• Perut kembung, asyik sendawa, petanda menghidap sakit sendi faset Rasa pening dan hanyut boleh mengganggu aktiviti harian. GAMBAR HIASAN.
1 /

Soalan 1

Assalamualaikum Prof Nizar,

Saya berusia 32 tahun dan bekerja sebagai penjawat awam di Sarawak. Saya ingin bertanya tentang sakit sendi faset tengkuk. Saya ada terbaca artikel mengenai penyakit tersebut yang mana saya merasakan bahawa saya mengidap penyakit sama.

Antara tanda-tanda yang saya alami adalah pening di belakang kepala yang lama hingga menyebabkan otot dan urat terasa kebas dan bengkak. Apabila diurut, ia berasa sakit menjalar atas kepala sampai ke urat belikat. Kadang-kadang saya terasa kebas di sebelah kiri tangan selain mengidap gastrik dan kerap sendawa.

Saya ada terbaca komentar Dr yang menyatakan penyakit ini boleh menyebabkan gastrik dan perut terasa kembung (banyak angin serta sendawa).

Gejala lain yang saya alami adalah sindrom kehanyutan berkekalan. Kadang-kadang rasa otot sakit sudah berkurang, tetapi sindrom kehanyutan dan gastrik masih saya alami. Saya sudah mengalaminya selama dua tahun.

Bila berjalan terlalu lama saya akan diserang rasa hanyut hingga mengganggu aktiviti harian. Malah saya pernah terbabas dan terlanggar kereta orang lain sewaktu memandu.

Persoalan saya, kenapa ramai doktor pakar (termasuk ENT) yang telah saya jumpa tidak sebut pun tentang penyakit sendi faset ini? Adakah kepakaran dan rawatan suntikan Radiofrequency (Rf) ini hanya ada di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian? Saya tinggal di luar Semenanjung jadi kalau boleh ingin mendapatkan rawatan di hospital terdekat. Terima kasih.

Asrizal Amran, Kuching, Sarawak


Jawapan

Anda bukan keseorangan mengalami sakit sendi faset yang memberi gejala sakit tengkuk, bahu di samping pening dan rasa hanyut (dizziness). Gejala ini amat menyeksa hingga menyebabkan anda boleh hilang upaya.

Sudah ramai pesakit seperti ini telah diberhentikan kerja (medical board) sedangkan jalan penyelesaiannya masih ada. Maksud saya, penyakit ini boleh dirawat. Kaedah suntikan Rf untuk penyakit sendi faset telah banyak saya sentuh dengan terperinci dalam artikel lepas. Anda boleh rujuk dalam laman sesawang sinarharian.com untuk membacanya.

Walaupun kejayaan suntikan Rf boleh mencapai 80 peratus, malangnya ramai pesakit tidak tahu dan lebih teruk lagi ramai doktor tidak dapat mengenal pasti penyakit ini. Akibatnya pesakit berterusan menerima rawatan yang tersasar dan ini amat mengecewakan.

Saya menerima ramai pesakit seperti ini  dari seluruh negara. Kebanyakan mereka sudah sampai peringkat serius dan terdesak. Ramai juga pesakit bertanyakan soalan sama, 'Tak adakah doktor lain di Malaysia yang boleh boleh buat rawatan Rf ini?' Jawapannya secara umum, tidak ada. Kalau ada pun mereka baru di peringkat awal melakukannya.

Suntikan Rf di tengkuk merupakan satu rawatan yang membawa risiko tinggi jika tidak dilakukan oleh doktor mahir. Doktor mahir ialah doktor yang terlatih secara rasmi dan mempunyai banyak pengalaman dalam bidang ini.

Saya telah melakukan rawatan Rf hampir 10 tahun dan secara sepenuh masa sedangkan doktor lain melakukannya sebagai kerja sambilan.

Kejayaan rawatan ini bukan kerana suntikan atau teknologi Rf semata-mata. Tapi ia banyak bergantung pada diagnosis dan melakukan suntikan dengan cara betul. Faktor ini penting untuk mengelak komplikasi serius jika berlaku.


Soalan 2


Saya sering mengalami sakit betis sebelah kanan apabila berjalan atau berdiri terlalu lama. Kadangkala kesakitan menyerang secara tiba-tiba menyebabkan betis menjadi keras dan tidak mampu untuk berdiri. Saya pernah tiga hingga empat kali pergi berurut namun tidak berhasil.

Apabila saya duduk terlalu lama seperti mendengar khutbah Jumaat, kaki kanan akan kebas untuk tempoh dua hingga tiga minit apabila ingin berdiri. Saya pernah mendengar tentang saluran darah tersumbat dan urat bersimpul akibat kurang senaman atau kegemukan tapi masih kurang penjelasan tentang masalah ini.

Saya berusia 32 tahun, tinggi 175cm dan berat 87kg. Masalah ini sudah berlarutan hampir setahun setengah dan saya belum pernah merujuk pada mana-mana doktor atau pakar perubatan. Apa yang doktor boleh rumuskan penyakit saya? Adakah saya perlu membuat imbasan ataupun MRI dan bagaimana pula prosedur serta kosnya.

Nik Aziz Samat
Puncak Alam,Selangor


Jawapan

Sakit diabetes jika berkait dengan saluran darah tersumbat akan timbul bila berdiri atau berjalan dalam jangka masa lama. Rasa sakit berupa denyut atau kejang biasanya hanya tertumpu di betis dan tidak naik sampai ke paha atau pinggang.

Hujung kaki rasa sejuk dan nampak pucat. Anda akan perasan sakit berkurangan bila anda dalam posisi baring kerana aliran darah di kaki akan bertambah baik dalam posisi ini.

Penyakit Burger’s disease dan sindrom Kawasaki juga boleh memberi gejala sakit seperti ini. Namun doktor dapat mengenal pasti menerusi pemeriksaan. Suntikan Rf lumbar symphatectomy boleh dilakukan untuk meningkatkan aliran darah pada kaki. Kaki anda akan berasa panas kembali dan sakit boleh hilang serta merta.

Tapi jika sakit pada kaki menjalar turun dari paha hingga ke betis, kemungkinan besar anda mengalami penyakit cakera tergelincir pada tulang belakang (slipped disc).

Biasanya rasa sakit bersifat mencucuk, renjatan elektrik, tegang dan kebas. Dalam keadaan ini imbasan MRI tulang belakang perlu dilakukan untuk mengenal pasti lapisan cakera terlibat. Rawatan suntikan Rf dapat mengecutkan cakera yang tersembul lalu menyembuhkan penyakit cakera tergelincir sebagai opsyen kepada pembedahan.