Sering kali, orang ramai dinasihatkan supaya masuk ke dalam rumah atau bangunan apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah tahap tidak sihat.

Tetapi, ke mana kita boleh pergi jika kualiti udara dalam rumah atau bangunan juga pada tahap sama atau lebih berbahaya?

Hasil kajian oleh Nippon Paint (M) Sdn Bhd (Nippon Paint) dengan usahasama Universiti Putra Malaysia (UPM) mengenai Kajian Kualiti Udara Dalaman (IAQ) Nippon Paint menunjukkan, kualiti udara dalam bangunan di Lembah Klang amat membimbangkan disebabkan oleh pencemaran daripada formaldehid.

Formaldehid adalah gas tanpa warna, berbau kuat, larut air dan ada jisim sama seperti udara. Ia mudah meruap dalam suhu sekeliling atau kelembapan tinggi dan mudah terkumpul dalam bangunan tumpuan ramai.

Kajian rintisan itu dilakukan oleh penilai IAQ bertauliah iaitu dari Unit Perubatan Alam Sekitar dan Pekerjaan, Jabatan Kesihatan Masyarakat dan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM, baru-baru ini, menunjukkan pendedahan formaldehid dalaman dan Jumlah Sebatian Organik Meruap (TVOC) serta kesannya terhadap kesihatan pernafasan, alahan dan asma dalam kalangan penghuni bangunan.

Kajian tersebut memberi tumpuan kepada empat jenis bangunan utama iaitu kediaman bertanah dan pangsapuri, tempat awam, bangunan komersil dan pejabat.

Dengan kawasan tumpuan penduduk utama di Lembah Klang sebagai sasaran dan dalam tempoh dua bulan, sejumlah 1,163 sampel udara telah dikumpulkan dan lebih 400 penghuni bangunan ditemu ramah, meliputi 200 pejabat dan 213 rumah kediaman.

Bahaya formaldehid

Di negara maju, formaldehid sudah lama dikenal pasti sebagai bahan pencemar yang memudaratkan kesihatan dan pendedahan kepadanya dikawal dengan ketat.

Contohnya, pada 1987, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) Amerika Syarikat menetapkan piawaian yang mengurangkan jumlah pendedahan pekerja kepada formaldehid sepanjang tempoh lapan jam kerja sehari, dari tiga ppm (part per million atau bahagian setiap juta) kepada satu ppm.

Pada Mei 1992, piawaian itu dipinda dan had pendedahan dikurangkan lagi kepada 0.75 ppm. Di Jepun, peraturannya adalah lebih ketat, iaitu 0.08 ppm.

Di Malaysia, piawaian Kod Amalan Industri (ICOP) yang ditetapkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Malaysia bagi had maksimum formaldehid di ruang kediaman adalah 0.1 ppm, iaitu lebih tinggi daripada had yang dibenarkan oleh Amerika Syarikat dan Jepun.

IAQ merujuk kepada kualiti udara dalam bangunan yang diukur menerusi penumpuan bahan cemar dan haba seperti suhu serta keadaan kelembapan relatif yang menjejaskan kesihatan, keselesaan dan prestasi penghuni.

Hasil kajian IAQ Nippon Paint menunjukkan, 20 hingga 30 peratus bangunan pejabat mempunyai tahap formaldehid melebihi piawaian had pendedahan dibenarkan (PEL).

86 peratus daripada responden merungut tentang bau kuat yang mereka percaya berpunca daripada permaidani, cat dan peralatan pejabat.

Ukuran formaldehid dalam bangunan swasta mencatat bacaan jauh lebih tinggi daripada bangunan awam, dengan bangunan pejabat mencatat bacaan lebih tinggi daripada had boleh diterima bagi formaldehid berbahaya (sehingga 0.25 ppm), berbanding persekitaran dalaman lain.

Tahap formaldehid kedua paling tinggi didapati di pusat beli-belah dan pasar raya besar (sehingga 0.24 ppm), dan tahap maksimum ialah di tempat awam seperti klinik, perpustakaan, dan muzium adalah lebih kurang 0.16 ppm manakala di rumah persendirian adalah dalam julat yang dibenarkan, tahap di banglo adalah lebih tinggi berbanding rumah jenis lain (seperti rumah berangkai dan pangsapuri).

