• penari lelaki
1 /

Penting sangatkah penari?


Rencana bersiri ini cuba mengupas serba sedikit akan perjalanan kerjaya 'penari' tradisional mahupun moden di pentas industri seni negara ini.

Ini adalah bahagian pertama daripada empat siri. Bahagian ini akan menyusuri keperitan seorang penari yang sering dipandang ringan atau sebelah mata akan peranan mereka khususnya apabila membabitkan soal 'bayaran'.

    
Bagi yang perempuan, mereka ditatarias secantik mungkin. Manakala si lelaki dikemaskan rambut dan pakaian biar nampak gagah serta perkasa.

Apabila sedia semuanya, masing-masing mula mengambil tempat. Muzik dipasang dan berkumandang di setiap penjuru dewan, pentas dan padang. Bagaikan sudah sebati dengan alunan irama muzik itu, baik si perempuan mahupun lelaki mula melenturkan tangan dan menggerakkan badan mengikut rentak muzik.  

Sungguh artistik dan sangat mengagumkan!

Mereka ini digelar 'penari'. Dengan senyuman yang sentiasa terukir di bibir, mereka mewarnai pesta-pesta seperti Citrawarna, majlis keramaian, program berbentuk tradisional ataupun mengiringi persembahan seseorang artis.  

Namun begitu, berapa ramai antara kita menghargai peranan 'komuniti seni' ini? Sekadar terhibur dengan lenggok tarian mereka, pernahkah ada antara kita menganggap bahawa 'komuniti seni' ini mempunyai peranan penting dalam menjayakan sesuatu persembahan seperti 'teater muzikal'?

Kebanyakannya 'tidak' bukan, kerana ada yang lebih menghargai figura artis berbanding penari. Ini termasuklah dari sudut 'pembayaran' perkhidmatan mereka seperti yang didedahkan oleh koreografer dan penari terkenal, Dr Joseph Gonzales kepada Bernama baru-baru ini.
    

Hanya RM5,000!
    
"Saya minta maaflah kepada semua produser. Pada pandangan saya, bayaran untuk penari terutama penari profesional adalah tidak wajar. Yang paling tinggi hanyalah RM5,000.

"Kalau banding dengan artis, memang jauh bezalah," ujar Gonzales.

Apa yang menyedihkan, pembayaran di bawah kontrak itu merangkumi segala keringat bermula dari latihan sehinggalah kepada persembahan.

Tidak bermaksud untuk 'meminta-minta' kerana memahami dengan jelas bahawa kesanggupan pembelian sesuatu tiket konsert itu sehingga beratus-ratus ringgit adalah disebabkan faktor populariti figura artis dan bukannya penari.

Namun begitu, adakah bayaran itu setimpal dengan komitmen mereka?

Ditambah pula, ada sesetengahnya memerlukan latihan sehingga berbulan-bulan bagi memastikan sesuatu persembahan itu berjaya sekali gus menghalang mereka daripada menerima tawaran lain.

"Bayaran RM5,000 itu bukan sebulan tetapi untuk seorang penari (profesional) bagi program seperti teater muzikal yang memerlukan mereka berlatih dua hingga tiga bulan dan lapan jam sehari.

"Sekiranya mereka (syarikat produksi) betul-betul hendak meningkatkan martabat dunia tari, sudah tiba masanya mereka menghargai usaha penari," kata Gonzales.


Insurans
    
Berbanding negara barat, kebajikan dunia penari di sana dilihat lebih 'terbela' berbanding di sini. Ia berdasarkan kepada bentuk pembayaran yang ditetapkan kepada golongan komuniti ini.

Bukan sekadar bayarannya sahaja yang lebih spesifik seperti pembayaran untuk latihan berlainan daripada persembahan, malah apa yang istimewanya adalah insurans juga terkandung dalam sesuatu kontrak persembahan!

Tidak dinafikan bahawa senario itu wujud mungkin disebabkan faktor kemajuan yang dikecapi industri kreatif negara berkenaan, bagaimanapun kata Gonzales sudah tiba masanya negara ini mengatur langkah seumpama dalam memartabatkan industri seni itu.

"Negara-negara Eropah mahupun Australia, Amerika Syarikat, mereka mempunyai persatuan untuk semua penghibur. Persatuan ini yang menetapkan, contohnya kalau diperlukan penari untuk sesuatu persembahan, kadar bayaran minimum ditetapkan untuk sesi latihan.

