• Mohd Rozi bersama siakap yang berjaya diumpannya. Mohd Rozi bersama siakap yang berjaya diumpannya.
1 /

Memancing ikan memang seronok. Selain menjanjikan tangkapan ikan besar lagi lumayan, pengalaman berdepan gangguan ribut mahupun tiupan angin kencang di tengah lautan pastinya menjadi kenangan paling diingati sehingga kini.

Kaki pancing tegar, Mohd Rozi Mohamed Rashid memberitahu, apa jua cabaran yang berlaku sepanjang aktiviti memancing itu semuanya tidak diendahkan oleh kaki pancing sepertinya. Yang paling dititik beratkan hanyalah hasil yang diinginkan berjaya diangkat dan senyuman kepuasan sudah tentu akan terukir di setiap bibir pemancing ini.

Dia yang tinggal di Lembah Klang dan acap kali turun memancing berkata, kawasan Pelabuhan Klang merupakan tempat paling hampir memancing ikan air masin atau ikan muara. Lokasinya yang dekat bagi penggemar memancing muara menjadikan Pelabuhan Kelang dan lokasi sekitar cukup popular.

Selain itu, lokasi yang menjadi kegemaran pemancing ialah sepanjang selat dan terusan, di tepi reba bakau, terusan sungai menghala ke Pulau Ketam, persisiran pantai Acheh di Pulau Indah dan berdekatan sangkar ikan sepanjang Selat Kering.

Cerita Fauzi lagi, dulu dia pernah bersama rakan-rakan memancing di perairan sekitar Pulau Ketam dan kawasan Pelabuhan Klang semata-mata sudah lama tidak turun memancing. Walau kawasan ini bukanlah seperti memancing di perairan-perairan laut dalam, namun ia masih boleh memberi laba yang tidak kurang lumayannya.

“Memancing di mana-mana pun sama kerana segalanya bergantung kepada faktor air, cuaca, umpan dan tekong yang bijak dan tahu di manakah lubuk yang terbaik melabuhkan umpan.

“Apa yang penting, pancingan sekitar ini boleh dianggap sebagai port memancing santai bagi warga Lembah Klang yang sentiasa kesibukan masa pergi memancing ke laut. Tambahan pula lokasinya dekat (boleh pulang hari) dan kosnya juga berpatutan,“ katanya.

Bagi mereka yang ingin menduga port pancingan di ini, terdapat beberapa lubuk yang boleh dikunjungi. Biasanya sekitar Pulau Ketam (sama ada sekitar sangkar ikan, bangkai kapal tenggelam), lubuk sekitar Stesen Janakuasa Hidro Kapar, Pulau Jemur, Angsa dan sebagainya termasuklah lubuk yang agak jauh iaitu Pintu Gedung dan juga pancingan dari atas Rumah Api One Phantom Bank (Permatang Sedepa).

Memancing bersama rakan

Tiba hari dinantikan, Mohd Rozi mengajak beberapa orang rakan, Fauzi, Zul, Azmi dan Azri memancing di sekitar Pulau Ketam. Mereka bergerak pada awal waktu subuh dari Jeti Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang.

Disebabkan lokasinya bukanlah laluan kapal yang memerlukan set pancingan kasar, maka peralatan yang digunakan sederhana sahaja. Malah, satu set kecil di bawa sebagai persediaan menangkap ikan-ikan kecil sementara menanti ikan besar mengena umpan.

“Kesabaran tinggi perlu dimiliki oleh setiap kaki pancing kerana bukan senang nak menaikkan ikan besar ini. Jika berjaya sekalipun, kiranya pemancing itu nasibnya cukup baik pada hari tersebut,“ ujar Mohd Rozi.

Menurutnya lagi, selain Pulau Ketam, mereka turut singgah beberapa lokasi lain untuk melabuhkan umpan. Sama seperti tempat tadi, ikan yang diimpikan susah mengena walau sudah mencari port terbaik iaitu di muara sungai iaitu berdekatan dengan tiang-tiang konkrit dermaga kapal.

“Ada rakan yang menggunakan umpan hidup berjaya menaikkan siakap bersaiz sekitar 2 kg. Memang dia gembira sangat. Seterusnya, ada yang berjaya menaikkan ikan kerapu, gerut-gerut dan juga tanda. Kiranya tak rugilah memancing di sini walau tempatnya kecil,“ ujarnya sambil menambah memancing di sekitar Pulau Ketam merupakan port terbaik buat kaki-kaki pancing.

Kunjungan ke Tukun Che Minah

Keesokan harinya, Mohd Rozi dan rakan-rakan meluangkan masa menuju ke Tukun Che Minah iaitu sebuah tukun kuboid (terdapat 3 kuboid di sini yang dibina sekitar awal tahun 2002 hingga penghujung tahun 2008) dibina oleh Jabatan Perikanan yang terletak tidak jauh dari sangkar ikan Pulau Ketam.

Ia berfungsi sebagai sarang atau rumah ikan sekali gus berfungsi sebagai menambah baik tangkapan pada pemancing dan nelayan di sini.

Masing-masing tidak ketinggalan membawa umpan seperti udang pasar dan umpan hidup. Seperti biasa, ikan gelama yang mendominasi tangkapan kerana umpan udang pasar paling banyak dibawa.

Berdasarkan pengalaman orang ramai, kaki pancing harus membawa umpan terbaik jika inginkan ikan besar umpama jenahak, merah, tanda dan kerapu dinaikkan.

Umpan sotong kurita yang bernilai RM6-RM8 seekor mungkin patut menjadi pilihan utama pemancing kerana hasil yang diinginkan tentu tidak memakan masa agak lama.

Jenahak yang kebiasaan menjadi buruan utama kaki pancing tentunya tersentap dan kalah di tangan pemancing. Walau terkenal dengan kekuatan segala macam, daya juang yang tinggi namun bila umpan sotong kurita di tebarkan, hilanglah segala tenaga jenahak.