FELDA Lurah Bilut adalah sebuah kawasan terletak di lembah, di Banjaran Titiwangsa bersempadankan Sungai Bilut dan Hutan Simpan Klau. Nama Bilut pula adalah sejenis ikan air tawar atau nama saintifiknya krytopterus cryptopterus. Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) telah memilih Lurah Bilut di Pahang sebagai rancangan pertama untuk dimajukan.

Dari hutan ke kawasan penempatan

Kewujudan Felda Lurah Bilut begitu istimewa terutama bagi generasi pertama masyarakat tanah rancangan Felda kerana di sinilah bermulanya sejarah rancangan pembangunan tanah secara berkelompok untuk pertanian pertama di Malaysia dan dunia.

Tidak ramai mengetahui bahawa Felda yang terletak di Bentong, Pahang, itu telah memahat sejarah pembangunan tanah pertanian secara berkelompok dan simbol perpaduan rakyat negara ini.

Berbeza dari Felda lain, Felda Lurah Bilut bermula daripada  kawasan hutan diteroka sepenuhnya peneroka sehingga menjadi tanah rancangan seperti hari ini.

Sejarahnya bermula pada 16 Ogos 1957 apabila Felda mengemukakan cadangan pembangunan di Lurah Bilut secara rasmi kepada Kerajaan Pahang sebelum diluluskan pada 1 April 1958. Itulah detik permulaan pembangunan Lurah Bilut melibatkan kawasan seluas 5,288 hektar.

Penghijrahan seramai 616 peserta terawal di kawasan itu dilakukan berperingkat, bukan hanya melibatkan kaum Melayu seramai 400 orang, tetapi juga Cina (169 orang) dan India (47 orang), menjadikan tanah rancangan simbol kepada perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Mengimbas kembali suka duka dan pahit manis menerokai tanah rancangan itu, Sinar Harian menemui beberapa peneroka, sekali gus menzahirkan terima kasih kepada kerajaan dan Felda kerana meningkatkan taraf sosio-ekonomi dan mengubah taraf hidup mereka.

Walaupun diri semakin dimamah usia dan ingatan semakin padam, masih jelas terpahat dalam ingatan Ramli Hashim, 83, tanggal 8 Ogos 1959, detik dia  berhijrah ke tanah rancangan berkenaan.

“Pakcik ketika itu tinggal di Sabak Bernam dan hanya kerja kampung, cukup-cukup makan untuk sara keluarga. Kais pagi makan pagi, kais petang makan.

Keadaan peneroka asal yang perlu memotong pokok balak untuk menanam pokok telah diabadikan dan dijadikan arkib di Muzium Felda Lurah Bilut.

“Bila dapat surat tawaran sertai tanah rancangan, ia ibarat bulan jatuh ke riba kerana orang bagi tahu kerajaan nak bagi tanah,” katanya di Felda Lurah Bilut di sini, semalam.

Berbekalkan hanya beberapa helai pakaian, meninggalkan isteri dan anak baru berusia 2 tahun ketika itu, dia menaiki bas bersama 16 lagi rakan sekampung yang menerima tawaran sama mengharungi perjalanan yang jauh untuk ke Felda Lurah Bilut.

“Masa tu kawasan ni masih hutan belantara, tak sama dengan keadaan sekarang yang dah banyak berubah dan pesat membangun. Bila sampai, kami dibahagi-bahagikan tugas, bergotong-royong menebas dan tebang pokok-pokok besar untuk buka ladang.

“Sebahagian lagi bergotong-royong bina rumah panjang untuk penempatan sementara sebelum bergabung tenaga bina rumah masing-masing tanpa kira kaum. Selepas selesai semua urusan, barulah pakcik balik ambil anak isteri,” katanya.

Peneroka hidup serba kekurangan

Menurutnya, dalam keadaan hidup serba kekurangan ketika itu, dengan bayaran saraan hidup hanya RM2.90 sekepala sehari, masyarakat di Felda itu hidup saling bantu membantu, penuh harmoni tanpa  syak wasangka walaupun berlainan agama dan bangsa.

“Dulu kita duduk di rumah panjang dua tingkat seperti rumah panjang di Sarawak. Waktu tu memang seronok sebab kami hidup rapat, kalau makan nasi pun kami makan secara kawah untuk kukuhkan permuafakatan antara satu sama lain.

“Hidup di sini memang tak ada masalah, sama ada kaum Cina, India dan Melayu walaupun masa kenduri kahwin diadakan. Pakcik dah enam kali buat kenduri, mesti ada orang Cina dan India yang turut sama meriahkan kenduri,” katanya.

Sementara itu, Rahmah Abdul Rahman, 78, berkata, keputusannya berhijrah dari Bukit Mertajam, 57 tahun lalu adalah langkah tepat dengan menjual segala yang ada di sana untuk terus menetap di Felda Lurah Bilut.

Menurutnya, permuafakatan itu berlaku sebaik sahaja tiba di sini kerana peneroka asal ketika itu akan berganding bahu dan bersama bergotong-royong demi membangunkan Felda berkenaan.

“Dulu bila kami sampai, Felda dah sediakan model pembangunan, tapi dengan muafakat antara peneroka dan Felda lah, model tersebut telah berjaya.

“Sekarang keadaan di Felda Lurah Bilut dah jauh berubah, dah maju dan banyak kemudahan yang ada di sini.

Seorang lagi peneroka, Abdullah Abas, 81, pula berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana telah memilihnya menjadi peneroka di sini dan masih setia bersama Felda walaupun dirinya sudah dimamah usia.

Satukan pelbagai kaum

Abdullah mengakui, sejak berpindah di sini, dasar dilaksanakan kerajaan menerusi Felda banyak menyatukan masyarakat pelbagai kaum.

“Kita amat rapat antara satu sama lain sampaikan orang tua dahulu boleh kenal kita anak siapa dan tinggal di blok mana.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Felda kerana dah beri kemudahan dan insentif kepada peneroka. Saya harap peneroka terutama generasi baharu dapat mengukuhkan dan mengekalkan permuafakatan ini supaya Felda kekal dengan sejarah yang terkenal dengan permuafakatan,” katanya.

Sementara itu, Naib Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kebajikan Rancangan (JKKR), Md Zulkifle Md Yunus berkata, kawasan tanah rancangan itu telah banyak mengalami transformasi dan pembangunan jika dibandingkan sewaktu ia mula dibuka.

“Kita ada pelbagai kemudahan termasuk stesen minyak, balai polis, perpustakaan, muzium, pejabat pos, klinik kesihatan, Sekolah Wawasan yang mana sekolah rendah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil berada di dalam satu kawasan pagar dan berkongsi kemudahan padang.

“Pihak pengurusan Felda dari semasa ke semasa mengadakan pelbagai program komuniti termasuk gotong-royong, mesyuarat bulanan, program ziarah untuk mengukuhkan permuafakatan antara pengurusan serta komuniti peneroka setempat,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.