BERKELULUSAN tinggi dan berjawatan dalam sesebuah syarikat besar belum cukup memberi kepuasan hidup bagi anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini.

Oleh kerana cara kerja bertentangan prinsip diri, Fahmi Faiz, 29, berasakan jiwanya tertekan. Tanggal 3 Ogos 2011, Fahmi hantar notis berhenti kerja dan hatinya lega dengan keputusan tersebut.

Itulah antara titik mula perubahan kehidupan Fahmi sebelum bergelar pengembara solo dan penulis buku.

“Duit gaji terakhir saya digunakan untuk bayar semua hutang. Bakinya, saya beli barang persiapan hari raya dan membeli barangan mengembara. 

“Masa balik kampung untuk berbuka puasa bersama keluarga di Seremban, Negeri Sembilan, saya beritahu mereka, dah berhenti kerja. Saya nak mengembara, sebab nak mencari jiwa,” ujar anak sulung daripada tiga beradik ini.

Ditanya reaksi ibu bapa Fahmi, pada awalnya beliau mendapat tentangan tetapi setelah diberi penjelasan, barulah mereka merestui.

“Saya belanjakan sekitar RM500 untuk membeli khemah, sleeping bag, hard case akustik, peta, pasport dan peralatan memasak,” ujar pemain muzik ini yang menjelajah ke Tanah Besar Asia Tenggara.

Pada 13 September 2011, jam 9.20 malam, Fahmi mula mencatatkan detik perjalanan menaiki kereta api dari KL Sentral ke Hatyai.


Kembara solo

“Ibu saya menangis bila dapat tahu saya hanya ada RM500 untuk merentas Tanah Besar Asia Tenggara.

“Rasa takut memang ada dalam diri. Ketakutan pada sesuatu yang tak pasti seperti dari segi kewangan dan destinasi yang dituju.

“Saya pula jenis boros. Minda saya jadi kusut bila tak cukup duit. Sebenarnya kesusahan itu menjadikan kita lebih kreatif,” katanya.

Untuk menjimatkan kos, Fahmi guna cara hitchhiking, tidur di lobi hotel atau restoran makanan segera, dan makan di masjid.

Misi itu juga, ujar Fahmi boleh diibaratkan seperti ‘mengetuk pintu syurga, dan ALLAH SWT mendengar ketukan itu’. Berkat azam dan semangat tinggi, beliau berjaya mengharungi liku penuh onak duri sebagai pengembara solo RM500.

“Dalam buku saya bertajuk Bila Kupetik Gitar setebal 120 halaman ada menceritakan lebih terperinci segala pengalaman saya mengembara di Thailand, Vietnam, Loas dan Kemboja,” katanya.


Aktiviti berdarah

Apabila buku pertama diterbitkan oleh Alaf 21 pada Disember 2012, Fahmi berazam menulis travelog lebih mencabar seperti di negara Afghanistan, Somali atau tawaf satu dunia.

“Saya ambil keputusan ke Mindanao, Filipina. Idea ini daripada ayah saya yang pernah bercuti ke Manila.Kali ini, ayah beria-ia mahu saya pergi.

“Jika mahu hasil yang luar biasa, laksanakan sesuatu yang luar biasa. Itulah yang selalu dipesan ayah. Saya takut bila teringatkan statistik mangsa penculikan di sana.

“Saya selalu layari internet dan baca jurnal tentang Mindanao. Saya masih ingat petikan dari blog Bank Dunia. Penulis blog itu menggambarkan Mindanao sebagai antara kawasan paling merbahaya di dunia!

"Takut punya pasal, saya demam seminggu sebelum terbang ke Filipina. Tapi perjalanan kali ini saya buat perancangan lebih baik dengan membawa wang saku dan kelengkapan eksplorasi yang mencukupi,” katanya.

Bagi misi solo ke Mindanao, Fahmi telah kepada Kementerian Luar Negeri sebagai langkah keselamatan. Dari situ, kembara beliau bertukar rentak. Umpama babak dalam filem aksi, beliau disalurkan kepada badan militari antarabangsa.

“Bayangkan, seorang rakyat Malaysia telah membuat huru-hara di Mindanao. Kerana saya seorang, habis semua pihak secara tidak langsung terpaksa terlibat; termasuk Badan Pemantau Antarabangsa, MILF, NGO kenalan ayah saya, Polis Filipina, ARMM dan pihak kerajaan sendiri,” ujar beliau sambil tertawa mengenang saat beliau disambut pengiring bersenjata di Cotabato.

Beliau bersyukur mendapat kerjasama baik daripada pihak kementerian yang kemudiannya memaklumkan kepada Perwakilan Malaysia di Manila.

Tanggal 10 Januari 2013, Fahmi memulakan langkah pengembaraan dalam usaha menjejaki Bangsamoro dan mendapatkan bahan untuk dimuatkan dalam buku.

Fokus beliau kini didorong atas sifat cintakan kemakmuran dan menyebarkan kempen keamanan.

“Hati saya tersentuh ketika mama memakaikan serban arwah atuk di leher saya di LCCT (Terminal Penerbangan Tambang Rendah), Sepang, sambil berkata ‘balik nanti mama cuci’. Ini menggambarkan harapan ibu agar saya kembali dengan selamat.

“Jika ibu bapa lain hantar anak di lapangan terbang untuk sambung belajar ke luar negara, tetapi orang tua saya cekal hati melepaskan saya ke Cotabato yang terkenal dengan aktiviti berdarah,” katanya yang beliau sendiri tidak tahu dari mana datangnya keberanian untuk mengembara seorang diri.

"Ketika bersalaman dengan ayah dan mama, saya pesan kepada mereka, 'kalau berjaya, along akan balik dengan kejayaan yang membanggakan. Namun andai gagal, sila tuntut jenazah along di Konsulat di Davao dan kebumikan ia dengan sempurna di tanah air'.”

Setiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Cotabato kedatangan Fahmi disambut oleh wakil Tim Pemantau Antarabangsa (IMT), Agus Salim dan pengiringnya.

Perjalanan di sana turut dibantu kenalannya, Hassan dari Maguindanao dan rakannya, Nash sebagai wakil Autonomous Region of Muslim Mindanao (ARMM) dan Rahman (Moro Islamic Liberation Front - MILF).

Pemandangan di kawasan Cotabato selalu menyaksikan anggota keselamatan sentiasa berlegar bersama senjata api. Baginya, realiti yang perlu dihadapi Fahmi adalah situasi seorang diri menaiki bas dari Cotabato ke Davao, Cabaran kali ini melibatkan beliau bersama tentera, mesingan dan bunyi siren kuat.

“Perasaan saya bercampur-baur antara takut dan teruja dalam mencapai misi pengembaraan saya.

“Saat itu saya menulis jurnal, ‘jika saya mati, sila serahkan jurnal ini kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Davao...’.

Ketika ditanya apa pengalaman paling menakutkan, beliau diam sebentar sebelum menjawab.

“Saya berada sangat hampir dengan bencana. Saat itu saya terkandas di Cotabato kerana gagal berhubung dengan contact saya. Saya di dalam hotel ketika itu, dan di luar hotel saya telah bertembung dengan dua individu yang sangat mencurigakan.

"Saya pasti mereka adalah penculik. Ya... saat itu saya sangat hampir dengan kematian. Bayangkan, antara kes penculikan popular menyaksikan kepala si mangsa dipenggal kerana gagal menjelaskan wang tebusan!”

Berjayakah Fahmi membuat liputan Bangsamoro di kawasan sangkar maut? Sila dapatkan buku Di Hujung Muncung Mesingan untuk ketahui kisah seterusnya.