URUSAN ibadah umrah dan ziarah dengan agensi Simply Umrah sememangnya dipermudahkan ALLAH.

Alhamdulillah semuanya berjalan lancar bermula daripada hari berlepas hingga pulang ke tanah air.

Semua ini adalah kerana kehendak ALLAH dan juga kecekapan agensi yang berpengalaman menguruskan jemaah umrah.

Seperti yang dijanjikan, penerbangan menggunakan Saudi Air agak selesa dari KLIA ke Lapangan Terbang Jeddah dan penerbangan mengambil masa kira-kira lapan jam.

Setelah mendarat dengan selamat, semua jemaah dengan penuh sabar melalui proses di imigresen kerajaan Arab Saudi untuk proses pengesahan visa. Apabila semuanya berlangsung seperti diharapkan, semua jemaah kemudian menaiki bas untuk bergerak ke Madinah yang mengambil masa 5 jam perjalanan.

Menurut beberapa jemaah lain yang pernah beberapa kali menunaikan umrah, mengikuti pakej umrah tidak lebih dari 40 orang adalah ideal kerana memudahkan pergerakan.

Menurut mereka, berdasarkan pengalaman sebelum ini yang mengikuti rombongan jemaah melebihi 40 orang, kelancaran pergerakan sering terganggu kerana apabila ramai ada sahaja masalah yang akan berlaku.

Mereka merasakan pemilihan pakej pada kali ini cukup tepat kerana setiap pergerakan menjadi lancar.

Untuk pakej jemaah kali ini, keistimewaan utama adalah penginapan yang begitu dekat dengan Masjid Nabawi dan Masjidil Haram.

Seperti di Madinah, hotel penginapan hanya beberapa meter dengan Masjid Nabawi.

Jarak yang dekat sememangnya menggembirakan jemaah kerana memudahkan urusan untuk berulang alik beribadah di masjid yang dibangunkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Selain itu, dewan makan yang selesa untuk jemaah juga satu kelebihan yang ada pada pakej yang ditawarkan ini.

Sepanjang berada di Madinah, jemaah banyak memanfaatkan masa untuk beribadah di Masjid Nabawi dan semuanya berjaya untuk menempatkan diri di Rhaudah dan melawat Makam Nabi Muhammad SAW.

Selain itu, kami turut dibawa melawat ke beberapa tempat bersejarah.

Antara tempat yang dilawati di Madinah ialah telaga al-Ghars.Telaga Salman Al-Farisi, Masjid Quba, Quba Castle, Masjid Bani Unaif dan lain-lain tempat bersejarah.

Khurafat

Ketika melawat di telaga al-Ghars, kami dapat melihat  golongan yang mempercayai perkara-perkara karut melakukan perbuatan yang bertentangan dengan agama di kawasan berkenaan.

Walaupun telaga berkenaan telah kering, terdapat tindakan menulis hajat pada kertas dan membuangnya ke dalam telaga berkenaan.

Kerajaan Arab Saudi telah mengunci telaga ini bagi menghalang perbuatan-perbuatan berkenaan agar terus berleluasa.

Sejarah telaga ini ialah air telaga ini pernah diminum oleh Baginda Nabi SAW.

Ibnu Majah meriwayatkan daripada Saidina Ali bin Abi Thalib bahawa Rasullulah  SAW bersabda:"Apabila aku mati (wafat) mandikan aku dengan tujuh timba air dari Telaga Al-Ghars.

Kami juga dapat melihat perbuatan khurafat di Masjid Bani Unaif (juga dikenali sebagai ‘Masjid Bani Anif’ terletak di barat daya Masjid Quba di Madinah.

Setibanya kami di kawasan berkenaan, kami melihat seorang lelaki yang memegang al-Quran, tasbih dan duit.

Lelaki berkenaan yang tidak menyedari kehadiran kami dilihat seperti melakukan pemujaan di kawasan berkenaan.

Setelah menyedari tindakannya diperhatikan, lelaki berkenaan kemudian beredar.