Kesan formaldehid

Pendedahan berlebihan kepada formaldehid boleh menyebabkan gejala kerengsaan di kalangan individu sensitif. Bukti daripada beberapa kajian juga menunjukkan ia boleh menjejaskan sistem saraf pusat, mengakibatkan sakit kepala, kelesuan, dan kemurungan.

Ia juga berpotensi untuk mencetuskan serangan asma. Pendedahan jangka panjang kepada tahap formaldehid lebih rendah boleh menyebabkan masalah pernafasan, terutama sekali di kalangan penghidap asma.

Di samping itu, kajian ke atas haiwan menunjukkan bahawa formaldehid berpotensi sebagai karsinogen kepada manusia.

Pada 2004, Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengklasifikasikan formaldehid sebagai bahan karsinogen kepada manusia, dan pada Jun 2011, Jabatan Kesihatan Amerika Syarikat memasukkan formaldehid ke dalam senarai bahan kimia yang diketahui boleh menyebabkan kanser atau boleh meningkatkan risiko kanser.

Formaldehid dilepaskan ke dalam udara dalam bangunan daripada bahan binaan, perabot, permaidani dan produk kayu seperti papan zarah, panel papan lapis kayu keras, dan papan gentian kepadatan sederhana.

Lebih tinggi suhu dalam bangunan, lebih banyak formaldehid disebarkan ke dalam persekitaran dalam bangunan. DOSH mengesyorkan suhu dalam bangunan antara 23 hingga 26 darjah Celcius.

Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Teknikal) Selangor, Ir Anuar Mohd Mokhtar berkata, DOSH giat menggalakkan Kod Amalan Kualiti Udara Dalam Bangunan 2010.

“Kod amalan industri ini bertujuan menyediakan garis panduan bagi menambah baik kualiti udara dalam bangunan bagi menetapkan piawaian minimum bagi parameter terpilih.

“Ini dapat mengelakkan ketidakselesaan atau kesan buruk ke atas kesihatan di kalangan pekerja dan penghuni bangunan atau persekitaran tertutup yang menggunakan sistem pengalihan udara mekanikal dan sistem pendingin udara (MVAC) termasuk air-cooled split unit (unit terpisah dingin udara),” jelasnya.

Katanya, menjadi tanggungjawab am ditetapkan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [Akta 514] bagi majikan dan penghuni (termasuk pemilik bangunan dan pengurusan bangunan) untuk mendidik majikan bahawa kualiti udara yang baik dalam bangunan diperlukan untuk menjamin persekitaran kerja dalam bangunan yang sihat.

Nippon Odour-less AirCare

Sementara itu, Pengarah Urusan Nippon Paint, Yaw Seng Heng berkata, pihaknya sentiasa  memandang berat terhadap tahap formaldehid dalam bangunan yang semakin meningkat dan memulakan penyelidikan untuk membantu mengurangkannya beberapa tahun dahulu.

Menurutnya, hasil penyelidikan ini seterusnya menghasilkan inovasi cat dinamakan Nippon Odour-less AirCare, yang menyegarkan udara dengan menyerap formaldehid.

“Nippon Odour-less AirCare dilancarkan pada 2010 dan dicipta untuk kegunaan dalaman dan mengandungi rumusan khas dengan teknologi karbon aktif.

“Apabila disapu pada permukaan, cat menyerap formaldehid yang membawa mudarat, menukarnya menjadi wap air dan pada masa sama menguatkan lapisan cat,” katanya.

Katanya, ia kemudiannya membebaskan semula wap air ke dalam atmosfera seterusnya membantu menyegarkan semula udara.

“Ini menjadikan udara dalam bangunan lebih bersih dan persekitaran hidup lebih sihat,” jelasnya.

Untuk maklumat lanjut mengenai laporan Kualiti Udara Dalaman Nippon Paint, sila hantar e-mel ke customercare@nipponpaint.com.my.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.