Pameran karya berharga Da Vinci
$entry.content.caption.value

Ramai yang sudah mengenali tokoh seniman dan cendekiawan dunia yang terkenal iaitu Leonardo Da Vinci. Selain menghasilkan karya terkenal iaitu lukisan Mona Lisa dan The Last Supper, Da Vinci juga berjaya menghasilkan mesin terbang, robot, senjata dan peralatan mekanikal yang mempunyai bentuk dan fungsi yang tersendiri.

Mungkin ada yang terkejut dengan apa yang dimiliki oleh Da Vinci itu. Namun, anda harus percaya kerana kebijaksanaan dan kepintaran seniman hebat itu diperoleh hasil daripada ilmu yang telah ditimba olehnya seperti ilmu seni bina, seni ukir, kejuruteraan, botani, falsafah, geografi dan strategi ketenteraan.

Berbicara mengenai idea, Da Vinci memiliki sikap yang agak unik. Apa saja idea yang datang sama ada secara langsung ataupun tidak, beliau akan mencatatkan segala idea itu ke dalam buku catatan peribadinya. Sehingga kini, idea Da Vinci terus digunakan oleh ahli-ahli Sains dalam usaha mereka untuk menghasilkan sesuatu inovasi baru.

Potret Mona Lisa

Apabila sebut Da Vinci, pasti orang ramai akan mengaitkannya dengan potret Mona Lisa. Mona Lisa merupakan sebuah karya agung lukisan Da Vinci pada abad ke-15. Lukisan Mona Lisa popular kerana hasil seninya menampakkan lukisan itu seolah-olah bernyawa.

Ramai golongan pengkaji di Jerman mempamerkan keyakinan bahawa mereka mengetahui siapakah model yang sebenar di sebalik lukisan Mona Lisa itu. Ada yang mengatakan model Mona Lisa itu adalah Lisa Gherardini, isteri Francesco del Giocondo, saudagar kaya yang berasal dari Florence, Itali.

Namun ada antara penyelidik, ahli psikologi dan pengkaji seni berpendapat bahawa lukisan wanita tersenyum itu merupakan lukisan kekasih Da Vinci, ibunya atau pun dirinya sendiri.

Kini, selepas lebih 500 tahun, potret agung bersaiz 53 sentimeter lebar dan 77 sentimeter panjang itu tetap menjadi perhatian seluruh masyarakat.
Jutaan peminat dari seluruh dunia sanggup mengunjungi mana-mana lokasi atau pameran yang menempatkan potret Mona Lisa semata-mata ingin melihat potret yang penuh misteri dan enigma itu.

Sesiapa pun pastinya berkeinginan untuk melihat dengan lebih dekat potret Mona Lisa itu. Kini, anda berpeluang untuk melihatnya di Mines Exhibition Centre (MIECC), Seri Kembangan, Serdang bersempena pameran Leonardo Da Vinci Exhibition 2012 bertemakan Da Vinci Machines.

Pameran bertaraf antarabangsa berlangsung 3 Februari hingga 15 April ini, merupakan pameran yang julung kali diadakan di negara ini dengan tujuan memberi pendedahan pendidikan kepada masyarakat berkaitan sains, seni dan fizik.

Karya artifak

Pengarah Projek, C M Lee, 48, berkata, pameran itu mempamerkan pelbagai karya artifak hebat Da Vinci untuk perkongsian semua orang. Terdapat lebih 60 mesin ciptaan asal yang dihasilkan oleh golongan artisan zaman moden di Itali serta karya yang dihasilkan semula dengan kualiti yang tinggi.

“Antaranya, mesin terbang Layang-layang Besar, nautika, hidraulik dan inovasi seni bina, prototaip kereta kuda yang bergerak sendiri dan model singa dan kelawat mekanikal.

“Setiap model disertakan dengan nota penerangan sebagai bahan rujukan untuk pelawat,” katanya kepada Sinar Harian.

Selain mesin, Lee berkata, sebanyak 16 lukisan termasuk potret Mona Lisa yang terkenal turut dipamerkan di situ.

“Setiap lukisan ini mempunyai nilai seni yang tersendiri. Sesiapa yang mengamati segala potret berkenaan, mampu mengerti maksud yang ingin disampaikan oleh Da Vinci,” kata Lee sambil memberitahu pelawat yang datang boleh menyentuh paparan untuk menukar sketsa Da Vinci menjadi model tiga dimensi.

Menurut Lee, segala koleksi Da Vinci itu dipinjam daripada Leornardo Da Vinci Museum di Florence, Itali.

“Saya berhadapan cabaran sepanjang membawa koleksi ini ke Malaysia. Antaranya tidak mendapat sumbangan daripada mana-mana pihak untuk membawa koleksi Da Vinci pada peringkat awalnya.

“Dengan itu, kami berharap rakyat di negara ini dapat menimba sebaik mungkin segala ilmu dari Da Vinci dan besar harapan ingin melihat Malaysia mampu melahirkan seorang individu sebijak dan sepintar Da Vinci,” ujarnya.

Pameran Da Vinci Mesin anjuran Renaissance Art-Machines Sdn Bhd dengan kerjasama The Mines dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 6 petang manakala pada hujung minggu dan cuti umum dibuka dari jam 10 pagi hingga 8 malam.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.