MARAN - Disengat ratusan lebah sudah lali dihadapi bagi seorang pencari madu tualang asli ketika mendapatkan sarang di atas pokok tersebut.

Bergayut ratusan kaki dari tanah, itu situasi yang dihadapi oleh Rozi Derus, 49, dari Sungai Ling, Chenor itu lebih 30 tahun lalu sejak memilih kerjaya berisiko tersebut sebagai sumber rezeki.

Ketika berusia 16 tahun, anak keempat dari lapan adik-beradik itu mengejutkan ahli keluarganya untuk mencari rezeki dengan kerja tersebut.

Menurutnya dia mula tertarik dan teruja mencari madu lebah selepas melihat seorang lelaki Orang Asli memanjat pokok mendapatkan sarang lebah terbabit.

"Saya belajar dari lelaki itu yang dikenali dengan nama Wahab dan selepas beberapa kali belajar tekniknya saya mula buat seorang diri.

"Pada peringkat awal saya gayat tetapi lama-kelamaan perasaan itu hilang, Alhamdulillah kini ia menjadi sumber rezeki saya dan keluarga," katanya.

Paku saiz enam inci dipaku pada pokok.

Ambil berat soal keselamatan

Hingga kini hampir seluruh kawasan hutan seluruh Pahang sudah dimasuki oleh bapa kepada empat cahaya mata itu demi mendapatkan madu tersebut.

Katanya, kawasan hutan seperti di Lepar, Bukit Kebok, Luit, Mela dilihat memiliki banyak sarang madu hasil pengalamannya setakat ini.

"Untuk mencari madu ini saya selalu bertanya kepada mereka yang mahir dengan selok-belok hutan selain boleh nampak sendiri sarangnya di pokok tualang.

"Bila dah jumpa, saya akan paku terlebih dulu sebagai tangga menggunakan paku enam inci dan dengan jarak dua inci setiap satu.

"Selalunya satu pokok saya habiskan setengah jam untuk memaku. Selepas selesai barulah saya panjat semula untuk mengambil sarang lebah," katanya lagi.

Ujarnya, dia turut mementingkan keselamatan dengan menggunakan tali pinggang sebagai langkah berjaga- jaga ketika memanjat.

"Untuk elak digigit lebah saya buat sendiri topeng muka selain pakai baju serta seluar yang tebal," katanya.

Ditanya apakah petua ketika memanjat, Rozi menjelaskan ketenangan amat ditagih selain waktu pagi lebih sesuai kerana kurang panas.

"Jangan tergopoh-gapah ketika memanjat. Kemudian panjat hingga 10 paku, berhenti dan tengok ke bawah. Kalau tak rasa gayat saya teruskan.

"Jika kena gigit lebah jangan tepis, biar sahaja, jika tidak lagi teruk dan kalau tak tahan juga baru turun ke bawah," jelasnya.

Memulakan tugas memaku di pokok tualang.

Madu tualang dapat permintaan tinggi

Menurut Rozi, mencari madu tualang menjanjikan pendapatan memberangsangkan berikutan ia mendapat permintaan tinggi  walaupun berdepan saingan dengan madu kelulut.

Menurutnya kerjaya ini membolehkan dia memiliki rumah sendiri dan memiliki beberapa kenderaan hasil penat lelahnya bergelumang dengan pekerjaan tersebut.

Jelasnya, selain mengambil upah memanjat dia sendiri turut menjual sendiri madu tersebut kepada pelanggan.

"Saya akan proses dan jual dalam botol.Harga satu botol seberat 300 gram dijual lingkungan RM160-RM200.

"Untuk mengetahui madu itu asli atau tidak, ia bergantung pada rasa. Madu asli rasanya masam-masam manis, jika rasanya manis sahaja ia bukan madu asli.

"Madu asli juga baunya wangi dan kurang pekat berbanding tiruan," jelasnya.

Rozi bersama peralatan untuk dibawa bersama ketika memanjat untuk mendapatkan sarang lebah tersebut.

Sementara itu, Rozi menegaskan dia akan terus memanjat dan mencari rezeki selagi terdaya dan tidak menyimpan istilah serik setakat ini.

"Semasa bujang, saya hanya boleh panjat dua pokok berbanding selepas kahwin, tiga pokok sehari hasil mengamalkan madu," akuinya.

Dalam pada itu, Rozi menasihatkan sesiapa yang berminat untuk mencari rezeki sepertinya, kekentalan hati dan kesabaran tinggi dituntut kerana ia bukan satu tugas mudah dan berisiko.

"Paling penting jangan mudah gayat. Tapi cabarannya tetap ada, terutama bila pokok yang telah dipaku ada orang lain pula rampas panjat.

"Itu perkara biasa bagi orang yang kerja macam ini," katanya yang pernah memanjat pokok tinggi lebih 200 kaki.