PENANAMAN jagung bijian merupakan satu sektor pertanian yang diusahakan kira-kira 30 tahun dahulu semasa Tan Sri Sanusi Junid menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika itu. Disebabkan beberapa kekangan, tanaman buah tersebut dihentikan tidak lama kemudian.

Namun, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, menteri kini portfolio tersebut dalam kajiannya melihat, pengimportan buah tersebut, sebagai makanan penting bagi haiwan ternakan terutama sekali kepada ayam, amat meningkat dari saban tahun dengan tahun lalu, nilai import jagung bijian adalah RM3.09 bilion.

Melihat kepada situasi berkenaan, timbul idea daripada Ahmad Shabery, iaitu untuk memulakan semula penanaman jagung bijian dan diangkat sebagai industri baharu pertanian negara.

Ahmad Shabery bergambar kenangan bersama peserta seminar dan penerima insentif semasa berlangsungnya Seminar Pembangunan Industri Jagung Bijian di Kemaman.

Pada tahun lalu, Kampung Dadong, Kemaman menjadi projek perintis kepada jagung bijian, selain beberapa buah lokasi di Terengganu, Kelantan dan Kedah turut terpilih.

Serius untuk menceburi sektor tersebut, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani buat julung kali menganjurkan Seminar Pembangunan Industri Jagung Bijian Peringkat Kebangsaan 2017 di Kemaman, Terengganu yang berakhir pada 7 Julai lalu.

Jagung kita lebih baik daripada Argentina    

Bercerita idea penanaman jagung bijian, Ahmad Shabery berkata, idea itu tercetus setelah melihat kurangnya penghasilan makanan haiwan ternakan, sambil melihat jumlah pengimportan bahan makanan ternakan yang semakin meningkat.

“Kalau kita melihat kepada nilai import bahan makanan ternakan pada tahun lalu, nilainya berjumlah RM6.67 bilion dengan nilai keseluruhan import bahan makanan adalah sebanyak RM46.74 bilion tahun sama.

“Oleh demikian, saya telah bercakap dengan rakan kementerian mengenai perkara ini dan Alhamdulillah, mereka menerima cadangan ini. Ini semua untuk kepentingan rantaian bekalan makanan negara,” katanya.

Seorang pengusaha, Hussein Mamat memegang salah satu tongkol jagung di kebunnya di Kampung Dadong, Kemaman.

Perancangan rapi telah dilakukan bagi menggerakkan penanaman jagung bijian seperti pemilihan lokasi, pemilihan jenis jagung, penyediaan kemudahan infrastruktur dan sebagainya.

Menjadikan Kampung Dadong sebagai perintis penanaman jagung bijian adalah satu percubaan yang berani.

“Dengan keberanian yang ditunjukkan oleh 27 petani kampung Dadong, mereka telah menyahut seruan kerajaan untuk menanam jagung bijian dan hasilnya, kita boleh lihat pada hari ini.

“Apa yang lebih membanggakan, kajian Mardi terhadap hasil jagung bijian kampung ini mendapati, ia mempunyai kandungan protein lebih banyak serta tahan penyakit berbanding jagung yang diimport daripada Argentina,” ujarnya.

Bercerita lanjut, kandungan protein dalam setiap butir jagung amat penting kerana ia antara faktor kesihatan ayam.

Oleh demikian, beliau berharap lebih ramai petani akan menceburi industri ini, dengan Ahmad Shabery melabelkan industri tersebut sebagai ‘pertanian emas’ yang masih baharu.

“Industri ini masih baru di Malaysia, yang mampu menawarkan pendapatan lumayan. Apabila ramai yang menceburi bidang ini, penternak mungkin tidak perlu lagi untuk membeli jagung bijian import.

“Apabila situasi ini berlaku, kadar pengaliran wang negara ke luar akan berkurang dan ini baik untuk Malaysia. Negara mampu jimat sehingga berbilion ringgit sekiranya industri ini mampu berkembang pada masa yang akan datang,” jelasnya.

Seramai 500 peserta, daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta, usahawan serta petani yang menghadiri seminar itu, yang berlangsung selama dua hari di Majlis Perbandaran Kemaman (MPK).

Dalam seminar tersebut, sebanyak 13 kertas kerja dibentangkan yang menyentuh dasar, pelan pembangunan, potensi pengeluaran dan perkara berkaitan jagung bijian disentuh.

Kurang import  

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Padi, Tanaman Industri dan Florikultur Jabatan Pertanian Malaysia, Mohamad Mat Zin Supaat berkata, jabatannya bersedia untuk memastikan sasaran pengurangan import jagung bijian sebanyak 10 peratus menjelang tahun 2020 tercapai.

Beliau berkata, terdapat beberapa cabaran yang perlu dihadapi oleh pihaknya dan petani bagi memastikan sasaran berkenaan tercapai.

Ahmad Shabery menggunakan jentera menuai jagung bijian di kawasan penanaman jagung bijian di Kemaman.

“Antara cabaran yang perlu dihadapi oleh kami adalah memilih tanah yang bersesuain untuk menanam jagung bijian. Ini kerana, seperti jagung lain, jagung bijian hanya sesuai ditanam pada tanah jenis tidak terlalu masam, iaitu mempunyai bacaan pH bawah 6.5.

“Selain itu, tanah yang sesuai untuk penanaman buah itu adalah tanah berpasir. Namun begitu, jenis tanah ini boleh diatasi, dengan mendapatkan khidmat nasihat daripada pegawai pertanian sebelum mula menanam jagung bijian,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, cabaran yang paling besar yang dihadapi untuk mencapai sasaran berkenaan adalah mendapat bantuan dan pembabitan daripada syarikat swasta dan pemain industri berkaitan.

Menurutnya, bantuan yang diberikan oleh kerajaan untuk mengembangkan industri itu sudah cukup, namun dengan adanya bantuan daripada pemain industri, industri jagung bijian mampu berkembang dengan lebih besar.

“Setakat ini, syarikat GWG (Green World Genetics Sdn Bhd) telah bekerjasama dengan kami dengan membantu dari segi pembangunan benih variasi jagung bijirin yang sesuai dengan tanah dan iklim negara ini.

“Sehubungan itu, kami berharap lebih banyak syarikat akan tampil ke hadapan bagi membantu kami, dari segi penyediaan modal kepada petani, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan lain-lain lagi untuk mengembangkan industri buah berkenaan,” katanya.

Dari segi bantuan pula, Mohamad Mat berkata, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM7 juta bagi membangunkan industri itu, termasuk pembangunan kawasan dan penyediaan mekanisasi dan automasi.


 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.