SETIAP yang berlaku ada hikmahnya, malah sebagai umat Islam kita wajib percaya ALLAH jualah Yang Maha Mengetahui.

Diuji sakit terlantar hingga hampir nazak kira-kira tujuh tahun lalu jadi asbab wanita berwajah keibuan ini menggiatkan usahanya beramal melalui kemahiran mengait atau crochet dimilikinya.

Ketika derita ditanggung hingga untuk ke bilik air pun terpaksa diangkut dengan bantuan anak-anak dan suami, setiap detik Norlena Nayan berniat dalam hati sekiranya sembuh, dia mahu beramal walau apa cara sekalipun.

"Masa itu saya sakit hinggakan orang dah baca Yasin kat saya. Sakit itu macam kena buat ke apa saya tak tahu. Ketika itu saya hanya boleh mendengar orang ajar mengucap dan saya ikut.

"Tapi bila diperiksa, doktor kata saya tak ada sakit apa. Ia berlaku tiba-tiba. Kita berniaga... biasalah kan. Cuma saya malas nak fikir hingga ke situ (terkena buatan orang). Cuma anggap ia berlaku sebab kita ni penat sangat buat kerja siang malam. Fikir itu saja... tak mahu fikir lain," katanya.

Tetap sentiasa berubat ketika sakit, tak tahu dari mana datang kekuatannya, selepas dua bulan terlantar, ibu kepada enam cahaya mata ini bersyukur tahap kesihatannya semakin baik.

Sebelum ini, Norlena bekerja sepenuh masa sebagai eksekutif akaun di syarikat kilang keluli antara terbesar di dunia dari Korea terletak di Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

"Ketika makan gaji dulu, anak bongsu umur dua tahun masa tu selalu sakit, jadi saya berhenti kerja.

"Berhenti kerja tahun 2010. Selepas berhenti, kita dah biasa kerja.. jadi buat part time jual nasi lemak kerana anak-anak pun masih bersekolah dan ada di IPT. Pagi buat nasi lemak, petang ke malam saya ambil upah mengait. Saya sakit terlantar lepas dua bulan berhenti kerja," ceritanya.

Tak menang tangan

Sebelum sakit Norlena juga ada membuat kerja-kerja kebajikan. Namun selepas diuji sakit dan kembali sihat, dia meningkatkan kerja kebajikannya melalui kraf tangan mengait amal.   

Dia menumpukan untuk membuat kait kopiah dengan mengambil ibu-ibu tunggal dan wanita yang susah keluar bekerja kerana mempunyai anak-anak kecil, dengan mengupah kira-kira 10 orang kalangan mereka untuk bekerja.

"Mereka 10 orang itu antara belajar mengait dengan saya sebelum saya berhenti kerja lagi. Saya buat kelas online dengan tujuan biar mereka cari pendapatan sendiri. Saya cakap nak belajar percuma boleh, dengan syarat lepas tu buat amal.

"Alhamdulillah masing-masing pun ada rezeki, dapat banyak tempahan. Hingga sekarang, saya punya grup mengait sahaja lebih 1,000 pengikut. Mereka ini juga yang betul-betul beramal, menyumbang hasil kreativiti mengait, walaupun bukan sumbangan dari segi wang ringgit," katanya.

Bersyukur dengan kerja-kerja kebajikan dilakukan, Norlena berasa bertambah sihat, dalam masa sama mengajar mengait kepada golongan memerlukan termasuk anak-anak yatim, dalam pelbagi program kebajikan setiap bulan.

Melalui Crochet Knit Artist Group dikendalikannya, sudah lebih 5,000 kopiah amal dihasilkan, manakala terbaharu lebih kurang 20 helai selimut berukuran 42x52 inci disumbangkan awal November lalu untuk pelarian Rohingya.

"Sebenarnya sasaran kita hanya perlukan seorang satu perca kain kait (‘granny square’), jika dalam grup ada 1,600 orang, maknanya kita dapat lebih, sebab sehelai selimut ini memerlukan 130 keping, maknanya mereka dah beri lebih daripada sasaran kita.

"Kita banyak bekerjasama dengan NGO-NGO lain dalam pemberian sumbangan kraf kait seperti kopiah, selimut dan kantung bekas menyimpan peralatan ubat. Antaranya untuk Persatuan Kanser Kanak-kanak Baitul Fiqh, pusat tahfiz dan komuniti Rohingya, serta bantuan kepada pelarian Syria," katanya.

Menariknya, setiap hari ada sahaja bungkusan berisi hasil kait untuk disumbangkan kepada mereka memerlukan dipos ke rumahnya terletak di Taman Dahlia, Kg Delek Kanan, Klang. Malah menurut Norlena, kadangkala dia sendiri tidak menang tangan untuk menguruskannya.

Kiriman diterima daripada 'anak murid' yang belajar mengait dengannya bukan sahaja dari serata negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, malahan ada peserta dari Singapura, turut menhantar sendiri hasil kait di rumahnya.

Semasa kecil dia suka belajar  krusye benang untuk menghasilkan kraf crochet dan hobi itu diteruskan sampai dewasa hingga mampu jadi 'pakar' mengait dan menjana pendapatan melaluinya.

Namun datang ilham bila Norlena memikirkan sampai bila kemahiran dan kerja-kerja kebajikan dilakukannya hendak disimpan sendiri, justeru memutuskan untuk mencurahkan ilmu pada mereka memerlukan.