"Biarpun agak kurang sikit (bayaran untuk latihan) namun sistem pengurusan di negara barat termasuklah pemberian insurans bertujuan untuk menjaga kebajikan penari agar lebih teratur, rapi dan terurus," katanya.

Senario ini sekali gus merungkai kepada persoalan, "Adakah persatuan-persatuan seni negara ini tidak bersatu dalam memperjuangkan kebajikan komuniti seni sebagaimana di negara barat?".

Ketika diminta mengulas perkara itu, Gonzales berharap Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) negara ini memainkan peranan penting menggalas tanggungjawab dengan mengumpul semua produser dan mereka yang berkenaan melalui proses perbincangan sebagai antara langkah memartabatkan dunia penari.


Selalu di belakang
    
Secara logikalnya kehadiran penari dalam sesuatu persembahan sebenarnya boleh menceriakan suasana, namun komuniti seni ini acap kali dipandang ringan oleh kebanyakan masyarakat.  

Entah di mana silapnya, kerlipan sesuatu persembahan itu lebih menjurus kepada artis berbanding komuniti seni ini.

Mengapa?

"Dalam senarai kerjaya bidang seni, sebenarnya penari terletak di tahap paling rendah kerana merasakan golongan itu tidak penting dalam hirarki persembahan.

"Mereka menganggap bahawa penari mudah ditukar ganti tetapi bukan (Datuk) Siti Nurhaliza, Erra Fazira. Sebab itu, mereka tidak kisah. Senario ini berlaku bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia.

"Bagaimanapun, di barat boleh dipertimbangkan lagi kerana sistem mereka dalam menjaga kebajikan penari adalah lebih teratur," katanya yang juga Dekan Fakulti Tari di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Sebagai orang lama yang sudah berkecimpung lebih 30 tahun dalam bidang ini, beliau akui agak terkilan dengan senario seumpama. Apatah lagi, secara hakikatnya berapa ramai daripada kita begitu menghargai peranan komuniti penari ini.

Walhal tanpa adanya mereka, sudah tentu agak sukar untuk menjayakan persembahan berbentuk teater muzikal, Citrawarna dan pelbagai lagi.

Pandangan ini turut diakui oleh pensyarah Fakulti Tari Aswara, Mohd Yunus Ismail. Berpendapat 'rendahnya' status penari itu adalah disebabkan faktor posisi dalam sesuatu persembahan, Mohd Yunus berkata, ia akhirnya mewujudkan mentaliti ketidakpentingan golongan itu di mata masyarakat.

"Penari di Malaysia selalunya berada di belakang penyanyi dan senario inilah yang menyebabkan orang menganggap golongan ini tidak penting. Berbanding di Amerika, penyanyi dan penari 'blend together' semasa menjayakan sesuatu persembahan dan bukannya sekadar di belakang penghibur.

"Penari juga mempunyai status tersendiri dan inilah yang kita sedang cuba ubah," katanya.

Tugas mereka bukanlah sekadar memeriahkan pentas ataupun menceriakan suasana sesuatu persembahan. Malah, komuniti yang sering kali dipandang tidak penting ini sebenarnya turut berperanan menyampaikan mesej tertentu kepada masyarakat.

Tidak kiralah sama ada ia tarian berbentuk tradisional mahupun barat, setiap inci pergerakan mereka membawa definisi tertentu. Lihat sahaja tarian tradisional seperti Makyung, Kuda Kepang, setiap daripadanya membawa mesej tertentu.

Gonzales menjelaskan bahawa, kombinasi antara koreografer (pereka gerak tari sesuatu persembahan yang dijayakan oleh penari) dan penari boleh dijadikan sebagai satu medium meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu yang berlaku di sekeliling mereka.

"Mereka bukan sekadar menghibur tetapi juga berperanan memberi kesedaran mengenai isu seperti wanita, penderaan kanak-kanak yang dipersembahkan dalam bentuk seni kepada masyarakat. Ini secara tidak langsung membolehkan masyarakat berfikir," katanya.

Atas faktor itulah, Gonzales berpandangan sudah tiba masanya karier penari turut diberi perhatian meluas oleh masyarakat.

