PUTRAJAYA - Seramai 1.4 juta pekerja Bangladesh yang dijangka dibawa masuk secara berperingkat ke negara ini menjelang awal tahun depan, bakal mempunyai kad pengenalan khas.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kad pengenalan khas itu akan dilengkapi teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), biometrik, fungsi kad debit dan kad simpan nilai (seperti Touch & Go).

"Warnanya pula akan ditentukan mengikut sektor pekerjaan bagi mengelakkan mereka bertukar-tukar kerja," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerja Luar Negara Bangladesh Khandker Mosharraf Hossain di sini hari ini.

Beliau berkata jika didapati pekerja tersebut menukar sektor, mereka boleh didenda sehingga RM12,000, pekerja yang dibawa masuk itu juga telah menjalani proses tapisan bagi memastikan mereka tidak pernah terlibat dengan jenayah.

Dalam pertemuan itu, Ahmad Zahid berkata perbincangan mengenai perumahan sementara kepada pekerja berkenaan turut dibincangkan.

"Penyediaan tempat tinggal itu bertujuan menjaga kebajikan pekerja selain memastikan tidak berlaku masalah asimilasi sosial dengan penduduk tempatan," katanya.

Beliau berkata kemasukan pekerja Bangladesh tersebut telah dipersetujui semasa Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjadi Menteri Dalam Negeri untuk menyelesaikan masalah kekurangan pekerja dalam sektor perladangan dan perkhidmatan.

"Mereka akan dibawa masuk melalui pendekatan kerajaan dengan kerajaan untuk mengelakkan peranan orang tengah dan eksploitasi pekerja asing.

"Kita turut mengadakan perbincangan dengan negara lain supaya pendekatan sama boleh diperluaskan ke negara lain seperti Indonesia dan Myanmar pada awal tahun depan," katanya.

Sementara itu, Khandker berkata pendekatan kerajaan dengan kerajaan itu dilihat dapat mengurangkan kos daripada AS$4,000 (RM13,284) kepada AS$400 (RM1,328) untuk setiap pekerja Bangladesh yang ingin bekerja di Malaysia.

"Sebelum ini mereka perlu bekerja selama empat hingga lima tahun untuk bayar balik kos tersebut kerana dieksploitasi orang tengah, tetapi kini mereka hanya perlu dua bulan untuk bayar balik," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.