TANGGAL 9 Januari 2017 Malaysia telah berjaya memahat nama di arena bola sepak dunia dengan kemenangan Mohd Faiz Subri di anugerah FIFA PUSKAS Award 2016.

Nama Mohd Faiz Subri kini terpahat dalam sejarah bola sepak dunia apabila pemain Pulau Pinang ini berjaya merangkul Anugerah Puskas 2016 pada majlis Anugerah Bolasepak FIFA 2016 di Zurich, Switzerland.

Jaringan gol ajaib oleh Faiz Subri 16 Februari tahun lalu nyata unik dan viral di laman sosial serta mendapat perhatian seluruh dunia dengan mendapat 59.46% undian manakala Marlone (Brazil) dan Daniuska Rodriquez (Venezuela) masing-masing menerima 22.86% dan 10.01% undian.

Namun kini, Faiz yang juga pernah beraksi bersama T-Team dan Kelantan sebelum memilih Pulau Pinang untuk meneruskan kariernya seolah-olah sepi tanpa khabar aksi padang.

Sisipan Maskulin yang berkesempatan menemubual jejaka kelahiran Air Hitam, Kedah ternyata mudah didekati selain ramah sempat berkongsi kehidupannya pada masa kini.

Sedikit Tenggelam

Saya masih lagi bergiat aktif dalam sukan bola sepak bersama Pulau Pinang, mungkin aksi pasukan yang tidak konsisten selain tidak tersenarai dalam perebutan Piala Malaysia 2017 membuatkan kami kurang diberikan perhatian.

“Buat masa ini saya masih berlatih dengan pasukan Pulau Pinang untuk memberikan cabaran pada baki saingan Liga Super,” katanya.

Terima Lamaran

Umum mengetahui Faiz antara pemain yang menjadi buruan pasukan lain berdasarkan prestasi lampau dan semasa yang dipamerkan pada setiap kali beraksi. Tanpa berselindung, Faiz menyatakan ada menerima beberapa tawaran pasukan lain namun enggan memikirkannya buat masa ini.

“Kontrak saya bersama Pulau Pinang akan berakhir pada musim ini, memang ada tawaran dari pasukan lain, cuma buat masa ini tumpuan pastinya bersama Pulau Pinang.

“Seandainya ada tawaran dan rezeki untuk saya bersama pasukan lain, InsyaAllah saya akan berhijrah,” katanya.

Terus Beraksi

Bakal menjangkau usia 30 tahun November nanti, Faiz tidak melihat faktor usia menghalangnya untuk meneruskan karier sebagai pemain bola sepak profesional.

“Masih terlalu awal untuk bersara dalam sukan bola sepak dan banyak lagi yang boleh disumbangkan kepada pasukan. Mungkin dalam beberapa tahun lagi tetapi itu akan ditentukan kemudian nanti,” jelasnya.

Sentiasa Bersenam

Sudah menjadi rutin harian buat dirinya, Faiz sering menjaga kesihatan melalui senaman setiap hari selain aktiviti yang mengeluarkan peluh bagi memastikan stamina berkekalan.

“Jika tiada aktiviti latihan bola sepak atau perlawanan, saya akan memperuntukkan masa melakukan aktiviti yang mampu mengeluarkan peluh antaranya jogging dan aktiviti sukan bersama rakan.

“Ini dilakukan kerana andai tidak berpeluh saya rasa tidak lengkap dalam kehidupan seharian,” katanya gemar menghabiskan masa bersama keluarga jika berkelapangan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • [VIDEO] GURUH berdentum, kilat bersahutan, ku singkap jendela, hujan makin lebat, rejim tentera Myanmar mundar-mandir depan rumah tanpa arah tujuan.
  • KECANTIKAN dan wanita berpisah tiada. Meskipun hidup tanpa negara, dalam keadaan daif, kaum wanita pelarian Rohingya di Kem Balukhali, Cox's Bazar, Bangladesh tidak ketinggalan untuk berhias.
  • PERTUBUHAN Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan Malaysia) kian aktif dengan pelbagai aktiviti kebajikannya, seiring motonya yang bersandarkan tumpuan berakhlak, mendidik dan berbakti, dengan 'sentuhan' meliputi segenap segi.
  • MENDAPAT gelaran Muslim Mother Teresa, 'kerjanya' yang suka memasak dan memberikan makanan serta tempat tinggal kepada golongan memerlukan, di kawasan kejiranannya di Montreal, Kanada, menarik perhatian bukan sahaja kalangan komuniti setempat, tetapi masyarakat dunia.
  • BABYBOX telah diperkenalkan di Finland sejak 1936 untuk mengurangkan kadar kematian kalangan bayi baru lahir. Babybox ini pada mulanya diberikan kepada keluarga mempunyai latar belakang berpendapatan rendah dan tidak mampu menyediakan katil untuk bayi mereka.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.