Faktor 'kekurangan modal' tidak lagi wajar dijadikan alasan untuk membayar 'ala kadar' kepada penari. Ini kerana, mereka (syarikat produksi, penganjur) tidak akan buat sesuatu projek persembahan atau pementasan itu sekiranya tiada modal, kata Gonzales.

Biarpun populariti mereka mungkin tidak setanding dengan figura artis, namun kemahiran mereka dalam sesuatu seni tarian sewajarnya tidak dipandang murah!


Apabila lelaki 'lembut'menjadi penari

Rencana bersiri ini cuba mengupas serba sedikit akan perjalanan kerjaya 'penari' tradisional mahupun moden di pentas industri seni negara ini.

Ini adalah bahagian kedua daripada empat siri. Bahagian ini akan menyentuh mengenai stigma dan mentaliti masyarakat kepada penari lelaki yang sering dianggap sebagai 'lelaki lembut' serta peluang kerjaya dalam industri ini.

    
Apabila anak lelaki menguar-uarkan niat untuk menjadi penari, boleh dikatakan kebanyakan ibu bapa yang bukan dilahirkan dalam dunia berkenaan selalunya menentang keras akan niat itu.   

Bagi komuniti ibu bapa ini, mereka melihat hasrat ini hanya sesuai untuk wanita dan keputusan membenarkan anak lelaki menyertai aktiviti seumpama, bermakna membuka pintu untuk terjebak dalam dunia 'lelaki lembut'.  

Ini bukanlah satu fenomena baru. Mungkin disebabkan faktor lelaki yang terlibat dalam dunia seni itu kebanyakannya dilihat agak 'lembut' akhirnya mewujudkan mentaliti sedemikian.

Apatah lagi, dunia lelaki lembut sering kali dipotraitkan dengan senario negatif yang sekali gus bertentangan dengan agama serta nilai moral kehidupan manusia, menyebabkan komuniti ibu bapa ini seboleh-bolehnya menentang keras akan niat anak lelaki mereka.

Namun begitu, adakah semestinya apa yang dilihat secara 'luaran lembut' itu sudah boleh memberi definisi jelas bahawa mereka golongan sedemikian? Hasil temuramah bersama dengan pensyarah Fakulti Tari di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) Mohd Yunus Ismail baru-baru ini menjawab isu itu.
    
    
Lelaki lembut
    
Membawa penekanan kepada peribahasa Melayu "kulit hitam orang tengok, tulang putih siapa jenguk", Mohd Yunus berkata, tidak semestinya apa yang dilihat luaran lembut itu, boleh dikategorikan sebagai lembut secara keseluruhannya.

"Orang Melayu sudah disahsiahkan bahawa anak lelaki yang menari akan jadi lembut dan maknyah. Kita tidak boleh salahkan mereka kerana apa yang mereka nampak realitinya begitu.

"Soalan macam ini saya sudah biasa kerana kita lihat banyak lelaki berjiwa lembut ini menari. Ini kerana golongan sebegini memang sangat suka benda-benda yang seumpama. Tetapi, harus diingat bahawa tidak semestinya mereka ini adalah lembut secara keseluruhannya," katanya.

Namun begitu, beliau yang merupakan penerima Anugerah Bakat Muda Selangor 2011 berkata bukan semua dunia seni tari ini dimeriahi dengan golongan itu kerana terdapat ramai juga pembabitan daripada lelaki yang dikategorikan sebagai maskulin dan 'keras'.
    

Stamina kuat
    
Secara logikalnya, seseorang penari lelaki itu perlu nampak 'jantan' untuk menghidupkan watak dalam tarian mereka, tidak kiralah sama ada ia tarian tradisional ataupun moden.

Contohnya, tarian 'breakdance' mempunyai elemen akrobatik yang kadang-kadang dilihat agak berbahaya, dan ia sekali gus menampakkan pergerakan tegas, berani
dan berketrampilan seorang lelaki.

Itu tarian moden. Tarian tradisional seperti Zapin, Bharata Natyam (tarian klasik India), semuanya memerlukan penari lelaki itu menonjolkan sifat "kejantanan" bagi menghidupkan watak sesebuah persembahan. Harus diingat bahawa setiap persembahan tarian mempunyai jalan cerita tersendiri.

Cuma, persepi 'lelaki lembut' ini wujud disebabkan kebanyakan golongan itu menceburi bidang berkenaan.

