PENYELIDIK Australia telah menemui sejenis ubat yang berpotensi menterbalikkan kesan negatif obesiti maternal, lapor agensi berita China Xinhua.

Ubat itu, yang dinamakan NMN (nikotinamida mononukleotida), meningkatkan metabolisme tenaga dan mampu memberikan manfaat sama seperti senaman yang dilakukan bagi memerangi obesiti dalam kalangan bayi yang dilahirkan oleh ibu dengan berat badan berlebihan.

Saintis di Universiti New South Wales, Sydney (UNSW) telah menemui ubat itu semasa melakukan satu kajian terhadap tikus.

Ia menghasilkan keputusan ujian yang memberangsangkan dalam mengurangkan kesan metabolik negatif obesiti maternal terhadap anak.

"Terdapat banyak keterujaan untuk meningkatkan metabolisme secara farmakologi dalam pelbagai cara yang mungkin boleh membantu mereka yang obes," kata Margaret Morris, yang menerajui kajian itu dan merupakan Ketua Farmakologi Fakulti Sains Perubatan di universiti berkenaan pada Khamis.

"Penyelidikan terdahulu kami terhadap binatang menunjukkan bahawa tikus bunting dengan berat badan berlebihan lebih berkemungkinan mendapat anak yang berisiko mengalami obesiti pada masa akan datang. Kami juga mendapati bahawa senaman boleh menterbalikkan kebanyakan kesan negatif obesiti maternal."

Memandangkan ramai yang mendapati sukar untuk menjadualkan senaman dalam kehidupan mereka yang sibuk, atau tidak boleh berbuat demikian atas pelbagai sebab lain, pasukan penyelidik UNSW telah memutuskan untuk meneroka pendekatan alternatif bagi menangani isu kesihatan global ini yang semakin meningkat.

Dalam satu kenyataan, Morris berkata NMN digunakan kerana, seperti senaman, ia meningkatkan fungsi mitokondria, yang merupakan penjana kuasa dalam sel manusia dan menghasilkan tenaga.

Tikus betina yang induknya obes telah diberi makanan sama ada diet normal atau diet tinggi lemak serta diberikan latihan pengisar injakan selama sembilan minggu, atau NMN selama 18 hari.

Penyelidik mendapati kedua-dua rawatan telah mengurangkan kesan metabolik negatif obesiti maternal.

Kedua-dua rawatan telah mengurangkan lemak badan dan menyebabkan peningkatan dalam toleransi glukos serta bertindak sebagai penanda fungsi mitokondria.

"Apa yang benar-benar menggalakkan mengenai penemuan kami ialah rawatan jangka pendek NMN ke atas binatang yang induknya obes mempunyai manfaat yang sama seperti adik-beradik mereka yang melakukan latihan," kata Morris.

"Kajian kami memberikan harapan bahawa kita mungkin mempunyai pendekatan lain untuk mencegah obesiti dalam kalangan kanak-kanak yang mempunyai ibu berlebihan berat badan."

Kajian ini telah disiarkan di jurnal dalam talian iaitu Scientific Reports. Penyelidikan susulan akan mengkaji sama ada ubat ini mempunyai sebarang kesan toksik atau kesan negatif yang lain. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MASALAH obesiti di kalangan kanak-kanak di seluruh dunia bertambah empat kali ganda sejak empat dekad lalu.
  • KUALA LUMPUR - "Naura pasti menangis dan merayu-rayu jika saya tidak berikannya nasi, sedih dan tidak sanggup mendengar rengekannya," luahan rasa Nan Zakiah Megat Ibrahim, 31, yang berdepan masalah obesiti anaknya.
  • PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) mengesa semua negara supaya mula mengenakkan cukai ke atas minuman bergula dalam usaha memerangi masalah obesiti.‎
  • UNTUK menurunkan berat badan, memang benar tenaga (kalori) yang meninggalkan tubuh harus lebih tinggi berbanding dengan tenaga yang masuk ke dalamnya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.