• Pengaruh motivasi untuk berubah Pengaruh motivasi untuk berubah
1 /

Pernahkah anda menghadiri sesuatu program motivasi anjuran pihak tertentu? Apa tujuan sebenar anda sertainya? Apakah perubahan pada diri selepas menyertainya? Bagaimanakah anda dapat tahu program berkenaan benar-benar memberi impak positif kepada anda? Berbaloikah pelaburan anda menyertai program seperti ini?

Semua persoalan ini mungkin menerjah dalam fikiran anda apabila ingin menyertai program motivasi anjuran pihak tertentu sama ada akan memberikan kesan positif ataupun tidak. Namun anda mungkin boleh menarik nafas lega apabila melakukan serba sedikit pencarian maklumat berkenaan program berkenaan sebelum menyertainya.

Perunding motivasi, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad berkata, program seumpama itu diadakan untuk mendorong setiap peserta mencapai satu matlamat dan sasaran lebih baik daripada apa yang diperoleh sebelum ini.

“Namun matlamat menyertai program motivasi itu berbeza, mengikut jenis perubahan yang diperbaiki. Contohnya jika seseorang mahu meningkatkan produktiviti kerjanya, dia perlu mengikuti motivasi berkaitan kemahuannya. Manakala jika seorang pelajar mahu berjaya dalam pelajarannya, dia perlu menyertai motivasi berkenaan tip untuk berjaya dalam pelajaran,” katanya kepada penulis.


Kenali potensi

Tengku Asmadi memberitahu, banyak kelebihan boleh diperoleh jika menyertai program motivasi ini. Antaranya, peserta dapat menyelami potensi diri dan bakat kebolehan yang tidak diketahui sebelum ini.

“Selain itu, program ini dapat memberikan contoh peserta yang berjaya untuk dijadikan ikutan. Daripada situ, orang lain boleh mengambil contoh tersebut sebagai panduan dan semangat kepadanya untuk berubah.

“Apa yang lebih penting, peserta boleh mengetahui rahsia dan petua untuk berjaya atau meningkatkan potensi diri melalui tip yang diberikan, seterusnya membantu diri untuk berubah kepada lebih cemerlang,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengarah Urusan MAP Training and Consultancy Sdn Bhd berkata, apa yang penting ialah tujuan peserta mahu menyertai program berkenaan.

“Jika tujuan mereka dirancang, maka mudah untuk ambil tindakan atau pelan tindakan apa perlu dilakukan. Di sesebuah program motivasi, diselitkan pelan tindakan untuk dilakukan oleh peserta sebagai motivasi mengubah pencapaian diri,” ujarnya.

Tengku Asmadi berkata, sebagai panduan, terdapat beberapa langkah boleh diikuti untuk menyertai program motivasi. Antaranya perlu lihat individu yang menyampaikan motivasi mempunyai pengalaman, ilmu, akhlak baik dan boleh diikuti kredibiliti serta integriti mereka.

“Anda perlu tahu kandungan program itu sama ada menepati kehendak dan tujuan anda. Tidak boleh tengok tajuk sahaja, tetapi keseluruhan kandungan tajuk yang hendak disampaikan.

“Daripada segi kos pula sebenarnya tidak menjadi masalah. Ini kerana kos program itu termasuk tempat diadakan, pengalaman individu yang memberi motivasi, kelengkapan disediakan dan ilmu mahu disampaikan," katanya.


Kesedaran diri

Beliau menambah, jika mahu berjaya perlulah buat sedikit pelaburan kerana ilmu diperoleh itu akan memberikan keuntungan sampai bila-bila. Langkah seterusnya, anda perlu tahu tempoh program diadakan sesuai dengan jenis program motivasi. Setiap program berbeza tajuk.

Misalnya jika motivasi berkaitan tip menjawab soalan matematik, maka motivasi selalunya berlangsung selama sehari atau dua hari sahaja. Tetapi jika motivasi untuk belajar al-Quran ia akan memakan masa panjang sehingga berbulan kerana al-Quran itu luas ilmunya.

“Perlu diambil perhatian daripada segi pengalaman penyampai motivasi. Mestilah individu tersebut banyak pengalamannya serta kejayaan melalui program tersebut. Ini penting untuk melihat siapa mahu mengajar anda.

“Jika betul pengajarnya, maka betullah jalan hendak berjaya. Jika salah pilih, akan hancurlah masa depan kita,” jelasnya.

Ditanya mengenai peringkat umur yang sesuai untuk sertai program motivasi, Tengku Asmadi berkata, ia bergantung kepada jenis motivasi. Jika motivasi berkaitan tip berniaga, maka pelajar, pekerja, suri rumah, dan pihak terlibat sesuai menyertainya. Manakala motivasi berkaitan tip belajar al-Quran, semua peringkat umur boleh sertainya.

“Justeru, umur bukanlah masalah untuk menyertai program motivasi ini asalkan diri merasa perlu menyertainya demi kebaikan diri sendiri,” ujarnya.

Sama ada berbaloi ataupun tidak menyertai motivasi ini, terpulang kepada individu yang ada kesedaran diri sendiri untuk meningkatkan potensi diri.

“Oleh itu perlu bertanya kepada peserta yang pernah menghadiri motivasi sama ada program itu memberikan kesan positif ataupun tidak.

“Tetapi jangan mendapatkan pandangan daripada seorang sahaja, dapatkan ramai bekas peserta dan daripada pihak penganjur agar gambaran sebenar memberikan keuntungan kepada diri,” katanya.