MULAI akhir 90-an, perhimpunan beramai-ramai semakin kerap berlaku. Ia mula menjadi satu pendekatan dalam usaha mendesak sesebuah organisasi, institusi mahupun individu membuat keputusan atau saranan.
Selepas perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu, berlangsung pula perhimpun an pada 9 Januari lalu yang berkaitan dengan keputusan akhir perbicaraan membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, perhimpunan terbaru itu halal kerana mendapat kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Seawal jam 3 pagi, penyokong Anwar sudah mula datang. Hujan lebat pada pagi itu tidak mematahkan semangat mereka. Berdasarkan hampir 500 laporan polis yang dibuat NGO, adalah jelas, sebilangan rakyat dibayangi rasa takut sekiranya berlaku pertempuran, kacau bilau, keganasan, kecederaan dan paling buruk andainya ada yang terbunuh.
Tetapi ternyata, perhimpunan itu selamat dan boleh disimpulkan berlangsung dengan aman tanpa ada pertumpahan darah mahupun yang terbunuh biarpun ber laku tiga letupan kecil.
Bekas pegawai polis cukup berpengalaman dan bekas pengarah jabatan siasatan jenayah PDRM, yang juga bekas Pengarah Keselamatan Dalam Negeri, Tan Sri Mohd Zaman Khan mempunyai pandangan tersendiri untuk merumuskan perhimpunan ‘Gerakan 901’.
“Itu disebabkan oleh keputusan mahkamah yang tidak mensabitkan Anwar. Maka tidak ada berlaku sebarang perkara yang boleh mengancam keselamatan.
“Bagaimana sekiranya Anwar disabitkan dengan pertuduhan tersebut. Keadaan ketika itu mungkin menghadapi permasalahan kerana tujuan mereka (perhimpunan) ialah untuk membebaskan Anwar.
“Malah sekiranya Anwar dipenjarakan, mereka yang hadir perhimpunan itu mungkin menjadi lebih emosi dan berlaku perkara yang boleh mengancam keselamatan.
“Andaian atau kemungkin an demikian boleh terjadi dalam perhimpunan besar-besaran seperti itu,” tegas beliau.
Beliau terlibat dalam pelbagai operasi, termasuk Operasi Lalang dilancarkan polis pada 27 Oktober 1987, bagi menangkap mereka yang mengeruhkan suasana politik pada waktu itu, ketika menjadi Pengarah Keselamatan Dalam Negeri.
Menurutnya, oleh sebab keputusan mahkamah tidak mensabitkan Anwar, maka peserta perhimpunan tidak boleh atau tidak ada peluang untuk menimbulkan sebarang perlakuan lain.
“Saya berpendapat, perhimpunan kali ini tidak buruk tetapi ia menyebabkan keraguan atau andaian rasa tidak selamat pada ketika itu.
“Seperti yang saya katakan, perhimpunan itu bergantung pada tujuan asal ia diadakan. Sekiranya Anwar tidak dibebaskan, mungkin ia menimbulkan permasalahan lain.
“Sekiranya timbul kejadian yang boleh mengancam keselamatan, semestinya perhimpunan itu mendapat kutukan.
“Tetapi syukur, kerana tiada sebarang kejadian buruk berlaku ketika perhimpunan itu walaupun ada letupan,” katanya mengakhiri perbualan.
Sesiapapun tidak dapat menafikan semua kemungkin an itu boleh terjadi kerana pendapat manusia berbeza. Mungkinkah mereka berubah menjadi sopan dan bertatasusila kerana keputusan mahkamah sedemikian? Sebaliknya, mungkinkah akan ada pihak yang hilang sabar sekiranya keputusan mahkamah tidak seperti yang diharapkan?
Apa pun, perhimpunan itu sudah berakhir dan boleh disimpulkan secara aman. Pujian perlu diberikan kepada kedua-dua pihak di atas peranan masing-masing.
Tahniah kepada penyokong Anwar kerana meletakkan diri dalam keadaan terkawal dan tahniah juga kepada polis yang ternyata menjalankan tugas dengan baik.
Pendekatan polis yang memantau peserta perhimpunan ‘Gerakan 901’ dengan cara berhemah adalah yang terbaik dan boleh menjadi teladan pada masa depan. Tidak perlu mengangkat senjata atau guna gas pemedih mata, tetapi kata-kata lembut sudah memadai untuk menenangkan perhimpunan aman yang boleh bertukar menjadi panas dan ganas itu.
Perhimpunan itu berjaya memulihkan imej PDRM selepas tercalar teruk ketika perhimpunan Bersih 2.0.
Sebilangan besar peserta yang hadir ketika itu masih boleh tersenyum, berbual di pinggir jalan dan berlegar-legar dengan selamat.
Tiada sebarang ketakut an kerana tiada ancaman yang kelihatan. Polis berselerak di mana-mana dengan kekuatan secukupnya. Sikap sabar dan toleransi polis ketika bertugas benar-benar terbukti.
Mujur tidak terbabas
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini.
Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.




