Nissan e-NV200
$entry.content.caption.value

Kereta konsep Nissan e-NV200 membuat penampilan dunianya di North American International Auto Show 2012 di Detroit dan sekali lagi mengukuhkan kepimpinan Nissan bagi merealisasikan emisi sifar dalam industri automotif.

Dibina berasaskan kenderaan pelbagai guna Nissan NV200, e-NV200 menampilkan versi pengeluaran kereta elektrik masa depan sepenuhnya dan reka bentuknya sesuai digunakan untuk perniagaan mahu pun kenderaan keluarga.

Menurut Naib Presiden Korporat, Nissan Motor Co Ltd, Hideto Murakami tanpa bahan bakar, ekzos dan pembebasan emisi, kereta konsep tersebut menggabungkan pengalaman pemanduan yang selesa dan pelbagai guna.

“Kapasiti bateri akan menyokong pilihan pemanduan sama seperti Nissan LEAF sementara saiz ruang kargo masih kekal sama seperti NV200.

“Versi pengeluaran akan disasarkan terutamanya pada perniagaan, tetapi juga pada mereka yang berkeluarga atau persendirian,” katanya.

Katanya, konsep e-NV200 tampil dengan identiti gaya EV bermula dengan muka hadapannya dan lampu utama belakang dengan iluminasi LED.

Penampilan luarnya diserlahkan menerusi garisan karakter utama yang kukuh dan bentuk yang luas. Tingkap depan yang besar dan panjang belakang bergabung dengan sepasang panel bumbung kaca yang besar untuk mewujudkan persekitaran lapang dan terbuka. Bahagian luar dicat dengan warna yang disesuaikan dengan konsep Blue Nissan seiring dengan konsepnya yang mesra alam sekitar.

Bahagian kabin, e-NV200 menampilkan konsep bersih dan moden menggunakan identiti Nissan EV melalui penggunaan meter EV dengan paparan warna biru dan warna cerah bagi kabin.

Kereta konsep tersebut dibekalkan bateri litium-ion yang terdiri daripada 48 modul padat dan tinggi daripada motor 80kW AC yang menghasilkan kilas 280Nm.

Tidak seperti enjin pembakaran dalaman yang konvensional, motor memberikan 100 peratus tork dari awal dengan tindak balas serta-merta membawa pecutan yang sangat baik dan lancar serta pemanduan yang selesa. -sumber: Newspress.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.