• Radio buatan Belanda era 50an ini masih boleh memutarkan piring hitam dan mengeluarkan bunyi dengan baik. Radio buatan Belanda era 50an ini masih boleh memutarkan piring hitam dan mengeluarkan bunyi dengan baik.
1 /

“Kalau orang lain lebih sayangkan koleksi tembikar dan duit lama pelbagai negara. Saya pula sayangkan koleksi lesen lama termasuk lesen memandu bapa bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi,” kata Faizal Izwa, 31, ketika ditemui di Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Faizal menjadi pengumpul barangan lama dan antik yang aktif dalam Kelab Barang Lama Malaysia, sejak 2004. Lesen memandu bergambar hitam putih itu dibelinya dari sebuah pameran diadakan di pasar Taman Berjaya Alor Setar, Kedah, dua tahun lalu.

“Ketika itu harga dibuka adalah RM70 dan saya berjaya membelinya kerana tiada pembida lain. Kini, lesen tersebut pernah ditawarkan dengan harga RM400 kepada saya oleh seorang kenalan kelab, tapi saya tak mahu jual.

“Ia sangat berharga kerana milik seorang kenamaan yang menjadi legenda dan sejarah negara ini,” katanya yang turut memiliki koleksi lain.

Faizal berkata, dalam pasaran barangan antik kebanyakannya tidak diletakkan harga standard. Ia terpulang kepada pengumpul dan pembeli. Jika barang itu susah didapati, maka lebih mahal harganya.

Sebab itu dengan menyertai Kelab Barang Lama di Facebook, urusan jual beli dan maklumat mengenai harga standard mengenai sesuatu barang mudah diperoleh dan dikongsi.

Selain lesen memandu, Faizal turut memiliki banyak lagi koleksi lesen lain seperti lesen radio, lesen televisyen, lesen membawa beca dan lesen kereta. Kesemua koleksi lesen itu bertarikh tahun 60-an dan ke bawah.

Sayang peninggalan datuk

Antara barangan yang mendapat perhatian penulis dan jurugambar adalah lampu kabait buatan England dan pengorek pensel buatan Jerman yang terletak elok dalam almari antik Faizal. Kedua-dua barangan itu berusia lebih 100 tahun.

“Ia milik datuk saya. Dahulu datuk kerja buruh di lombong Sungai Lembing. Lampu kabait inilah yang digunakannya semasa datuk bekerja. Ia juga kesayangan saya.

“Manakala pengorek pensel ini saya percaya ia barangan yang paling sukar ditemui dalam pasaran barang antik,” katanya yang kemudian memasang sebuah radio antik di sudut rumah.
Ternyata, radio awal 50-an itu masih berfungsi dengan baik apabila ia memutarkan lagu klasik dari saluran radio tempatan.

“Radio ni saya dah masukkan frekuensi FM. Sebab tu ia boleh terima isyarat radio sekarang” jelas Faizal.

Satu lagi barangan lama milik Faizal yang unik adalah pemanas air dua generasi. Ia pemanas air Morocco berusia ratusan tahun; dipercayai digunakan golongan bangsawan masa lalu.

Kipas lima kilogram

Masuk sahaja ke bilik simpanan di rumah Faizal, mata kami tertumpu pada deretan kipas angin lama yang diperbuat daripada besi. Ketika penulis cuba mengangkat satu daripada koleksi kipas duduk itu, ternyata berat.

Menurutnya, berat kipas tersebut antara lima ke tujuh kilogram. Ini menandakan orang dulu-dulu memang kuat dari segala segi.

Kebanyakan kipas dimiliki Faizal masih berfungsi dengan baik, malah bagi penulis tiupan anginnya lebih kuat berbanding kipas berbilah plastik buatan sekarang.

“Di negara luar, pengumpul barangan lama sudah mendapat tempat dalam kalangan umum malah ada pasaran luas untuk mereka menempatkan diri dalam perniagaan.

“Di Malaysia masih tidak ramai yang tahu. Hanya kalangan ahli kelab dan sesama pengumpul sahaja kami berkomunikasi. Justeru, atas alasan itu kelab bakal menganjurkan pameran barangan lama pada akhir Januari tahun hadapan, bertempat di Anggerik Mall Shah Alam, Selangor,” katanya.