RINGKAS dan mudah disebut, itulah nama milik seorang wanita di Felda Simpang Waha di sini, apabila namanya dieja dengan hanya tiga huruf sahaja iaitu Mis.

Nama berkenaan juga bukanlah nama panggilan sebaliknya itulah nama penuh wanita berkenaan yang tertera di MyKadnya sebagai warganegara Malaysia.

Mis Thaman, 61, berkata, dia dimaklumkan keluarganya bahawa namanya itu diambil sempena hari kelahirannya yang jatuh pada hari Khamis.

“Orang dulu-dulu memang mudah, lahir Khamis letak sahaja nama Mis. Adik saya lahir hari Isnin namanya diletak sebagai Senin. Sekarang Senin menetap di Negeri Sembilan.

“Memang ringkas saja nama saya dan mudah disebut. Orang dulu-dulu tak pernah ambil kisah sangat pasal nama asalkan senang disebut itu yang lahir Khamis jadi Mis,” katanya kepada Sinar Harian.

Mis bersama ahli keluarganya.

Ternyata keunikan nama Mis bukan sahaja terletak padanya seorang, sebaliknya anak beranaknya turut mempunyai susur nama yang menarik.

Ibu kepada sembilan anak itu berkata, kebanyakan pasangan yang berkahwin tidak kisah meletakkan nama anak mereka dengan apa nama sekali pun asalkan sedap disebut dan didengar.

Namun bagi dia dan suami, Hadman Tukiman, 64, lebih memilih untuk meletakkan nama semua anak-anaknya dengan permulaan sebutan Ha.

Katanya, permulaan Ha itu diambil sempena nama suaminya bahkan kesemua nama anak-anaknya juga dipilih sendiri oleh suami.

“Semuanya ikut nama abah mereka. Hairadzi, Hairizal, Haazmil, Haziqah, Haziyah, Hafiy, Haayul, Haayie dan Hanisah. Jadi semuanya seirama pada sebutan awal nama mereka.

“Saya tak kisah asalkan anak-anak ada nama. Tambahan pula tujuan suami pilih nama seperti itu kerana mahu mereka adik beradik rasa lebih rapat diantara satu sama lain melalui persamaan suku kata awal pada nama mereka,” katanya.

Jadi tradisi keluarga

Mis berkata, dia juga tidak menyangka apa dilakukan terhadap pemilihan nama anak-anaknya itu menjadi tradisi diturunkan kepada cucu-cucunya.

Menurutnya, kini kesemua cucu-cucunya turut memiliki nama yang bermula dengan ejaan Ha.

“Anak-anak yang pilih sendiri nak letak nama cucu kami dengan permulaan Ha. Mungkin mereka seronok permulaan nama anak mereka sama dengan nama ibu atau bapanya dan datuk.

“Kami tak kisah bahkan berbesar hati kerana legasi Ha itu diteruskan ke anak cucu kami.

“Apa pun yang penting nama dipilih biarlah mudah disebut dan diingati oleh kenalan kita,” katanya.

Mis berkata, tidak dinafikan nama yang begitu panjang diberikan kepada kebanyakan generasi pada masa kini membuatkan dia susah untuk mengingati.

Katanya, bukan sahaja sukar disebut bahkan sudah pastinya mengundang masalah terutama kepada pasangan lelaki yang mahu bernikah dikemudian hari.

“Ada nama anak orang panjang sampai tiga nama bila panjang sangat kita pun payah nak ingat. Bila jumpa nak sebut nama susah.

“Sebab itu saya nasihat anak-anak kalau nak letak nama kepada anak mereka biarlah mudah disebut dan tak perlu panjang-panjang sangat cukuplah hanya dua kalau nak panjang,” katanya.