BERCUTI di dalam atau luar negara pada musim cuti persekolah adalah perkara biasa bagi yang sudah berkeluarga.

Tetapi bercuti atau melancong pada hari raya bukan juga perkara baharu di negara ini,

Tatkala orang ramai berpusu-pusu pulang ke kampung halaman untuk bersama keluarga, ada pula yang memilih menaiki kapal terbang menuju ke negara orang untuk bercuti.

Bunyinya agak janggal tetapi ia seolah-olah sudah menjadi trend juga di masa kini.

Pakar Kaunseling dan Motivasi, Prof Madya Dr Ruhani  Mat Min berkata, terdapat dua sebab mengapa perkara ini terjadi.

"Pertama, mereka ini mempunyai kemampuan dari segi kewangan di mana ia menjadi salah satu faktor besar untuk mereka berkeputusan demikian.

"Keduanya, mereka ini bercuti bersama keluarga, jadi walaupun tidak menghabiskan masa di kampung, mereka memilih untuk ke tempat lain untuk merapatkan silaturrahim," katanya ketika dihubungi Sinar Online.

Tambahnya lagi, tiada yang pelik dengan trend ini kerana masih lagi mengikut fokus utama iaitu berhari raya.

"Seperti yang saya katakan tadi, kebiasaan yang saya lihat adalah orang bercuti bersama keluarga semasa menyambut lebaran, mungkin juga mereka mengambil kesempatan ini untuk bersama-sama menghabiskan masa bersama orang tersayang.

"Semasa lebaran juga menyaksikan kaum keluarga berhimpun beramai-ramai, justeru ruang tersebut digunakan untuk bawa kelainan serta dengan kemampuan kewangan yang ada membuatkan mereka mengambil tindakan sedemikian," katanya lagi.

Sementara itu, Nabihah Kamal, 25, berpendapat bahawa bercuti semasa raya ini seronok kerana ketika itu semua ahli keluarga berkumpul dan mudah untuk rancang percutian.

"Selain dapat pergi sama-sama, kos juga lebih jimat sebab ramai yang ikut, zaman dah berubah, dahulu budaya kunjung-mengunjungi berlangsung hingga sebulan lamanya.

"Sekarang ini, lebih mudah buat rumah terbuka, justeru, sehari berhari raya dan selebihnya, pergilah melancong dengan keluarga," katanya.

Turut menyokong pendapat tersebut, Nurizzati Zulbaharin, 25, berkata, menjelang perayaan, ada banyak promosi hebat yang sukar untuk dilepaskan.

"Dunia semakin moden, dan orang sering pandang remeh budaya ziarah-menziarahi ini, mungkin dengan bercuti ia dapat merapatkan silaturrahim.

"Lagipun, banyak promosi semasa musim perayaan ini, lebih menjimatkan sambil dapat bersuka-ria bersama keluarga," katanya pula.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.