ANTARA keistimewaan Islam sebagai penutup agama samawi adalah Islam mempunyai role model dalam beragama, yang hidup dalam dua dimensi beragama dan keduniaan. Role model yang ini wujud di tengah-tengah sahabat bahkan berkomunikasi serta berinteraksi dengan mereka secara manusiawi.

Ciri ini tidak didapati di dalam mana-mana agama selain dari Islam untuk menjadi relevan sebuah agama anutan sehingga ke hari kiamat. Sekiranya ingin diambil contoh Uzair (AS) dan Isa (AS) masing-masing di dalam Yahudi dan Kristian, mereka tidak direkodkan kehidupan yang lebih dinamik sebagai nabi atau rasul atau yang mengepalai kepimpinan masyarakat setempat.

Apabila berbicara urusan keduniaan (muamalah) yang dibezakan dengan perkara agama (ibadah); maka Nabi SAW tertonjol dalam aspek yang berbagai.

Sungguhpun Baginda SAW seorang nabi, rasul dan ikutan mutlak dalam beragama, sikap bersangka baik yang tidak bertempat atau boleh difahami dengan bahasa mudah sebagai naif tidak kita dapati pada pakej umum Nabi Muhammad SAW. Walaupun

Baginda SAW tidak banyak pengalaman dalam peperangan, bahkan di peringkat awal Baginda amat tidak senang dengan pensyariatan perang, namun ia tidak menyebabkan Rasulullah SAW menjadi naif dalam menyusun strategi peperangan dengan baik.

Sepertimana kisah Hatib ibn Abi Balta’ah RA di dalam riwayat Bukhari, yang mana Hatib menceritakan melalui suratnya (yang dirampas di tengah jalan melalui seorang wanita oleh Ali, al-Zubair dan Miqdad) bahawa Baginda Nabi SAW dilihat (pemerhatian Hatib) menggerakkan persiapan bagi menggempur Makkah melalui Fath al-Makkah. Selain dari perbincangan yang panjang berkaitan kelebihan ahl al-Badr, ketaatan kepada Rasul SAW dan memegang rahsia Baginda SAW, hadis berjaya menggambarkan Nabi SAW tidak begitu naif dalam mempersiapkan ketumbukan Muslimin Madinah. Persiapan peperangan tidak dihebohkan kepada umum. Di samping itu, di dalam sejarah Islam, hanya peperangan Khaybar sahaja Baginda SAW mengumumkan dengan jelas destinasi ekspedisi peperangan yang dipimpin oleh Baginda SAW bagi mengelakkan sabotaj atau apa-apa perubahan dalam strategi peperangan.

Nas dibutakan dengan realiti

Malangnya, pada hari ini Muslim yang berinteraksi dengan teks agama sama ada Quran dan Sunnah terjerat dengan perangkap naif yang diambil kesempatan oleh sebilangan watak jahat dalam wayang politik dan pentadbiran negara umat Islam. Lihat sahajalah teks hadis seperti ini: “Akan dilantik para pemimpin yang kamu setujui (kebaikan sebahagian perbuatan mereka) dan kamu akan membantah (kejahatan sebahagian perbuatan mereka). Sesiapa yang membenci (perbuatan mungkar) maka dia terlepas (dari dosa), sesiapa yang membantah maka dia selamat (dari dosa), namun (yang berdosa) sesiapa yang reda dan menuruti (perbuatan mungkar)”. Sahabah bertanya: “Tidakkah boleh kami perangi mereka?” Jawab Baginda SAW: “Tidak! selagi mana mereka bersolat.” (Riwayat Muslim)

Isunya bukan di Malaysia dalam memahami suasana kenaifan yang ingin dibuktikan. Tetapi di Mesir. Kalau kita ketahui, sebelum ini, dua blok manhaj (gaya faham) beragama; salafiyah dan sufiah, selalu sahaja bertembung khususnya dalam bab aqidah serta ibadah, dalam hal ini mereka senada. Sufiah yang dijuarai oleh boneka pemimpin bekas tentera Jeneral al-Sisi, Dr ‘Ali Jumuah dengan mudah menggunakan mimpi-mimpi mistik bagi menjustifikasikan sokongan untuk mengundi al-Sisi. Tidak kurang juga tokoh Salafiah Mesir seperti Yasser Borhami yang menggunakan hadis seperti di atas bagi menghalang menjatuhkan Presiden Mesir yang baru, al-Sisi.

Amat pelik apabila bekas Presiden Mursi dijatuhkan, hadis ini gagal dibaca dan dipaksakan ke atas tentera sedangkan Mursi lebih dikenali dengan solat dan Quran? Adakah al-Sisi lebih zuhud, lebih bersih akidahnya mengikut petunjuk salaf atau sentiasa bermaulid sehingga bertemu dengan Nabi SAW secara yaqazah (jaga) atau mimpi? Adakah halal ketika al-Sisi menyembelih ribuan rakyat Mesir yang beragama Islam?