"Lagi pun ketika itu permintaan kopiah tinggi, tak ramai boleh jahit kopiah dengan tulisan nama. Kebetulan masa tu ada NGO memerlukan sumbangan kopiah. Ada artis popular yang jual kopiah pun ambil tempahan dengan kita.

"Jadi saya putuskan untuk mengajar percuma melalui online, janji mereka ikhlas dan hendak beramal. Maknanya, mereka juga sumbangkan hasil kraf tangan crochet mereka untuk barangan diperlukan seperti kopiah, selimut dan kantung peralatan ubat untuk pesakit kanser ini," katanya.

Norlena yang turut setiap bulan mengajar di program dan aktiviti anjuran NGO dan pihak tertentu bagaimanapun berkata, sumbangan hasil kraf kait pesertanya tidak ditetapkan jumlah untuk diberikan, sebaliknya terpulang kepada kemampuan mereka, asalkan ikhlas.

Dia bersyukur walaupun bermula dengan modal minima, namun kini sumbangan diterima bukan sahaja berbentuk hasil kraf, malahan benang dan jarum daripada peserta-peserta dan pihak prihatin bagi memudahkan kerja-kerjanya.

"Sekarang alhamdulillah, harga jarum beratus pun saya ada dapat, syukur sangat. Sebab sekarang pun kalau nak beli mungkin belum mampu rasanya. Jarum pun mahal sebab ada diimport.

"Kita faham yang lain tu pun kadang nak beramal, tapi tak ada duit. Jadi saya beli benang-benang murah pos kepada mereka dan lepas kait, hasilnya mereka pos kat kita balik," katanya yang pernah berjaya menyiapkan lima kopiah pada satu masa.

Kerjasama NGO

Antara hasil kait disumbangkan termasuk topi salji untuk pelarian Syria; kopiah untuk mualaf, pelajar tahfiz, gelandangan; selimut Rohingya dan kantung menyimpan peralatan ubat untuk pesakit kanser kanak-kanak dari 1 hingga 13 tahun, Norlena bersyukur ada NGO bekerjasama dengan kumpulannya untuk mengedarkannya.

Jumlah kait benang dihasilkan pada setiap bulan bergantung kepada program dan projek. Dia sendiri akan aturkan berapa banyak hasil kait perlu disumbangkan ahli dalam kumpulannya kerana tak mahu wujud paksaan disebabkan ia kerja amal.

"Tapi alhamdulillah bila mereka pun dah faham konsep ini, beramal dengan kreativiti untuk jana pendapatan, mereka sendiri buat tanpa kita letakkan berapa hasil perlu disiapkan. Cuma cabaran utama dana sebab ramai suri rumah dan tidak bekerja.

"Tapi syukur kita nampak ia sangat mudah dijalankan. Lagi satu cabaran dari segi tenaga dan pengurusan, sebab bila barang sampai, kadang satu hari, tiga ke empat kali pos hantar barang, nak update nama orang dah hantar, saya tak ada masa. Tapi syukur ada hamba ALLAH yang offer diri dia buat benda ini. Kalau tak dari A to Z semua saya buat," katanya.  

Nenek kepada seorang cucu ini bersyukur anak-anak dan suaminya, Anuar Adenan, 56, sangat meyokong usahanya.

Malah Anuar membina bilik khas untuknya menjalankan kerja-kerja kebajikan diusahakan dan menyimpan hasil kait amal.

Melihat latar belakang anak ketiga daripada 12 beradik berasal dari Jalan Yadi, Sungai Udang, Klang ini, bapanya juga suka membuat kerja-kerja kebajikan.

"Arwah abah banyak bantu orang. Abah dulu kerja di North Port, ramai anak terbiar di situ. Masa tu ada rasa jealous juga, tengok abah ambil anak orang tapi anak sendiri 'terbiar' perasan kita.

"Abah ni biasa, bila pergi masjid dia  bawa makanan, jadi kita pun tengok dari kecik," katanya yang juga aktif sebagai Ketua Biro Ekonomi, Pertubuhan Ekonomi Wanita Selangor (Pemitas) ini.

Norlena bersyukur hingga kini mendapat banyak maklum balas positif dari pelbagai pihak terhadap program diusahakan.

Menerapkan konsep bersantai, beramal dan bersilaturahim, sebarang pertanyaan lanjut atau mereka berminat mengikutinya boleh ke grup FB, Crochet Knit Artiste Group atau WhatsApp 011-11680322.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • DI negara ini, aktiviti ekstrem 'parkour' iaitu latihan pergerakan yang dikembangkan dari latihan ala klasik lompatan halangan tentera mungkin jarang didengari atau masih asing kalangan masyarakat kita.
  • KES kanser kalangan kanak-kanak semakin meningkat setiap tahun. Dianggarkan juga, seorang daripada 600 kanak-kanak di Malaysia akan menghidap kanser pada usia di bawah 15 tahun.
  • ADA sisi tidak terlihat di sebalik pembawaan diri dan perwatakan Ikon pilihan Sukarela minggu ini. Secara luaran, semangat dan usahanya yang suka membantu masyarakat dilihat seakan adrenalina mengalir di tubuhnya sentiasa tinggi.
  • MEMILIKI pancaindera kelainan upaya tidak bermakna kurang kemahiran. Ini dibuktikan wanita kebanggaan Indonesia yang berjaya menjalankan syarikat sosial dinamakan Thisable Enterprise, fokus untuk membantu golongan kurang pendengaran dan orang kurang upaya (OKU).
  • PROGRAM Ziarah Putra anjuran Sahabat Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM) usaha murni dilaksanakan baru-baru ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.