mereka sahaja sudah cukup menggoda.

Betul atau tidak, saya tidak pernah ke Kashmir apatah lagi melihat wanita mendiami pergunungan Himalaya itu.

Namun, nama Himalaya itulah yang menggamit keinginan saya untuk pertama kali membeli produk penjagaan peribadinya. mungkin disebabkan saya terbayang-bayangkan kecantikan semula jadi pergunungan Himalaya.

Tertanya-tanya juga gerangan tuan punya idea yang mengambil nama gunung itu untuk menamakan produk farmaseutikal dan penjagaan peribadi.

Cuma, hati saya masih bimbang. Sebagai seorang Islam saya mahu produk digunakan itu halal dan suci. Adakah pekerja di Himalaya tahu apa makna halal dan suci itu?
 

Pengasas rupanya seorang Muslim

Seperti sudah ditakdirkan, ALLAH SWT ‘menjawab’ pertanyaan saya itu apabila syarikat berkenaan terbuka hati membawa sekumpulan wartawan ke Bangalore, India untuk melihat operasi syarikat dan penghasilan produk berkenaan baru-baru ini.

Rezeki nampaknya berpihak kepada saya untuk mengenali pengasas dan melihat sendiri penghasilan produk.

Saya boleh menarik nafas lega sebaik jejakkan kaki di kawasan kilang, pejabat dan pusat penyelidikannya yang terletak di dalam kawasan seluas 70,000 kaki persegi (kira-kira 6,500 meter persegi).

Hati makin teruja apabila mengetahui produk ini diasaskan oleh Mohamad Manal, iaitu seorang Muslim pada 1930. Beliau bagaimanapun sudah meninggal dunia dan syarikat ada lebih 3,300 kakitangan seluruh dunia itu kini diambil alih anaknya, Meraj Manal. Sebahagian besar perasaan was-was saya hilang ketika itu!


Ayurveda dibuktikan secara saintifik

Pertemuan dengan Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan Himalaya, Ramesh Surianarayanan membongkar sejarah yang mencetus idea pengasasnya untuk menggabungkan amalan perubatan tradisional ayurveda yang popular di India dengan sains.

“Sejak beribu tahun, masyarakat di India menggunakan pelbagai jenis tumbuhan dalam menangani masalah kesihatan. Tapi tidak pernah dibuktikan secara saintifik.

“Inilah dilakukan oleh Himalaya, iaitu membuktikan kebaikan ayurveda menggunakan kaedah saintifik. Setiap herba dikaji, iaitu bagaimana dan mengapa herba itu dapat memberi manfaat kepada manusia.

“Di Himalaya kita fokus kepada penyelidikan sehinggakan mempunyai kira-kira 200 saintis. Kita juga mengambil tempoh antara dua hingga lapan tahun untuk hasilkan sesuatu produk,” katanya.


Tidak guna base sumber petroleum

Penerangan umum itu menjadi makin jelas apabila diperincikan seorang wanita yang juga Saintis Kanan Penyelidikan Himalaya (Bahagian Produk Penjagaan Peribadi), Chandrika Mahendra.

Katanya, produk Himalaya berbeza dengan kebanyakan produk lain kerana formulasinya.

“Komponen tipikal untuk sesuatu produk kosmetik boleh dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu base dan ‘aktif’.

“Bahagian base sesuatu produk itu bertanggungjawab memuaskan deria pengguna, contohnya bau wangi produk itu. Bahan-bahan untuk memberikan buih juga termasuk dalam kategori base yang biasanya digunakan dalam syampu dan sabun.

“Kebanyakan produk komersil menggunakan base bersumberkan minyak petroleum. Penggunaan minyak petroleum ini ialah ia tidak boleh diperbaharui (non renewable) selain menghasilkan sisa bertoksik.

“Produk Himalaya adalah bebas minyak petroleum. Ia hanya menggunakan bahan-bahan ‘hijau’ yang selamat disebabkan molekulnya yang lebih natural atau alami,” katanya.