Perlu diingati, walaupun istidlal (penggunaan dalil) dalam penghujahan itu sahih, namun tidak semestinya kesimpulan yang dibuat sudah pasti betul. Islam tidak hanya berbicara  tentang teks dan teknikal. Namun, Islam mengambil kira banyak aspek bagi menjatuhkan hukum. Hatib ibn Abi Baltaah seperti dalam hadis yang awal tadi akhirnya dilepaskan oleh Nabi SAW setelah mendengar penjelasannya sungguhpun Umar RA berkeras ingin hukuman diambil ke atasnya.

Sangka baik atau naif?

Seperkara yang menarik di Malaysia, bukan sahaja masyarakat kita naif menilai urusan dunia (politik dan sebagainya) malah mereka naif dan lemah longlai apabila berhadapan dengan orang-orang agama. Lihatlah apabila ada segelintir ustaz atau penglipur

lara mengkhabarkan kisah mereka sendiri atau individu lain yang sering berjumpa dengan Nabi SAW secara jaga atau mimpi!

Percayalah, cerita sebegini amat mudah ditelan malah dipercayai hidup-hidup. Musibah naif dalam mengambil ilmu tanpa ada sedikit rasa curiga amat merbahaya. Antara puncanya adalah disebabkan mereka merasakan kita tidak patut su’u dzan kepada ustaz-ustaz. Tetapi, perlu diketahui ia bukan buruk sangka tetapi kenaifan yang  diperbodohkan agama dengan modal baik sangka.

Hadis riwayat Muslim memang ada menyebutkan sabda Nabi SAW: Barang siapa bermimpi melihatku dalam tidurnya, maka sesungguhnya dia benar-benar melihatku; kerana syaitan  itu tak dapat menyerupai bentukku. Namun, hadis ini tidak menyebutkan pula sehingga Nabi SAW boleh menjelma untuk bertemu dengan sesiapa sahaja. Kedua, selain sahabat, siapakah yang dapat memastikan bahawa itu benar-benar Nabi SAW?

Begitu juga apabila ada kritikan terhadap pemimpin politik atau golongan bangsawan yang hidupnya maha kaya dan mewah, selain ada yang bersetuju, ada juga yang begitu naif menjadi jurucakap bagi pihak mereka. Bukan salah berbaik sangka, tidak juga dilarang cuba memahami mereka.

Tetapi kalau hidup mereka yang kaya dengan hasil rakyat dan negara, si pembayar cukai wajib dan patut mempersoalkannya. Bagaimana pula kalau itu sememangnya harta peribadi mereka? Inilah antara soalan yang boleh digolongkan sebagai naif.

Adakah wujud pembesar negeri dan negara pada asal titik keturunannya sudah maha kaya tanpa mengambil ufti atau cukai yang dikenakan pada rakyat? Kalaupun begitu, apakah ALLAH SWT meletakkan tanggungjawab pemimpin itu memang untuk bermewah tanpa sedikit pun sensitif akan apa yang dimakan oleh rakyat-rakyat bawahan yang kais pagi makan pagi? Kalau ingin berbaik sangka pun, janganlah sehingga harta dan tanah negeri dilelong murah kepada orang lain.

Antara sebuah puisi yang menarik adalah karya seorang pemuisi Indonesia, Gus Mus berkaitan dengan kenaifan orang agama:

Tuhan, lihatlah betapa kaum beragama negeri ini mereka tak mahu kalah dengan kaum beragama lain di negeri-negeri lain, demi mendapatkan reda Mu mereka rela mengorbankan saudara-saudara mereka untuk berebut tempat terdekat di sisi Mu mereka bahkan tega menyodok dan menikam hamba-hamba Mu sendiri demi memperoleh rahmat Mu mereka memaafkan kesalahan dan mendiamkan kemungkaran bahkan mendukung kezaliman untuk membuktikan keluhuran budi mereka terhadap syaitan pun mereka tak pernah berburuk sangka (Kaum beragama negeri ini) 

Kenaifan melalui pendirian dan soalan ini meragut akal yang waras dalam berinteraksi dalam urusan agama dan dunia umat Islam. Pemikiran kritikal dimandulkan dengan  berbagai cara.  Umat Islam tidak mandul berfikir. Mereka telah diajar memastikan keabsahan dalil sebelum menerima agama. Mereka juga perlu menggunakan sedikit lebih dari nikmat berfikir memahami ruang lingkup teks yang ada dalam hidup beragama. Hidup bersangka baik tidak menghalalkan kita menjadi naif dan buta dalam berurusan dengan agama ini.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • "SAKITNYA belakang aku. Dah lebih seminggu sakit ni tak hilang-hilang. Berurut pun masih sakit," kata Suhana sambil tangannya menekan di bahagian belakang pinggang.
  • TAHAP kesihatan seseorang amat bergantung kepada buah pinggang yang berfungsi secara sempurna. Oleh itu, kerosakan buah pinggang merupakan masalah kesihatan yang menakutkan penghidapnya.
  • GOLONGAN alternatif salaf mengatakan, “Apabila suatu ujian menimpa orang beriman, ia membuktikan keimanan orang itu. Manakala apabila ujian menimpa orang yang zalim, terbuktilah kezaliman dan kesesatan mereka.”
  • KEBANYAKAN rakyat Malaysia sedar mengenai cacar air, iaitu virus varicella zoster (VZV) yang sangat mudah berjangkit dan menyebabkan ruam seakan-akan lepuh.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.