Namun, apa yang istimewanya terhadap lelaki yang dikatakan lembut ini adalah kelebihan mereka yang cepat menguasai sesuatu kemahiran tarian berbanding lelaki maskulin dan 'keras'.

"Kelebihan lelaki yang berjiwa lembut ini adalah pergerakan mereka senang dibentuk. Kita tidak cakap lelaki keras tidak pandai menari, cuma hendak bentuk itu agak lama," katanya.

Bagi koreografer dan penari terkenal, Dr Joseph Gonzales pula, beliau menganggap isu 'lelaki lembut' di kalangan penari lelaki sudah tidak relevan lagi kerana bukan semua orang boleh menjadi penari.

"Sebenarnya yang lembut itu ramai tidak mampu jadi penari pun, kerana susah.

Hendak jadi penari, anda kena jadi sangat kuat, stamina perlu ada. Ini kerana, penari ini seperti atlet," katanya.

    
Bergantung pada anda sendiri
   
Walau bagaimanapun, Mohd Yunus berkata, beliau memahami akan kerisauan yang melingkari ibu bapa tatkala diberitahu akan niat anak lelaki mereka untuk jadi penari.

Namun begitu, pendidikan agama dan moral yang mencukupi semasa proses pembesaran anak lelaki mereka itu, secara tidak langsung bertindak sebagai 'benteng' terbaik menghalang golongan muda ini daripada terjebak ke dunia liar.

"Sekiranya ibu bapa sudah mendidik sebaik mungkin dan selama ini anaknya pun seorang yang mendengar kata, jadi janganlah risau.

"Akan tetapi, sebagai manusia biasa tidak dinafikan bahawa manusia mudah terpengaruh, mudah terikut dengan keadaan sekeliling. Cuma, nasihat saya kalau dia (anak lelaki) tetap mahu ceburi bidang ini, ibu bapa boleh 'keep-in-track'," katanya.


Peluang kerjaya
   
Selain daripada faktor 'lelaki lembut' kebanyakan ibu bapa tidak menggemari anak mereka memilih 'tarian' sebagai profesion kerana menganggap ia bukanlah bidang yang menjamin masa depan.

Bagi ibu bapa, profesion seperti doktor, guru, jurutera adalah lebih menjaminkan dan sentiasa menjadi pilihan mereka.

Namun demikian, kelihatannya senario sudah berubah. Apatah lagi, evolusi terhadap industri ini menampakkan perkembangan yang memberangsangkan sejak 10 tahun kebelakangan ini.

Bagi pihak kerajaan pula, nampaknya semakin mengambil berat akan industri kreatif yang dilihat berpotensi besar menyumbang kepada pendapatan ekonomi negara.

Apatah lagi, dengan tertubuhnya institusi seperti Aswara yang sebelum ini dikenali sebagai Akademi Seni Kebangsaan (ASK) secara tidak langsung banyak membantu melahirkan generasi pelapis kepada penggiat seni yang ada.

Menurut Gonzales, kerjaya tarian di negara ini terutama dalam dunia akademik sudah semakin meluas terutama dengan penubuhan dua buah sekolah seni masing-masing di Johor Baharu dan Sarawak.

"Universiti-universiti awam dan swasta banyak menawarkan bidang seni dan ini memerlukan mereka untuk mendapatkan tenaga pengajar yang bagus serta berkelayakan.

Agensi kerajaan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), turut menawarkan peluang pekerjaan kepada penari.

Paling tidak pun, mereka yang berkelulusan dalam bidang tari ini juga boleh membabitkan diri sebagai koreografer.

Peluang-peluang kerjaya ini sekali gus menafikan dakwaan bahawa bidang tari adalah bidang yang sia-sia, buang masa dan membazirkan wang ringgit berikutan kos pembelajarannya yang sangat tinggi.

Mungkin proses memartabatkan dunia tari ini mengambil masa, namun dengan adanya peluang kerjaya yang terbentang luas secara tidak langsung akan menjadikan ia sebagai antara bidang pilihan sebagaimana profesion lain!


Tarian melangkaui budaya

Rencana bersiri ini cuba mengupas serba sedikit akan perjalanan kerjaya 'penari' tradisional mahupun moden di pentas industri seni negara ini.