Beliau memberikan contoh penggunaan agen menghasilkan buih untuk syampu, sabun dan pencuci muka.

Katanya, kebanyakan jenama popular lain menggunakan bahan base Sodium Lauryl Ether Sulfate (SLS) dan Ammonium Lauryl Ether Sulfate (ALS) sebagai agen penghasilan buih.

“Bahan-bahan ini juga melalui proses guna sumber petroleum. Tetapi untuk Himalaya, kami guna agen ‘hijau’ iaitu bahan berasaskan tumbuhan bagi hasilkan buih untuk syampu, sabun dan pencuci muka. Malah untuk merapikan rambut, kami menggunakan kanji, bukan silikon seperti produk lain,” katanya.


Hanya pilih tumbuhan selamat, berkualiti

Saintis Utama, bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Himalaya, Dr R Govindarajan, turut memberi penekanan bahawa tidak semua tumbuhan itu selamat atau berkesan digunakan.

“Kosmetik semula jadi sering dikaitkan dengan tumbuh-tumbuhan kerana tidak ramai suka menggunakan produk berasaskan haiwan.

“Lagipun, manusia sejak berkurun dulu sudah menggunakan tumbuhan untuk mencantikkan diri. Kita percaya jika tumbuhan itu selamat dimakan, ia juga selamat digunakan pada kulit.

“Penggunaan tumbuhan juga selamat untuk alam sekitar. Cuma cabaran bagi kami di Himalaya ialah dalam memilih tumbuhan atau bahagian yang hanya selamat dan diperlukan.

“Kami mengekstrak bahan daripada pelbagai komponen tumbuhan seperti akar, daun, ubi, buah atau kulit untuk ambil bahan-bahan aktif diperlukan saja.

“Jadi untuk memastikan kualiti yang konsisten, kami amat menjaga cara penanaman tumbuhan dibuat, benih, tanah dan bila musim yang sesuai untuk menuai atau mengambil tumbuhan itu,” katanya.


Jenis-jenis produk Himalaya

Penerangan yang diberikan beberapa orang saintis di Himalaya sebelum dibawa melawat makmal penyelidikan, tempat formulasi, penyimpanan bahan mentah dan cara-cara produk dipek serta dibungkus, meyakinkan saya bahawa ia bukan calang-calang produk.

Kebersihan amat diutamakan. Malah percaya atau tidak, kakitangan juga tidak digalakkan membuat bising ketika bekerja!

Jadi tidak hairanlah jika Himalaya sekarang mempunyai lebih 250 produk yang boleh dibahagikan kepada tujuh kategori, iaitu farmaseutikal, penjagaan peribadi, penjagaan bayi, herba tulen, makanan, kesihatan umum dan tidak ketinggalan kesihatan haiwan. Ia boleh didapati di 65 negara, termasuk Malaysia.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SETIAP orang ada cara meraikan bulan kemerdekaan yang disambut setiap tahun.
  • DARI sudut sejarah, perkataan tengkolok atau destar tercatat dalam buku sejarah Melayu dan cerita penglipur lara. Walaupun kita tidak mengetahui secara tepat masa bangsa Melayu mula menggunakan tengkolok, namun hampir pasti usianya sama dengan usia bangsa itu sendiri.
  • DESTAR atau nama lain tengkolok, tanjak dan justar didefinasikan sebagai sejenis kain yang dipintal, diikat dan disolek sebagai lambang atau maruah orang Melayu.
  • KUANTAN - Insiden menimpa ibu, Mastamah Wartee, 72, yang terjatuh ketika turun dari bas sewaktu mengandungkannya mencetus nama yang diberikan kepada lelaki berusia 43 tahun ini.
  • BUDAYA Melayu lama harus ditonjolkan kembali termasuk dalam konteks mengekalkan pakaian tradisi lama. Itulah yang cuba dilakukan Persatuan Kebudayaan dan Muzik Melayu Nusantara Malaysia (Dendang Anak) Cawangan Perak dengan memperjuangkan tradisi lama Melayu melalui konsep pakaian dan persembahan mereka.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.