LAUT dan penyair adalah sahabat yang akrab. Hakikat inilah yang mendorong Persatuan Penyair Malaysia (Penyair) menganjurkan Konvensyen Penyair Dunia 2018 (KONPEN 2018) yang akan berlangsung di Pantai Chap, Bachok, Kelantan pada 20 sehingga 22 Julai 2018 ini.

 Konvensyen ini telah mendapat sambutan luar biasa daripada penyair dunia seperti dari Thailand, Singapura, Indonesia, Brunei dan Korea. Masing-masing menyatakan kesanggupan untuk bersama merasai denyut laut, bisik ombak dan keindahan Pantai Chap.

 Antara lain KONPEN 2018 akan diisi dengan beberapa sesi seminar dan pembentangan pemakalah rentas benua. Turut diadakan Malam Bicara Puisi Dunia, Apresiasi Seni di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Jejak Seni Budaya bersama Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Kelantan.

 Presiden Penyair, Dr A. Rahim Abdullah berkata, sempena acara bersejarah ini Antologi Wangian Kembang yang dihasilkan oleh PENYAIR akan diterbitkan. Antologi ini memuatkan lebih 600 karya puisi penyair dunia akan turut dilancarkan pada malam kemuncak acara ini.

Antologi Wangian Kembang yang mengandungi sajak-sajak kemanusiaan, keindahan alam, kehidupan semesta dan suara hati penyair dunia diselenggarakan oleh Norazimah Abu Bakar mendapat sentuhan penyair terkenal, Prof Rahman Shaari sebagai Ketua Editor.

Penaung Penyair, Tan Sri Hamad Kama Piah berkata, pihaknya tidak menjanjikan kemewahan dan keselesaan bertaraf lima bintang sepanjang KONPEN 2018. Apa yang disajikan ialah keaslian dan keunikan lokaliti kehidupan sebenar penduduk desa untuk diselami oleh golongan penyair.

 Sempena acara penyair yang pertama kali diadakan di Malaysia, pameran seni lukis, reruai batik, wau bulan, sajian barbeku di tepi pantai, melawat ke perkampungan nelayan, menikmati sajian tradisi dan sesi bercakap dialek Kelantan serta banyak lagi acara kebudayaan masyarakat Kelantan turut diadakan.

Ayuh, maghi pakat ramai-ramai kito gi Klate.

 Untuk pertanyaan dan info lanjut sila hubungi:

1.     Datuk Radzuan Ibrahim, Timbalan Presiden Penyair (012 – 211 8303)

2.     Tuan Wacana Minda, Setia Usaha Agung Penyair (019 - 996 0099)