• Potensi ternakan rusa, mudah dan jimat Potensi ternakan rusa, mudah dan jimat
1 /

Penternakan rusa merupakan satu bidang yang masih baru dan kurang diceburi golongan usahawan di negara ini. Kepelbagaian tanggapan menyebabkan bidang ini dipandang sepi meski pun ia mampu menjana pendapatan lumayan buat pengusahanya.

Lazimnya, orang ramai menganggap haiwan ini sebagai hidupan liar dan sukar untuk dipelihara atau diternak. Selain itu, kebanyakan individu menganggap haiwan ini sebagai ternakan eksklusif yang tidak mampu diusahakan kerana bernilai tinggi.

Bagaimanapun semua tanggapan itu tidak dipersetujui Pengurus D’Paradise Deer Valley, Muhamad Fathi Mohamed Akhbar, 29, yang berpendapat bahawa maklumat itu adalah berlawanan daripada fakta sebenar.

Menurutnya, penternakan rusa adalah lebih mudah dan tidak sesukar haiwan ruminan lain seperti lembu dan kambing.

“Rusa adalah haiwan yang mudah diternak dan hanya memerlukan kos penjagaan rendah kerana ia tidak menelan kos kandang, makanan dan perubatan yang tinggi,” katanya pada InfoAgro.

Beliau berkata, haiwan mamalia ini tidak mudah sakit kerana ia mempunyai sistem imun badan yang kuat, sekali gus mengurangkan kadar kematian.

“Apa yang menarik, rusa boleh memakan apa sahaja jenis makanan kerana apa yang dimakannya akan dikeluarkan dalam bentuk najis dan selebihnya menjadi daging,” katanya.

Menyorot pembabitan awal dalam ternakan rusa, Fathi berkata, perkara itu dimulakan oleh ayahnya, Mohamed Akhbar Chiraghdin, 51, yang memelihara tujuh ekor rusa daripada baka Timoresis sebagai induk permulaan.

Sebelum itu, ayah beliau memelihara lembu dan kambing sebagai ternakan utama namun faktor makanan mahal, risiko penyakit dan kadar kematian tinggi serta pencemaran alam sekitar menyebabkannya mengambil keputusan beralih kepada penternakan rusa.

“Alhamdulillah, kami berjaya mengendalikan perniagaan ini dengan baik sejak mula beroperasi 12 tahun lalu. Ketika ini, ladang kami mempunyai 230 ekor rusa baka Timorensis dan ia akan ditambah kepada 500 ekor pada masa terdekat,” katanya.


Fokus jualan tanduk rusa

D’Paradise Deer Valley terletak di Bukit Beruntung, Rawang dan mempunyai keluasan 10 hektar. Sebanyak 1.2 hektar tanah sahaja digunakan sebagai lot ternakan manakala selebihnya dijadikan padang ragut bagi sumber makanan haiwan itu.

Ladang ini menggunakan dua konsep ternakan iaitu feedlot di mana rusa diternak secara sendasa berkurung di lot terbuka dan konsep tertutup dengan rusa diternak dalam rumah kedai yang diubah menjadi kandang.

Syarikat milik Bumiputera ini turut memiliki satu lagi ladang yang terletak di Sungai Lembing, Kuantan di mana ia mempunyai keluasan 102 hektar dan menempatkan 3,200 ekor rusa daripada enam jenis baka iaitu timorensi, axis, samba, sika, red deer dan nilgai.

Selain menjadi pusat ternakan, ladang ini menawarkan kelainan di mana ia menawarkan pakej agrotourism yang membolehkan pengunjung memberi makanan dan bermain dengan rusa jinak.

Ladang di Rawang pula lebih berfungsi sebagai pusat ternakan rusa yang menawarkan perkhidmatan menghasilkan baka rusa, menjual induk dan anak, tanduk rusa dan kulit rusa.

Ketika ditanya fokus utama perkhidmatannya, Fathi berkata, syarikat mereka lebih memberi tumpuan kepada jualan tanduk rusa, baka rusa dan jualan lot ternakan rusa.

Menurutnya, jualan tanduk rusa atau dikenali velvet merupakan segmen paling menguntungkan kerana harga bagi sebatang tanduk adalah RM1,200 per kilogram untuk tanduk basah dan RM3,500 (tanduk kering).

Tanduk rusa tersebut digunakan sebagai bahan utama dalam penghasilan pil velvet yang mempunyai khasiat dalam meningkatkan tenaga dan stamina, merawat darah tinggi, penyakit saraf dan darah.

“Untuk produk pil ini, pihak saya sedang dalam proses untuk mendapatkan kelulusan Kementerian Kesihatan sebelum memasarkannya secara komersial dalam tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, syarikat turut menawarkan perkhidmatan jualan induk kepada individu yang ingin memelihara ia sebagai haiwan peliharaan, haiwan ternakan mahu pun sembelihan.

“Untuk induk jantan, harga yang ditawarkan adalah RM3,800, induk betina (RM3,500), anak rusa jantan (RM1,800) dan anak rusa betina (RM1,500),” katanya.


Baka induk dalam lima tahun

Syarikat ini turut menawarkan pakej ternakan komersial untuk individu yang baru menceburkan diri dalam bidang ini di mana ia merangkumi lot ternakan, baka rusa, penjagaan ternakan dan pemberian makanan berkualiti.

Harga untuk lot ternakan adalah RM3,500 (wajib), baka (RM3,500 per ekor), penjagaan ternakan (RM300 per bulan) dan makanan berkualiti (RM1).

“Untuk baka, penternak baru boleh memilih baka di mana RM3,500 adalah mewakili baka matang. Apa yang menarik, mereka boleh memulakan perniagaan ini dengan mendapatkan baka dara serendah RM2,500,” katanya.

Fathi berkata, penglibatannya dalam ternakan rusa ini diharap dapat membantu industri dalam menghasilkan baka rusa terbaik dengan cara mengawal kualiti pembiakan.

Selain itu, beliau berharap dapat melahirkan barisan penternak rusa baru melalui pakej ternakan komersial yang menawarkan ternakan dalam bentuk lot bagi memudahkan urusan ternakan mereka.

“Saya merancang untuk menghasilkan lebih banyak baka induk rusa bagi penghasilan daging dalam masa lima tahun akan datang. Ketika ini, jualan daging bukanlah satu segmen perniagaan yang menguntungkan kerana kami masih kurang bekalan induk rusa,” katanya.

Ketika ditanya harapan pada industri ternakan rusa, beliau berkata, ternakan itu mempunyai potensi menguntungkan kerana ia menawarkan harga pasaran yang tinggi, namun mempunyai kos penjagaan minimum.

“Saya seru semua pihak terutama golongan belia menceburi bidang ternakan rusa ini kerana ia tidak memerlukan kemahiran tertentu kerana apa paling penting adalah pengetahuan dan komitmen tinggi,” katanya.