• Rahsia untuk panjang umur Warga tua boleh dikatakan tidak bergantung kepada ubatan moden untuk terus kekal sihat, sebaliknya gaya hidup holistik seperti diamalkan nenek-moyang mereka menjadi ikutan.
1 /

AMALAN gaya hidup diamalkan mereka berusia panjang dan sentiasa sihat terutama bagi yang tinggal di kampung dan kawasan pedalaman patut dijadikan contoh. Menjalani gaya hidup seperti nenek moyang kita bukan sahaja berupaya meningkatkan kuantiti dalam bentuk pertambahan jangka hayat malah turut menyumbang dari segi kualiti kehidupan secara keseluruhan.

Dari segi pemakanan mereka mengambilnya dalam kuantiti sederhana. Jenis makanan yang diambil tidaklah rencam sepertimana makanan-makanan yang biasa dijamah kebanyakan orang. Mereka memakan nasi dengan satu atau dua jenis lauk sahaja.

Lauk yang biasa dimakan ialah ikan dan diselang seli dengan telur. Mereka juga kerap makan sayur-sayuran. Kekerapan memakan ikan terutama ikan sungai (atau laut) berbanding ayam menyumbang omega-3 selain sebagai sumber protein utama serta vitamin D. Semua ini dipercayai membantu memulihara sistem tubuh untuk berfungsi dengan cekap.

Tahan lasak serba-serbi

Mereka tidak takut mendedahkan diri kepada cahaya matahari. Malah sebahagian besar kehidupan mereka ialah membanting tulang di tengah terik matahari. Kulit mereka kemudiannya bertukar menjadi sawo matang. Ia tidak terbakar seperti dialami oleh kulit manja dimiliki kebanyakan orang yang menjalani kehidupan serba-serbi moden.

Sering mengamalkan pengambilan sayur-sayuran dan ulam-ulaman dipercayai menyumbang kepada kekukuhan sel-sel kulit mereka. Anehnya, mereka tidak pula mengalami kanser kulit sedangkan mereka
terdedah kepada cahaya ultra ungu dari jenis yang berbahaya setiap hari kerana bekerja saban hari hingga ke petang.

Bagi mengekalkan bendalir tubuh, mereka meminum air secukupnya. Jika mereka berhempas-pulas dan berpanas di bendang mereka akan minum air lebih berbanding jika tidak menjalankan aktiviti fizikal yang berat.

Mereka lebih kerap minum air masak terutama pada waktu makan. Mereka minum air bergula ketika sarapan pagi dan minum petang sahaja. Mereka tidak pernah tahu kalori sesudu gula sama seperti sepinggan nasi namun jumlah minuman bergula yang mereka ambil dalam sehari cukup sesuai untuk menjaga bentuk tubuh mereka agar tidak obes.
 
Aktiviti fizikal mereka dengan cara bekerja atau mengemas halaman rumah bukan sahaja membantu mengeluarkan peluh namun meningkatkan ketahanan tubuh fizikal dan psiko emosi mereka. Daya tahan mereka kuat kerana sejak kecil sistem imun mereka telah membentuk pelbagai antibodi secara semula jadi.

Ia berpunca daripendedahan kepada pelbagai jenis kotoran yang terdapat pada tanah dan persekitaran. Tubuh mereka tidak pernah kenal suntikan vaksin. Tidak seperti anak-anak zaman moden yang disuntik pelbagai vaksin lalu yang dipercayai sebagai punca pelbagai bentuk alahan, kematian mengejut atau sindrom tubuh bergoncang (shaken body syndrome) dan autisme.

Jika mereka mengalami masalah mereka akan mengadu kepada ALLAH SWT dengan memohon pertolongan. Hubungan mereka yang rapat dengan ALLAH dengan benar-benar beriman kepadaNya, menjalankan perintahNya dan meninggalkan laranganNya secara ikhlas membantu meningkatkan sikap positifnya dalam segenap aktiviti kehidupan harian.

Nenek-moyang kita dahulu masak makanan menggunakan minyak kelapa. Hari ini minyak kelapa dikatakan oleh media barat sebagai punca penyakit jantung koronari. Pada hal ia berpunca dari angkara pengeluar minyak-minyak sayuran poli tak tepu bagi melakukan minyak berbahaya mereka.

