• Rezeki jahitan tampal cantum Sri Rahayu bangga dengan pencapaiannya dalam bidang kraf tangan.
  • Rezeki jahitan tampal cantum Contoh hiasan yang menggunakan senitampal dan cantum
1 /

Penglibatannya hanyalah secara separuh masa dek sibuk dengan kerjaya yang diceburi. Namun kerana minat yang mendalam, beliau mengambil keputusan meletak jawatan pada 2007 bagi memberi lebih ruang kepada dirinya untuk terlibat secara serius dalam bidang seni kraf tangan.

Bertitik tolak dari situ, lahirlah Pondok Kraf Sdn Bhd pada 2008 yang menjalankan perniagaan jahitan dan kraf tangan. Pemiliknya, Sri Rahayu Hussein berkata, pihaknya berfokus kepada seni tampal cantum atau dalam bahasa Inggerisnya dipanggil patchwork.

Tampal cantum adalah seni cantuman kepingan perca kain untuk dijadikan sehelai kain yang besar. Kuilt pula, adalah kain yang terhasil daripada cantuman tampal cantum yang dilapikkan dengan poliester di tengah dan dilapisi sehelai kain di sebelah belakang lalu dijahit ketiga-tiga lapisan tersebut.

"Selalunya, coraknya bermotifkan pemandangan, haiwan, kanak-kanak, geometri atau abstrak digarapkan dalam menghasilkan jahitan tampal cantum ini," katanya pada Sinar Harian ketika ditemui di Putrajaya, baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya turut menjual pelbagai barangan alat jahitan seperti mesin jahit, kain, benang dan pelbagai peralatan lain.

“Tetapi, pada masa sama, kami juga ada mengadakan kelas jahitan bagi sesiapa yang berminat untuk belajar terutama seni kraf tangan tampal cantum ini,” katanya.

Kelas jahitan

Menurut Sri Rahayu, kelas jahitan yang dianjurkannya itu terbuka kepada mereka yang berumur seawal tujuh tahun dan ke atas.

“Setiap kelas jahitan yang diadakan bermula dari RM30 dengan tiga peringkat pembelajaran iaitu Beginner, Intermediate dan Advanced Level,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kebiasaannya bagi peserta kanak-kanak ia banyak melibatkan program ketika cuti sekolah.

“Kami akan memilih bentuk projek yang mudah supaya peserta kanak-kanak boleh menunjukkan kebolehan mereka,” katanya yang berpengalaman lebih 10 tahun.

Beliau berkata, walaupun ia mudah, pihaknya tetap mengajar peserta kanak-kanak ini cara menggunakan mesin jahit.

“Apa yang kami mahukan ialah, kami mahu dedahkan kepada mereka daripada peringkat awal lagi supaya mereka ada minat dengan seni karya kraf tangan,” katanya.Menurutnya, kelas jahitan itu diadakan bergantung pada masa individu itu sendiri.

Pihaknya tidak menetapkan jadual tertentu bagi mereka yang berminat mengikuti dan mendalami kelas jahitan.

Menurutnya, ramai kalangan pelajar yang bekerja tidak mempunyai masa jika pihaknya menetapkan masa yang tertentu.

“Ada yang hanya ambil masa selama dua atau tiga jam tapi ada juga yang ambil masa sehingga berbulan lamanya. “Kami lebih fleksibel bagi memudahkan mereka yang berminat menghadiri kelas jahitan terutama bagi yang bekerja," katanya yang mempunyai tiga tenaga pengajar.

Sambutan pelanggan

Ketika ditanya apakah keistimewaan syarikatnya itu, Sri Rahayu berkata, pihaknya sangat menghargai apa yang peserta kelas jahitan telah lakukan.

“Kami punya hasil jahitan dan perkhidmatan adalah lebih kepada pelajar. Ini bermaksud, apabila kami mengajar mereka, kami akan pastikan yang mereka akan faham sepenuhnya,” katanya.

Katanya, pihaknya mahukan pelajarnya belajar dan tahu teknik yang betul bagaimana hendak melakukan seni tampal cantum.

Setakat ini, menurutnya, permintaan yang diterima daripada orang ramai sangat memberangsangkan. “Pendapatan kami datangnya daripada pelbagai cabang iaitu penjualan alat jahitan, kelas jahitan yang dianjurkan dan juga melalui produk kraf tangan yang dihasilkan daripada peserta kami sendiri.

“Melalui jenama Pondok Craft, orang ramai boleh memperoleh kraf tangan yang dihasilkan oleh pelajar kami ini,” katanya.

Sehubungan itu, bagi sesiapa yang ingin mendapatkan produk seni tampal cantum dan sulaman atau ingin menghadiri kelas tersebut di Bandar Kinrara, Puchong bolehlah hubungi Sri Rahayu melalui laman sosial Facebook di www. facebook.com/pondokcraft.

SEJARAH KULIT TAMPAL CANTUM

Seni ini sebenarnya telah wujud sejak zaman Mesir purba lagi apabila khemah kematian Permaisuri Esi-mem-kev Mesir telah dijahit dengan teknik kuilt.

Begitu juga dengan permaidani di makam Firaun yang diperbuat menggunakan teknik kuilt tampal cantum dan dipercayai dibuat pada abad pertama Sebelum Masihi.

Pada sekitar tahun 1300, kerabat diraja Eropah menjadikan kraf tangan ini sebagai hadiah di mana isteri kelima King Henry VIII, Queen Catherine menerima hadiah sebanyak 24
helai kuilt.

- Perubahan cuaca yang melampau di Eropah Barat juga telah menyebabkan permintaan terhadap cadar kuilt meningkat. Mereka menggunakan lumut, bulu burung, bulu biribiri dan rumput sebagai lapik dalaman bagi mengurangkan kesejukan.

- Manakala di Eropah selatan, mereka menggunakan teknik tampal cantum dan kuilt untuk menghias pakaian, katil dan hiasan rumah.

- Di Amerika pula, seni kuilt dibawa oleh pendatang. Mereka bukan sekadar menggunakan sebagai selimut tetapi sebagai kain khemah, cadar, lapik lantai dan pakaian.

- Sejak itu, seni tampal cantum telah tersebar di seluruh dunia dan menjadi satu seni yang begitu tinggi nilainya bukan sekadar jahitannya cantik tetapi mutu pembuatannya yang unik.