SIAPA sangka tanaman rozel yang diusahakan sejak hampir 10 tahun lalu di Kampung Tebu Hitam, di sini, melalui kaedah tanaman secara berkelompok berjaya menembusi pasaran luar negara selepas mendapat permintaan di Australia.

Tanah yang diusahakan sekitar seekar seorang melibatkan 26 peserta itu turut mendapat kerjasama daripada beberapa agensi pertanian termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Rompin sebelum potensinya dikenalpasti.

Mungkin ada yang pernah merasai kelazatan air sirap rozel, sebenarnya ia juga boleh menjadi bahan menghasilkan produk lain seperti jem roti dan ada juga yang mengatakan kini ia mampu mencegah kanser dengan membuat air tanpa gula.

Ketua Kelompok Pertanian Rozel Tebu Hitam, Zainab Ali, 58, berkata, sebelum menyertainya dia tidak percaya bahawa hasil tanaman itu akan berjaya berbanding dengan pekerjaan pertanian lain yang pernah diceburi sebelum ini seperti menanam padi, tembakau dan sebagainya.

Menurutnya, bukan sekadar mengeluarkan hasil yang banyak dan berkualiti, sudah tentu kejayaan yang tidak pernah disangka oleh semua peserta adalah ia turut dieksport ke Australia.

Katanya, ia sekali gus meningkatkan semangat peserta untuk terus menanam sekali gus menghasilkan buah dengan kualiti gred yang terbaik.

"Sudah tentu la kami rasa bangga, buah rozel dari kampung ini dieksport ke luar negara dan ia digunakan oleh orang luar dalam masa sama ia bagaikan satu pengiktirafan kepada hasil pertanian negara sekali gus membuktikan produk kita bagus serta menarik.

"Saya difahamkan negara yang mengimport buah rozel ini adalah Australia dan negara itu mahukan yang gred A, buah ini ada pelbagai kegunaan dan antaranya ialah sebagai hiasan pada cawan minuman di sana," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau yang merupakan suri rumah sepenuh masa itu berkata, dalam seminggu sebanyak dua kali sesi memetik buah rozel akan dilakukan iaitu pada hari Isnin dan Rabu yang akan terus diambil oleh Fama untuk dihantar ke kilang berkenaan.

Menurutnya, ia mampu menjana pendapatan sekitar RM150 seminggu dan pernah mencecah RM300 hingga RM400 seminggu pada musim buah menjadi.

“Selain menjadi sumber pendapatan peserta, ia juga menyumbang kepada peluang pekerjaan sambilan kepada penduduk kampung lain yang mengambil upah untuk membuang biji serta memetik dengan bayaran upah berpatutan," katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi peserta, Rokiah Kassim, 61, berkata, setakat ini mereka hanya bertani dan memasarkan buah rozel namun belum mempunyai kemahiran atau kepakaran untuk menjadikan ia produk makanan.

“Kami berminat untuk memproses sendiri buah rozel untuk dijadikan sirap, jem roti dan sebagainya namun belum mempunyai kemahiran serta tidak memiliki peralatan berkaitan seperti mesin atau bahan pengawet untuk memprosesnya.

Peserta sedang menimbang rozel yang dihantar sebelum diambil oleh Fama Rompin.

“Jika diberi peluang saya pasti peserta tidak akan mensia-siakannya kerana selepas menyertai projek tanaman rozel ini kami telah nampak peluang pasarannya sangat besar bukan sahaja dalam negara, tetapi juga ke luar negara,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Fama Rompin, Khairul Mohd Yonan, berkata, pihaknya membantu memasarkan buah rozel itu dengan menghantarnya ke sebuah kilang di Johor yang memiliki kerjasama dengan Fama.

Menurutnya, pelbagai produk turut dihasilkan daripada buah rozel seperti jem dan sirap yang sudah tentu rasanya sungguh sedap selain lebih asli kerana ia memilki warna merah yang asli.

"Pada tahun lalu jumlah hasil terkumpul melibatkan dua kawasan iaitu di Kampung Tebu Hitam dan Desa Murni mencatatkan seberat lebih 10 tan dengan nilai RM36,320.14. Bagi tahun ini ia baru mula dituai sekitar tiga minggu lalu.

"Selepas beberapa tahun, hasil keseluruhan mengikut musim ada turun naik berdasarkan pokok menjadi atau tidak, ada masa pokok seperti 'mabuk' daun iaitu pokok subur tetapi buah kurang," katanya.

Tambah Khairul, setakat ini tanaman rozel itu hanya dilakukan satu musim setahun iaitu memakan masa tiga bulan untuk pokok matang manakala tempoh tuaian tiga hingga empat bulan mengikut kualiti pokok.