PFZER Malaysia melancarkan ‘Moodigo’, aplikasi baharu untuk telefon pintar yang membenarkan pengguna menjejaki angin, menetapkan matlamat dan menentukan rutin yang dapat membantu kehidupan harian, di samping menggalakkan mereka yang mengalami kemurungan untuk mendapatkan bantuan profesional.

Kemurungan adalah salah satu gangguan kesihatan mental yang paling lazim dihidapi di Malaysia, dan dihidapi oleh kira-kira 2.3 juta rakyat Malaysia, tanpa mengira umur, bangsa dan taraf ekonomi.  

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015, 29.2 peratus rakyat Malaysia mengalami masalah kesihatan mental, meningkat 173 peratus berbanding tahun 1996. Menjelang tahun 2020, penyakit jiwa dijangka menjadi masalah kesihatan yang kedua terbesar menjejaskan rakyat Malaysia selepas penyakit jantung.

“Kemurungan menyebabkan seksaan jiwa dan mengganggu keupayaan seseorang melakukan tugas harian yang mudah. Orang yang menderitai kemurungan mungkin berasa terasing dan tertewas, dan ini boleh mengubah segala aspek kehidupannya. Jika tidak dikenal pasti dan dirawat pada peringkat awal, masalah ini boleh membawa padah seperti sikap menyepi, hilang selera makan, perbuatan mencederakan diri sendiri dan juga tindakan membunuh diri. Tetapi sama seperti mana-mana penyakit lain, penyakit jiwa, termasuklah kemurungan, boleh dirawat dengan ubat dan kombinasi terapi,” kata Dr Hazli Zakaria, Naib Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia semasa acara pelancaran.

Aplikasi ‘Moodigo’ dilancarkan sempena kempen kesedaran awam #EVERYBODYISATRISK di seluruh negara yang dipimpin oleh Pfizer dengan kerjasama Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), serta beberapa institusi pengajian tinggi.

Kempen kesihatan mental ini merangkumi forum awam, bengkel latihan, pertunjukan jalanan dan buku panduan ‘Talk Depression’ yang disusun khas untuk menyampaikan pengetahuan yang penting tentang kemurungan. - S:A

Memandangkan kes kemurungan bertambah dengan banyak dan teruk, aplikasi telefon pintar seperti Moodigo menawarkan cara yang baharu dan menarik untuk membantu rakyat Malaysia meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mental.

Menurut Pengarah Hal Ehwal Korporat, Kesihatan & Nilai Pfizer Malaysia, Noor Yang Azwar Kamarudin, menggunakan aplikasi Moodigo, pengguna dapat memasukkan maklumat mengenai angin masing-masing dan menjejaki aktiviti harian lain yang rutin, seperti bilangan jam tidur dan bersenam.

"Yang paling penting, aplikasi ini memberikan beberapa petua yang berguna tentang cara menjaga kesihatan mental dan menyediakan pautan untuk mendapatkan bantuan pakar seandainya timbul keperluan,” katanya.

Aplikasi mudah alih Moodigo oleh Pfizer direka supaya menepati jadual pengguna yang sibuk dan gaya hidup mereka yang cergas. Aplikasi ini menggunakan antara muka yang ringkas dan mudah dipakai, berserta ciri-ciri yang boleh disesuaikan.

Aplikasi Moodigo boleh dimuat turun secara percuma ke dalam telefon iPhone (Apple App Store) dan Android (Google Play Store).