Ini adalah bahagian ketiga daripada empat siri. Bahagian ini akan menyentuh keunikan perpaduan pelbagai kaum negara ini yang bukan sahaja merentasi kemuafakatan bersama malah turut melangkaui kepada penerimaan budaya.  


Suasana di dewan Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara tiba-tiba bertukar wajah. Dari terang pencahayaan lampu, digantikan pula dengan penggunaan lampu sorot pelbagai warna.

Biarpun agak gelap, namun masih lagi dapat melihat riak muka tetamu yang nampaknya sudah tidak begitu sabar untuk mengetahui jenis persembahan yang bakal dipentaskan nanti.

Sebaik sahaja muzik menembusi setiap penjuru dewan, pandangan tetamu mula terpaku melihat gerak langkah persembahan di hadapan mereka. Dengan gaya yang mengagumkan, pasangan ini mula memukau tetamu dengan aksi serta tari mengikut rentak muzik.

Paling menarik ialah keupayaan pasangan penari ini menari dengan penuh perasaan menerusi penggunaan pancaindera mata ketika menarikan tarian yang dikenali sebagai 'bharatanatyam'.

Namun, tetamu bagaikan tidak percaya apabila diberitahu pengacara majlis bahawa pasangan penari klasik kaum India itu adalah Norbaizura Abd Ghani dan Mohd Yunus Ismail, keturunan Melayu!
   

Semuanya berbalik kepada niat
   
Bukan satu fenomena baru sebenarnya kerana negara juga sudah mempunyai penari klasik India terkenal berketurunan Melayu seperti Ramli Ibrahim dan Zamin Harun. Namun, tidak ramai.

Ini mungkin disebabkan faktor kurangnya pendedahan serta elemen keagamaan yang secara tidak langsung dikatakan menjadi benteng untuk sesuatu kaum itu menyelami budaya tarian kaum lain.

Tambahan pula, tarian bharatanatyam yang merupakan tarian tradisional India berkisar kepada legenda Hindu yang penuh dengan kisah dewa dan dewi agama itu serta senario persekitaran pembelajaran di kuil sekali gus mungkin memberi pelbagai persepi.

Bagaikan sudah menjangka persoalan itu bakal ditanya, kedua-dua pensyarah Fakulti Tari di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ini mengukir senyuman penuh makna.

Mengakui mempelajari peringkat 'arangetram' dalam tarian bharatanatyam di Temple of Fine Arts (TOFA) Brickfields, Kuala Lumpur, kedua-duanya menegaskan bahawa semuanya berbalik kepada niat seseorang itu.

"Walaupun kami belajar di TOFA, tetapi ia adalah sebuah institusi yang mempunyai studio. Kami mempelajari tarian ini di studio yang berada di tingkat enam manakala kuil mereka di tingkat atas.

"Kami faham bahawa tarian klasik India ini adalah lebih kepada pujaan Tuhan mereka, namun cikgu-cikgu yang mengajar tidak melibatkan elemen agama dalam tarian.

"Apabila cikgu menerangkan kewujudan dewa dalam cerita yang akan ditarikan, kami hanya mengambil naratif sahaja supaya tarian itu dapat dipersembahkan dengan baik," kata Mohd Yunus kepada Bernama.

Tambahnya, adalah tidak wajar menilai seseorang itu berdasarkan kepada aspek luaran kerana selagi mereka berpegang teguh kepada agama serta tahu membezakan mana yang benar dan silap, perkara seperti murtad atau keluar agama tidak akan berlaku.


Unik tarik minat
    
Bagi Norbaizura, keunikan tarian klasik India itu akhirnya mendorong beliau untuk mempelajarinya secara mendalam.

Apa yang istimewanya dengan wanita kelahiran Kuala Lumpur ini adalah beliau telah berjaya menguasai peringkat arangetram dalam tarian bharatanatyam sekali gus mencatatkan sejarah tersendiri menjadi wanita Melayu pertama berbuat demikian.

"Semasa saya belajar Diploma Tari di sini, kami dikehendaki untuk mempelajari semua jenis tarian. Dari situlah saya mula meminati tarian India kerana merasakan ia sangat unik.

"Ketika melanjutkan pelajaran dalam ijazah, baru boleh fokus apa yang kita minat. Jadi, saya buat major dalam persembahan tarian klasik India untuk tahun akhir," kata gadis berusia 26 tahun ini.

