GAJI lumayan diterima antara RM700 hingga RM1,200 sehari, namun kemungkinan terkena renjatan elektrik dan letupan kuat adalah risiko yang perlu dihadapi.

Memikirkan bahaya terpaksa diharungi, bukan semua penyelam komersial di negara ini berani menawarkan khidmat kimpalan di dasar laut.

Bagaimanapun, Amdan Abu Bakar, 43, dari Kemaman, Terengganu mempunyai keberanian dan kekentalan untuk menjadikan kerjaya berisiko itu sebagai mata pencariannya.

Rutin kerjanya yang rumit menuntut bapa empat anak itu cekal dan tidak mudah putus asa kerana setiap kali melakukan selaman di laut, nyawanya bagaikan telur di hujung tanduk.

Alah bisa tegal biasa, Amdan berkata, dia sudah acap kali berdepan letupan kuat ketika melakukan kerja kimpalan kapal dan kerja pemotongan komponen besi, hingga menyebabkan dirinya mengalami gegaran otak.

“Letupan dalam air risikonya lebih bahaya kerana saya yang berada dalam air semasa letupan itu akan rasa gegaran kuat hingga otak pun terasa bergegar.

“Kalau letupan terlalu kuat, saya terpaksa hentikan kerja-kerja kimpalan seketika untuk berehat dan kembali ambil tenaga,” katanya.

Selain berdepan letupan, Mat Sado ini juga sudah lali terkena renjatan elektrik ketika sedang mengimpal dan risiko itu adalah cabaran dilalui setiap juru kimpal basah.

“Renjatan elektrik kadangkala tak dapat nak elak dan apa yang penting cara kita hadapi situasi itu. Macam saya sendiri, saya amalkan petua orang tua-tua.

“Setiap kali terkena renjatan elektrik saya akan naik ke kapal dan minum susu segar untuk pulihkan semula sel darah merah yang mati akibat terkena renjatan itu,” katanya.

Berdasarkan petua diperturunkan, susu segar dapat menghidupkan semula sel darah yang mati.

Walaupun belum dibuktikan secara klinikal, Amdan mengakui badannya yang lesu dan lemah setiap kali terkena renjatan elektrik, kembali bertenaga.

Katanya, bagi memastikan renjatan elektrik itu tidak beri kesan jangka panjang kepada badan, dia turut amalkan senaman dan latihan kecergasan selain  sentiasa berwaspada ketika menjalankan setiap kerja.

Menurutnya, segala risiko kerja berbahaya menjadi asam garam kehidupannya sejak dia memulakan karier dalam bidang ‘underwater welding’ pada 1994, sebelum mengorak langkah lebih panjang dengan pembukaan syarikatnya, Memerang Enterprise yang beribu pejabat di Geliga pada 2005.

Memerang Enterprise menyediakan servis ‘underwater’ yang merangkumi kerja-kerja penyelenggaraan dan membaik pulih struktur kapal yang rosak, kerja baik pulih tiang jeti, kerja-pemotongan komponen besi dan tugasan lain berkaitan yang mana kebanyakan tugasan itu perlu diselesaikan menggunakan kaedah kimpalan.

Tugas dilakukan tidak terbatas, kerana bukan sahaja di dasar laut, tetapi juga di pesisir pantai termasuk di kawasan-kawasan pelabuhan meliputi sektor perkapalan serta cari gali minyak dan gas.

Ditanya tempoh diambil untuk menyiapkan setiap tugasannya, menurut Amran ia bergantung kepada skop kerja yang perlu dibuat.

“Banyak kes yang saya terima kapal bocor, mungkin berpunca daripada geseran. Kalau bocor tu kecil, dalam masa sehari saya dah boleh siapkan tugasan, tapi kalau kebocoran itu agak besar, mungkin ambil masa dua atau tiga hari,” katanya yang juga dikenali sebagai Joden.

Suami kepada Yusnidayanti@Nazifah Yusof, 40, itu berkata, 20 tahun lalu, dia pernah melakukan tugasan sukar iaitu menyelamatkan kapal yang hos kargonya tersangkut pada rantai besi di dasar laut berdekatan pelantar minyak.

“Dalam keadaan air yang dalam, saya berusaha memotong rantai bersaiz besar itu. Namun syukur saya berjaya selesaikan tugas dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, kepakarannya dimilikinya turut dikongsi dengan orang lain kerana pada 2005 hingga 2008, Amdan dilantik sebagai tenaga pengajar dan mengendalikan kursus ‘underwater welding’ kepada pegawai dan anggota bomba terpilih seluruh negara yang diadakan di Terengganu Safety Training Centre Sdn Bhd (TSTC)  di Teluk Kalong, Kijal, Terengganu.

Malah, sehingga kini dia terus berbakti kepada masyarakat kerana selain menjalankan tugas hakiki sebagai penyelam profesional, dia menjadi penasihat Rescue Team Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman yang dikerahkan setiap kali berlaku bencana termasuk kes orang lemas.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Gejala penagihan dadah di sekitar kawasan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung, semakin berkurangan sejak kejadian kebakaran tersebut berlaku baru-baru ini.
  • KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan bertegas mengharamkan kesenian makyung dan tidak berhasrat untuk menarik balik pengharamannya biarpun digesa untuk menghentikan sekatan terhadap persembahannya.
  • LUMUT - Maal Hijrah hendaklah disambut dengan hasrat mahu menghidupkan kembali tiga prinsip utama yang telah berperanan penting membangunkan pemerintahan gemilang negara Islam di Madinah.
  • SEREMBAN - Kempen MyFamily #QuranHour melalui program Neghori #QuranHour sempena Karnival Jom Boli 2017 mengajak masyarakat bersama ahli keluarga dekati al-Quran, seterusnya menghayati kitab suci itu.
  • SEBANYAK RM11 juta telah diperuntukkan kerajaan bagi membangunkan pelancongan di Pulau Chekas dan Lata Jarum, Ulu Dong sejak 1999 sehingga kini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.