NAMA asalnya adalah Lembaga Kemajuan Tanah Rancangan Sungai Dusun dan dibuka pada Disember 1962.

Kemasukan secara berperingkat bermula Mei 1966 seramai 199 peneroka sehingga Disember 1985.

Jumlah keseluruhan peneroka seramai 655 orang dengan kawasan ladang kelapa sawit seluas 2,606.9 hektar.

Terletak kira-kira 55 kilometer dari Kuala Kubu Bharu dan kini mempunyai populasi penduduk melebihi 3,254 orang berketurunan Melayu, Jawa, Banjar serta India.

Di bawah pentadbiran Felda Wilayah Trolak apabila berada di bersempadan antara Perak dan Selangor yang dipisahkan oleh Sungai Bernam.

Sekolah kebangsaan antara kemudahan terawal dibina dengan bangunan kayu setingkat mempunyai enam bilik darjah dan satu pejabat selain balai raya serta surau.

Peneroka ‘kongsi kong’

Seorang peneroka, Ahmad Khalil, 77, berkata, maklumat mengenai Felda mencari peneroka untuk tanah rancangan itu diketahui melalui ketua kampung ketika menetap bersama keluarga di Kampung Batu 3, Sabak Bernam.

Menurutnya, borang permohonan diperoleh di Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam dan menjadi peneroka yang ke-84 daripada 199 peneroka bagi kemasukan pertama pada Disember 1966.

“Saya masuk Felda ketika umur 26 tahun bersama isteri dan seorang anak.

“Felda beri rumah dan peneroka bekerja di ladang sawit dengan dibayar gaji sebanyak RM2.90 sehari yang dibayar cukup bulan sebanyak RM69...bersamaan lebih kurang RM300 pada masa sekarang.

Ahmad bersama isterinya antara peneroka terawal yang menyertai penempatan Felda Soeharto.

“Biasa peneroka sebut ‘kongsi kong’ yang bermaksud kongsi gaji dan sebelum kerja, peneroka kena berkumpul di depan pejabat Felda untuk 'roll call' sebagai tanda kehadiran bekerja,” katanya.

Ahmad berkata, konsep kerja ‘kongsi kong’ itu dilaksanakan selama empat tahun sebelum sistem blok diperkenalkan dan peneroka masing-masing menerima ladang sawit seluas 10 ekar.

Menurutnya, tanggal 18 Mac 1970 mencatat peristiwa bersejarah apabila Presiden Indonesia, Soeharto berkunjung ke tanah rancangan itu bagi melihat kejayaan Felda selain mengeratkan hubungan antara dua negara.

“Saya masih ingat lagi, Presiden Soeharto datang bersama Menteri Luar Indonesia ketika itu, Adam Malik dengan menaiki kereta.

“Jalan masuk waktu itu tanah merah dan minta bantuan pihak bomba untuk sembur air supaya tidak berdebu.

“Dewan tidak ada lagi dan mereka diberikan taklimat mengenai tanah rancangan ini di sekolah menengah sebelum meninjau ladang sawit dan melawat masjid yang baru siap dibina,” katanya.

Ahmad yang kini bertugas sebagai Imam 2 Masjid Felda Soeharto berkata, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) mencadangkan nama Felda Sungai Dusun ditukar kepada Felda Soeharto sempena kunjungan pemimpin Indonesia itu.

Jutawan tak jadi

Bekas setiausaha JKKR (1978), Bahrin Arshad, 78, berkata, Felda Soeharto pernah keluar dari pentadbiran Felda pada 1997 selepas sebuah syarikat swasta berhasrat untuk membuka kawasan perindustrian membabitkan ladang milik peneroka.

Menurutnya, peneroka teruja apabila bakal bergelar jutawan dengan tawaran pampasan RM1.3 juta dan masing-masing menandatangani surat menyatakan menarik diri dari pengurusan Felda.

“Peneroka di sini sudah mendapat hak milik tanah rumah dan ladang tetapi majoritinya bersetuju dengan tawaran tersebut.

Bahrin menunjukkan foto kenangan ketika memenuhi jemputan ke Jakarta pada majlis pelancaran buku perdana mengenai Soeharto.

“Saya sebenarnya tidak bersetuju kerana kita bukan mudah untuk dapat tanah sendiri tetapi terpaksa akur kerana ramai yang bersetuju.

“Namun hasrat peneroka untuk bergelar jutawan terkubur selepas lapan tahun menunggu, masih tiada khabar berita bila pusat industri itu hendak dibina,” katanya.

Bahrin yang berasal dari Sungai Tawar, Sabak Bernam dan memasuki Felda Soeharto pada 1968 berkata, dalam tempoh lapan tahun itu, peneroka terpaksa mengusahakan ladang secara sendiri sehingga terbiar ditumbuhi semak-samun.

Menurutnya, peneroka yang meletakkan harapan tinggi terhadap tawaran tersebut akhirnya tawar hati dan enggan menunggu lebih lama sebelum mengambil keputusan untuk kembali bersama Felda.

Mengimbas kembali peristiwa kunjungan Presiden Soeharto, bapa kepada lima anak itu berkata, kehadiran Perdana Menteri Indonesia disambut meriah oleh peneroka.

Menurutnya, Soeharto datang menaiki kereta namun pulang menggunakan helikopter selepas melakukan lawatan ke ladang sawit dan singgah di masjid Felda berkenaan.

“Felda ini menjadi bukti persahabatan Malaysia dan Indonesia.. selepas kunjungan Soeharto, ramai pemimpin dari Indonesia yang berkunjung ke sini untuk eratkan hubungan.

“Malah pada Jun 2011, saya bersama lima peneroka lain menghadiri majlis pelancaran buku perdana Pak Harto, The Untold Stories di Museum Purna Bakhti Pertiwi, Jakarta atas jemputan keluarga Soerhato,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BERPELUANG menjejakkan kaki ke bumi Syria tentunya memberikan seribu satu pengajaran buat Badan Bukan Kerajaan (NGO) Syria Care semasa misi 5.0 mereka di sana Oktober lalu.
  • SEBELUM tertubuhnya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Shah Alam, Bandar Diraja Klang adalah ibu negeri Selangor, bagaimanapun kegemilangan bandar berkenaan kembali menyinar apabila ia makin terkenal dengan aktiviti pelancongannya.
  • LAZIMNYA, pengguna akan membuang saja beg yang sudah rosak atau koyak biarpun ada antaranya berjenama terkenal dan mahal harganya.
  • ALLAHYARHAM Nor Azira Ahmad Azzudin, 24, bakal melangsungkan perkahwinan dan persandingan secara serentak bersama kakaknya, pada Mac tahun hadapan.
  • PERAK TENGAH - Madrasah Tahfiz Al-Quran Tuan Guru Haji Abd Ghani, Kampung Seri Kaya Bota Kiri, di sini, masih mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk menyiapkan bangunan fasa kedua sekolah berkenaan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.