Berlainan pula dengan Mohd Yunus. Baginya, cabaran serta 'kesakitan' yang dialaminya sepanjang mempelajari tarian itu, akhirnya mengubah daripada perasaan 'benci' untuk terus mendalami bharatanatyam.

"Tarian ini sangat mencabar kerana anda perlu mempunyai stamina yang kuat.

Mereka bukan sahaja perlu menggunakan tenaga untuk menghentak kaki, tangan, kepala mengikut rentakan lagu yang sangat laju, malah ada kalanya perlu melompat.

"Tetapi disebabkan saya suka benda-benda yang mencabar, galakan daripada tenaga pengajar serta faktor tidak ramai orang Melayu menguasai tarian klasik India ini, menguatkan lagi semangat saya untuk terus belajar," kata anak kelahiran Batu Pahat, Johor.

    
Filem Tamil   
   
Bukan sahaja pergerakan kepala, tangan, badan dan kaki sahaja yang penting dalam tarian klasik India ini, malah kemahiran mengungkapkan pancaindera mata mengikut jalan cerita yang ingin dipersembahkan juga amat penting bagi membangkitkan emosi penonton.

Bagi tujuan itu, baik Mohd Yunus dan Norbaizura masing-masing mengambil insentif menonton filem Tamil versi hitam putih untuk mempelajari reaksi muka pelakon ketika marah, gembira, sedih mahupun kecewa.

"Tarian bharatanatyam memerlukan seseorang penari itu melahirkan ekspresi yang berlebihan. Kami cuba mempelajarinya dengan menonton filem Tamil dan kemudian mempraktikkannya di hadapan cermin sehingga berhasil.

"Selain itu, kami banyak merujuk ekpresi muka tenaga pengajar," kata Mohd Yunus.

    
Pencapaian
   
Kedua-duanya masih muda. Namun, bakat mereka semakin terserlah dan tidak mustahil suatu hari nanti kedua-dua penari tarian klasik India ini bakal menempa nama sebaris dengan Ramli dan Zamin.

Apatah lagi, kredibiliti mereka dalam tarian klasik India kian terbukti apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Bakat Muda Selangor 2011 pada September lepas.

Tidak sekadar itu, malah bakat mereka turut dihargai apabila menerima banyak tawaran untuk menjayakan persembahan bukan sahaja dalam negara malah melangkaui luar negara.

Antaranya, China, India, Thailand, Australia, England, Hong Kong dan Singapura. Baik Mohd Yunus dan Norbaizura, masing-masing pernah terlibat dalam menjayakan teater muzikal Puteri Gunung Ledang dan 'The Legend: The Journey Begins with Maya Dance Theatre' di Singapura.

"Sampai saat ini, kami masih belum dapat menguasainya dan akan terus belajar dan mempelajarinya," kata Mohd Yunus mengakhiri bicara.


Adakah kemungkinan tarian tradisional bakal pupus?

Rencana bersiri ini cuba mengupas serba sedikit akan perjalanan kerjaya 'penari' tradisional mahupun moden di pentas industri seni negara ini.

Ini adalah bahagian akhir daripada empat siri. Bahagian ini akan menyentuh mengenai peranan 'Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) Dance Company' dalam usaha memartabatkan tarian tradisional di kalangan masyarakat khususnya generasi muda.

    
KUALA LUMPUR - Secara jujurnya, berapa ramai anak muda hari ini yang menyatakan minat untuk mempelajari tarian tradisional secara sukarela berbanding tarian moden?

Mungkin, bilangannya hanya segelintir sahaja. Bagi mereka, tarian tradisional adalah sangat membosankan, tidak bergaya, tiada nilai komersil dan hanya sesuai untuk ditarikan bagi generasi sebelum ini.

Namun, tidak bagi tarian seperti breakdance, hip hop, jazz dan paling berpengaruh saat ini ialah penularan budaya tari K-Pop. Mereka berpendapat generasi hari ini lebih sesuai dengan tarian sedemikian.

Tambahan pula dari atas sampai ke bawah, bukan sahaja penampilan mengikut gaya artis negara Korea itu, tetapi gaya tari mereka juga menjadi pujaan anak muda hari ini berbanding minat menakluki tarian tradisional.

Melihat senario itu sebagai satu kebimbangan, menginjak Aswara menubuhkan 'Aswara Dance Company' di bawah Fakulti Tari sebagai alternatif mendedahkan serta memartabatkan kembali kegemilangan tarian tradisional yang kini dilihat kian pupus.
    