Mereka meninggal dunia kerana benar-benar sudah sampai masanya untuk meninggal dunia pada usia yang matang, bukan kerana kematian awal berpunca dari sakit jantung seperti dialami oleh orang zaman sekarang. Warga tua yang kekal sihat sampai mencapai umur matang yang dibincangkan dalam artikel ini makan ubat-ubatan moden menurut keperluan sahaja.

Terdapat juga orang tua yang jarang sakit. Jadi mereka boleh dikatakan tidak bergantung kepada ubatan moden untuk terus kekal sihat. Sebaliknya amalan gaya hidup holistik sepertimana yang dijalani oleh nenek-moyang mereka menjadi ikutan.

Amalan gaya hidup mereka termasuk tidak terlalu bergantung kepada pengambilan ubat-ubatan modenlah yang membantu mereka panjang umur dan sentiasa kekal sihat.

Awet muda

Cadangan gaya hidup berikut adalah berdasarkan pemerhatian yang dilakukan terhadap amalan warga tua yang panjang umur dan kekal sihat seperti yang telah dibincangkan di atas. Ia juga diamalkan
sendiri oleh penulis.

Perkara-perkara utama yang perlu diamalkan ialah pengambilan makanan yang sesuai, menjalani aktiviti fizikal yang sesuai, bersikap positif, mengurangkan stres, tidur yang mencukupi, pendedahan kepada cahaya matahari untuk pembinaan vitamin D, minum air secukupnya setiap hari dan mengambil makanan mengandungi antioksidan.

Beberapa perkara lain seperti mengelakkan pendedahan kepada pencemaran seberapa mampu, mengambil makanan kaya dengan omega-3 dan mengambil minyak kelapa dara juga membantu. Secara umum makanlah makanan yang sesuai dengan jenis metabolisme anda.

Perlu difahami bahawa makanan yang sesuai untuk seseorang mungkin akan memudaratkan anda jika anda mengambilnya. Makanan yang sesuai dengan jenis metabolisme seseorang dipercayai membantu memulihara kesihatan tubuh secara keseluruhan dan mengurangkan kemungkinan untuk mengalami penyakit termasuk penyakit degeneraif.

Sesetengah orang akan mengalami tindak balas makanan apabila mengambil makanan tertentu. Tindak balas makanan akan menyebabkan seseorang mengalami simptom buruk tertentu. Makanan organik adalah jauh lebih baik dari makanan yang ditanam secara komersil.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai makanan dan jenis metabolisme serta perbincangan mengenai tindak-balas makanan sila baca buku penulis berjudul Kawal Berat Badan (Terbitan Alaf 21).

Mengelakkan makanan karbohidrat terproses, makanan tinggi gula, makanan/minuman yang mengandungi sirap jagung tinggi fruktosa ialah langkah yang bijak. Gunakan manisan seperti gula kabung dan
gula Melaka asli. Mengurang/mengelakkan makanan bergoreng secara terendam lama juga adalah langkah bijak.

Begitu juga dengan menjauhi makanan-makanan terproses termasuk pelbagai jenis kerepek/cip kentang atau diperbuat dari tepung gandum. Menggunakan garam semula jadi seperti garam gunung Himalaya sepatutnya dijadikan keutamaan untuk setiap masakan. Ia menyumbang pelbagai fungsi termasuk dikatakan membantu menyeimbangkan paras pelbagai jenis mineral dalam tubuh.

Makanan yang dijeruk seperti yang dimakan oleh nenek moyang kita amat bermanfaat untuk kesihatan terutama untuk memulihara keseimbangan fungsi sistem imun. Makan secara teratur dan dari jenis
makanan yang sesuai dengan metabolisme tidak mencukupi. Aktiviti fizikal dengan berjalan sekurang-kurangnya 30 minit setiap kali berjalan perlu dilakukan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

Aktiviti fizikal dengan melakukan hubungan biologi dengan pasangan sah juga membantu. Sesungguhnya aktiviti fizikal cergas termasuk bersenam dengan cara yang betul meningkatkan pembinaan
hormon pertumbuhan di samping membantu seseorang kekal sihat dan sentiasa bertenaga.