BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul". Benar sekali. Tidak sama orang yang melihat dibandingkan dengan orang yang merasai.

Ketika artikel ini ditulis, penduduk di beberapa kawasan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis sedang diuji dengan banjir.

Melihat laporan akhbar dan televisyen, perasaan ini bercampur baur. Simpati. Kasihan. Sedih. Sudah pasti perasaan ini jauh berbeza dengan mereka yang sedang mengalaminya.

Aktiviti kehidupan harian mereka tergendala. Rumah ditenggelami air. Barangan dan peralatan rumah musnah. Kenderaan rosak. Makan dan minum tidak seperti biasa. Tidur dan rehat tidak begitu selesa.

Ada yang ditimpa sakit. Bahkan ada juga yang telah terkorban, pergi meninggalkan keluarga, sanak saudara, rakan dan dunia ini buat selama-lamanya.

Inilah salah satu musibah, ujian atau dugaan dalam kehidupan. Mengapa keadaan ini berlaku? Kenapa aku yang perlu menghadapinya? Apalagi yang patut aku lakukan? Orang lain cakap senang, mereka tidak rasainya. Sampai bila aku perlu menanggungnya?

Firman ALLAH SWT: "Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu; Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)". (Surah al-Mulk: 1-2)

Setiap insan pasti ada ujiannya tersendiri. Apatah lagi manusia yang mengaku ALLAH sebagai Tuhan dan Muhammad SAW sebagai utusan.

Cukupkah sekadar pengakuan? ALLAH menjelaskan dalam firman-Nya: "Patutkah manusia menyangka mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui ALLAH mengenai orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya perihal orang-orang yang berdusta". (Surah al-Ankabut: 2-3)

Bukan kita sahaja yang ditimpa ujian. Orang lain juga telah menghadapinya. Dari situlah dapat dibuktikan nilai iman. Apakah sekadar meniti di bibir atau memang sebati dalam diri dengan penuh penghayatan. Bahkan, nabi dan rasul ialah mereka yang paling dahsyat diuji berbanding dengan apa yang kita alami hari ini.

Ujian apa yang akan kita terima?

Salah satu bentuk ujian yang kita perlu hadapi ialah seperti yang diterangkan dalam ayat berikut: "Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan.

Dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar iaitu yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan: "Innaalillaahiwainnaailaihiraaji’uun (Sesungguhnya kita milik ALLAH dan kepada-Nya kita dikembalikan)."

Saat kita diuji memang ia suatu detik yang pahit. Perasaan mana yang tidak tersentak apabila melihat harta benda sendiri musnah, anak-anak menangis kelaparan, orang-orang tua letih keuzuran, haiwan ternakan terkorban, kebun tanaman musnah, orang-orang tersayang mati terkorban dan sebagainya.
 
Ketenangan bagi penyabar

Semua insan hadapi ujiannya. Namun, tidak semua yang hadapi ujian mempunyai perasaan sama. Ada yang menjadi semakin kuat hubungannya dengan Maha Pencipta lantaran sifat sabar dan reda yang dipilihnya.

Tidak kurang juga yang menjadi semakin lemah dek kerana tidak tahan menanggung ujian, terus berputus asa dengan rahmat Tuhan.

Justeru, sabarlah penawarnya. Sabar… satu perkataan mudah disebut. Namun, belum tentu mudah diamalkan. Bergembiralah insan yang memilih untuk bersabar di saat hadapi ujian lantas dia mengucapkan "Innaalillaahiwainnaailaihiraaji’uun.

Sabar inilah yang membezakan seorang individu dengan individu yang lain. Seorang mukmin yang percaya dan sedar, musibah dan ujian ini datangnya daripada ALLAH, Tuhan yang disembah dan diabdikan diri, pasti akan bertemu dengan hikmah di sebalik segala tragedi yang terjadi.

 ALLAH sama sekali tidak akan menzalimi hamba-Nya. Berharaplah pahala atas apa yang menimpa.

Carilah hikmah di sebalik musibah. Hikmah yang besar adalah dihapuskan dosa dan diganjari pahala sehingga akhirnya beroleh syurga. Rasulullah SAW bersabda: "Sungguh pahala yang besar bersama ujian yang besar.