Menurut seorang penuntut Universiti Islam Madinah, Muhammad Shaiddiq Sinwan yang sering membawa jemaah melawat ke kawasan bersejarah di Madinah, aktiviti khurafat yang dilakukan oleh orang luar dari Madinah itu sering mencemarkan kesucian kota suci umat Islam ini.

Menurutnya, kerajaan Arab Saudi sentiasa memantau keadaan berkenaan kerana ia terpesong daripada ajaran Islam.

Telah diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah menunaikan solat di tempat ini iaitu ketika Baginda didatangi oleh Talhah AlBarra untuk mempelajari ilmu Islami. Berikutan peristiwa itu, Bani Arab Anif telah bangunkan sebuah masjid di situ.

Penutupan kawasan

Selepas dibawa melawat beberapa kawasan menarik seperti di ladang kurma, Masjid Ku'un, Thaif dan beberapa kawasan menarik lain, kami dikhabarkan bahawa Kerajaan Arab Saudi telah menutup beberapa tempat seperti Jabal Thur, Jabal Uhud, ladang kurma disebabkan tindakan jemaah yang melakukan perbuatan bidaah dan syirik.

Di Masjid Ku'un misalnya Kerajaan Arab Saudi sudah meletakkan amaran supaya tidak terlibat dengan pemujaan terhadap tempat-tempat berkenaan.

Mutawif Simply Umrah yang berpengalaman selama 15 tahun membawa jemaah umrah dan haji, Abu Bakar Mohd Eusoff berkata, penutupan kawasan berkenaan sedikit mengecewakan kerana pada masa akan datang jemaah tidak dapat melawat kawasan bersejarah Islam.

Beliau mengharapkan agar konsep penguatkuasaan dapat dilakukan berbanding arahan penutupan kawasan.

Katanya, pihak berkuasa Arab misalnya boleh menempatkan penguatkuasa di tempat berkenaan untuk menghalang tindakan yang jelas melanggar tatacara jemaah.

Beliau berkata, kebanyakan tindakan yang dilakukan oleh mereka yang tidak mempunyai ilmu hinggakan di depan Kaabah turut berlaku tindakan yang tidak sepatutnya.

Ibadah di Makkah

Ketika berada di Makkah,  penginapan yang selesa di Hotel Hilton dan hampir dengan Masjidil Haram.

Jemaah juga dapat berulang alik dengan mudah setiap kali hendak menunaikan umrah dan menunaikan solat 5 waktu.

 Jemaah turut dibekalkan dengan kad perubatan yang amat membantu tatkala diuji dengan masalah kesihatan.

Seorang jemaah dari Kulim, Wan Mohd Nazhar Wan Mohd Zor,24 tahun misalnya demam dan mengalami batuk tatkala tiba di Tanah Suci.

Beliau berkata, jika tanpa kad perubatan berkenaan, urusan ibadah di Tanah Suci akan sedikit terganggu.

"Alhamdulillah, kalau tanpa kad ini, saya mungkin terpaksa mengeluarkan wang untuk ubat-ubatan kerana kos di sini agak tinggi jika dibandingkan di negara kita.

"Jika ada kad ini, semua urusan jadi mudah apabila hanya tunjuk kepada klinik panel yang ditetapkan agensi umrah,"katanya.

Cabaran urus syarikat

Ketua Pegawai Eksekutif Simply Umrah, Mohammad Afiq Mohammad Yusoff berkata, pakej umrah yang ditawarkan adalah berpatutan dan jemaah Simply akan mendapat khidmat dan pengalaman yang terbaik.

Beliau berkata, pakej menarik yang ditawarkan agensinya memfokuskan kepada kepuasan hati jemaah yang mengikuti pakej mereka.

Menurutnya, sepanjang menguruskan syarikat ini, banyak asam garam dihadapi apabila ia melibatkan pengurusan manusia.

Namun katanya, ia dapat diatasi dengan baik menjadikan syarikatnya sering menjadi tumpuan orang Islam yang ingin mengerjakan haji dan umrah.

Beliau juga menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dalam memilih pakej dan syarikat umrah kerana pakej yang terlalu murah sebenarnya terlalu berisiko untuk terlibat dalam penipuan.