Cetek pengetahuan
   
Transformasi globalisasi serta penembusan kuasa medium elektronik seperti televisyen dikatakan menjadi antara punca kecenderungan minat generasi hari ini lebih menjurus kepada tarian moden.

Bertambah parah lagi, apabila kurangnya pendedahan diberikan kepada mereka menyebabkan hampir kebanyakan anak muda hari ini 'cetek pengetahuan' tatkala diajukan akan variasi tarian tradisional.

"Ramai yang tidak tahu. Contohnya, seperti tradisi menari dalam perayaan atau majlis sudah semakin hilang terutamanya apabila mereka berpindah ke bandar.

"(Kemudian) kalau bergaul pun, hanya bergaul dengan kaum sendiri. (Jadi) mereka hanya mengetahui tarian dari kaum sendiri sahaja, itu pun bukan semua.

Pendedahan pula lebih ke arah tarian barat... semua orang sekarang ini hendak jadi seperti orang Korea.

 Tetapi, apabila kita tanya kenapa bukan joget, inang, zapin, mereka kata bosan. Disebabkan itulah mereka merasakan tarian tradisional tidak mempunyai nilai komersil," kata koreografer dan penari terkenal, Dr Joseph Gonzales kepada Bernama.

Penularan senario ini akhirnya memberi kesan kepada usaha penambahan kuantiti generasi pelapis tarian tradisional. Tambah menyedihkan apabila diberitahu Gonzales bahawa kebanyakan penggiat seni tarian tradisional ketika ini sudah meniti usia emas.

    
Tidak kenal maka tak cinta
   
Rasa bosan terhadap dunia tari tradisional adalah berkemungkinan besar disebabkan mereka tidak pernah mencubanya. Seperti kata pepatah lama "tidak kenal maka tak cinta".

Kurang pendedahan dan sekadar menonton sekali-sekala persembahan tarian tradisional, mendorong majoriti anak muda hari ini terus membuat spekulasi 'bosan' berdasarkan kepada gerakan dan muziknya yang perlahan (bergantung kepada jenis tarian).

Atas faktor itu, Gonzales berkata, ada keperluannya bagi setiap ibu bapa meluangkan masa bersama anak dengan menceritakan mengenai keunikan tarian tradisional ataupun membawa mereka menonton persembahan.

Beliau yang juga Dekan Fakulti Tari di Aswara berkata sudah tiba masanya pembelajaran budaya dan tarian dijadikan sebagai satu subjek 'wajib ambil' dalam usaha menanam minat generasi muda mencintai tarian tradisional.  
    
    
Aswara dance company
    
Melihat kepada kepentingan 'pendedahan' membawa institusi, yang terkenal dengan pembangunan modal insan dalam bidang seni budaya dan warisan, Aswara, untuk mendekati masyarakat menerusi sesi jelajah dan bengkel berkaitan kepelbagaian tarian tradisional.

Digerakkan menerusi Aswara Dance Company, ia terdiri daripada 19 orang merangkumi penari pelapis senior, penari pelapis junior dan seorang penari jemputan yang dibimbing sendiri oleh Gonzales.

Bagi menjayakan program itu, Yayasan Sime Darby telah menaja sebanyak RM380,000 bagi tempoh setahun bermula Jun lepas merangkumi pembayaran gaji kepada Aswara Dance Company, penginapan dan perbelanjaan semasa sesi jelajah, promosi serta publisiti, peralatan teknikal, perlindungan insurans dan cenderahati.

Pengerusi Kumpulan Sime Darby Tun Musa Hitam berkata penajaan itu selari dengan satu daripada lima teras utama tanggungjawab sosial korporat yayasan berkenaan iaitu di bawah cabang Seni dan Budaya.

Justeru, menerusi program ini diharap berupaya menarik minat generasi muda hari ini untuk mencintai tarian tradisional negara. Biarpun ia akan mengambil masa, namun usaha murni Aswara dan Yayasan Sime Darby dalam memartabatkan kembali kegemilangan seni tarian tradisional sewajarnya tidak dipandang ringan.

Bak kata orang, 'Tidak kiralah sekecil manapun langkah itu, tetapi ia lebih baik daripada langsung tidak berbuat apa-apa'. - Bernama