• Anggerik Mall janjikan kejutan luar biasa buat pecinta koleksi lama. Anggerik Mall janjikan kejutan luar biasa buat pecinta koleksi lama.
  • Antara koleksi yang terdapat di Anggerik Mall. Antara koleksi yang terdapat di Anggerik Mall.
  • Koleksi duit lama. Koleksi duit lama.
  • Koleksi gelas dan cawan yang terdapat di pasar lambak ini. Koleksi gelas dan cawan yang terdapat di pasar lambak ini.
1 /

Jika bercerita tentang barang antik, memang tidak dinafikan perniagaan barangan berkenaan kian mendapat sambutan di luar dugaan dalam kalangan pengikutnya.

Apatah lagi jika harga setiap barangan melambung tinggi ekoran nilai komersil yang terdapat padanya, lagilah ramai yang ingin membabitkan diri dalam perniagaan sebegini.

Berkesempatan mengunjungi pasar lambak (garage sale) di Anggerik Mall, Shah Alam, minggu lalu membuktikan segala-galanya.

Ketika itu, penulis menyaksikan kira-kira 30 peniaga barang lama, antik, terpakai dan barangan kraf tangan ada di sini. Masing-masing mula menjual dan mempromosikan koleksi mereka pada pengunjung yang hadir.

Antara koleksi yang terdapat di sini seperti jam dinding, pinggan mangkuk, telefon lama, bingkai gambar, beg sekolah, radio, almari, meja lama, baju-baju terpakai, kipas, duit lama, televisyen dan macam-macam lagi.

Pendek kata, jika anda mahukan apa sahaja barangan lama, di sinilah lokasinya. Insya-ALLAH, segala penantian terhadap koleksi dimahukan akan ditemui juga.
Peluang menemu bual penganjur garage sale, Nurliza Alias, 45, cukup mengujakan.  

Apa tidaknya, melihatkan semangat yang berkobar-kobar ditunjukkan Nurliza sewaktu bercerita tentang garage sale, penulis yakin beliau memang bersungguh-sungguh untuk memperjuangkan koleksi lama tersebut.

Katanya, barangan lama dan antik sudah cukup sukar untuk ditemui kini. Jika adapun, pencarian tersebut tentunya mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk dijumpai.

"Sebab itu, bila ada garage sale sebegini, pencinta dan peminat setia koleksi lama harus merebut peluang tersebut untuk datang ke sini.

"Soal harga, saya akui memang harganya agak tinggi memandangkan ia dinilai berdasarkan tahun keluaran barangan tersebut. Namun, pengunjung boleh membuat tawar menawar dengan penjual. Mana tahu, jika nasib anda baik pada hari itu, diskaun beberapa peratus bakal diberikan," kata Nurliza.

Selebriti turut luangkan masa

Garage sale mula dibuka pada Januari 2012 di Anggerik Mall, Shah Alam. Operasinya setiap hari Ahad, bermula 10 pagi hingga 6 petang.

Menurut Nurliza, garage sale dianjurkan Persatuan Peniaga Anggerik Mall. Puluhan peniaga memenuhi ruang legar kompleks berkenaan untuk menjual dan mempamerkan barangan masing-masing.

Ujarnya lagi, setiap minggu, peniaga silih berganti dan bagi mereka yang teringin membabitkan diri dalam jual beli koleksi lama, kehadiran amat di alu-alukan.

Nurliza beritahu, ramai selebriti hebat tempatan turut tidak ketinggalan untuk singgah sekejap di sini semata-mata ingin mendapatkan barangan yang diinginkan.

"Mulanya terkejut juga dengan kedatangan mereka. Walau bagaimanapun, saya anggap kehadiran artis-artis ini sebagai penyeri. Sekurang-kurangnya, kami berjaya memenuhi kehendak mereka mendapatkan koleksi lama yang didambakan selama ini," katanya.  

Seorang peniaga barangan lama, Faizal Izwa Nawi, 32, berkata, barangan seperti duit lama, radio, kipas, piring hitam lama dan banyak lagi sememangnya ada pengikut tersendiri.

"Sejak berniaga bermula Januari lalu, ramai yang datang mendapatkan barangan di sini.

"Walau persaingan wujud dalam kalangan kami sebagai peniaga, namun itu bukan halangan untuk menarik perhatian pelanggan kerana setiap peniaga ada cara tersendiri untuk memikat hati pelanggan," kata Faizal Izwa.  

Bagi Norbiah Aziz, 42, pula, dia begitu seronok sejak menyertai garage sale kerana berpeluang face to face dengan pelanggan.

"Sebelum ini saya berniaga melalui online. Tetapi, sejak mendapat tahu adanya garage sale di Anggerik Mall, saya terus menempah tapak dan menjalankan urus niaga di sana.

"Paling menggembirakan, alatan gantang (bekas besar untuk menyukat beras) berjaya dijual pada harga RM500 walaupun dulu saya membelinya sekitar RM100," ujarnya.