Apabila ALLAH mencintai seseorang, Dia memberi ujian kepadanya, siapa yang reda maka ALLAH reda padanya, dan siapa yang murka maka ALLAH murka padanya." (Riwayat al-Tirmidzi, Sahih)

Dalam hadis diriwayatkan Muslim daripada Ummu Salamah berkata bahawa Rasulullah SAW mengajarnya suatu doa ketika ditimpa musibah:

"Innalillahwainnailaihiraji’un, Allahumma’jurni fi musibatiwaakhlif li khairanminha." Maksudnya: "Sesungguhnya kami adalah milik ALLAH dan kepada ALLAH jualah kami dikembalikan, Ya ALLAH, berilah aku pahala dalam musibah yang menimpaku ini dan berilah ganti kepadaku yang lebih baik daripadanya.

Rasulullah SAW bersabda : "Setiap hamba yang tertimpa musibah, lalu dia mengucapkan doa ini, pasti ALLAH akan memberikan pahala dalam musibah yang menimpanya dan menggantikan dengan yang lebih baik".

Kita sentiasa berharap agar digantikan dengan yang lebih baik nanti. Kalau tidak di dunia. Moga-moga di akhirat sana.

Sabar tidak menafikan ikhtiar

Sabar adalah senjata utama dalam hadapi musibah. Namun, sabar tidak menafikan usaha dan ikhtiar manusia. Sabar bukan bermaksud kita pasrah dan berserah tanpa melakukan apa-apa.

Bagi mereka yang tidak menanggung musibah, keprihatinan dan bantuan anda diperlukan. Anda yang ada kelebihan wang ringgit, hulurkan sumbangan kewangan. Anda yang ada ruang masa dan kemampuan tenaga, berikan khidmat bantuan kecemasan.

Anda yang ada kuasa, aturkan segala tindakan bagi membantu rakyat jelata. Jangan beralasan aku tidak mampu buat apa-apa, sekadar melihat sahaja kerana anda masih mampu untuk menadah tangan berdoa kepada Yang Maha Kuasa.

Kepada pemimpin negara, ini bukan masanya untuk melihat siapa ahli dan penyokong parti sendiri dan siapa yang tidak.

Musibah menimpa tidak mengira parti. Lihatlah rakyat ini dari sudut seorang insan. Semua insan yang dalam kesusahan berhak untuk dibantu dan dibela.

Amanah jawatan yang dipegang, bukan untuk mengaut harta kemewahan. Bukan untuk bermegah dan sombong dengan kekayaan. Gunakan jawatan dan kuasa yang ada bagi berusaha dan merancang tindakan yang sebaiknya dilakukan bagi mengatasi bencana ini.

Wang rakyat bukan dihabiskan kepada anak isteri dan juga kroni. Namun, kebajikan rakyat mesti menjadi keutamaan.

Jika pemimpin tidak amanah, jika pemimpin makan rasuah, jika pemimpin tidak prihatin dengan nasib orang susah, jika pemimpin hidup megah dan bermewah sedangkan rakyat bersusah payah, ini juga adalah musibah!

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PADA mulanya pokok leban yang condong ke arah sungai itu hanya menjadi tempat berteduh untuk berehat bagi orang menaiki perahu di sungai Rompin dan juga sebagai penanda kawasan.
  • MAKAN lewat malam dan kurang bersenam menjadi satu daripada punca utama ramai rakyat Kedah menghidap penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi dan obesiti, kata Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam, Kesihatan dan Perpaduan Kedah Datuk Leong Yong Kong.
  • GENERASI muda hari ini perlu sentiasa meletakkan ego mereka pada tempat yang betul dan jangan sesekali bersikap kasar terutamanya ketika menghadiri temuduga pekerjaan.
  • MAJIKAN sering mengeluh mengenai graduan hari ini yang tidak begitu kompetan dan sikap tidak acuh mengenai pekerjaan yang dipilih. Ramai menganggap kerana faktor pasaran kerja hari ini yang tidak menentu selain prinsip ‘janji ada kerja’.
  • SEBUT sahaja Kerian, pastinya ramai terbayang kelazatan hidangan popular di sini iaitu kari ikan sembilang, yang turut menjadi kegemaran Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.