• Misi terlatih, bidang kejururawatan
1 /

Penubuhan sesebuah fakulti kejururawatan bukan sahaja memenuhi tuntutan fardu kifayah, tetapi bidang ini mempunyai masa depan cerah kerana negara masih kekurangan jururawat. Tahun lepas, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam ucapannya memberi jaminan kerajaan berusaha mencapai sasaran nisbah seorang jururawat bagi setiap 200 penduduk menjelang 2015.

Kini nisbahnya ialah 1:375 orang. Bagi menyahut sasaran kerajaan itu, Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) mencatat satu lagi kejayaan apabila Program Kejururawatan diperkenalkan di Kampus baru di Waterfront City, Lembah Sireh, Kota Bharu, Kelantan. Dekan Fakulti Kejururawatan KPTM Lembah Sireh, Rogayah Abdul Rahim berkata, penubuhan Fakulti Kejururawatan merupakan inisiatif kolej bagi menyahut seruan kerajaan ke arah memenuhi keperluan tenaga profesional dalam bidang sains kesihatan.

“Industri perkhidmatan kesihatan menyediakan peluang pekerjaan yang luas kepada graduan seperti kejururawatan, farmasi, pusat pemulihan dan terapi, runding cara kesihatan dan sebagainya.

"Tuntutan kerjaya yang mencabar memerlukan graduan dalam bidang ini melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran tambahan seperti kemahiran interpersonal, kematangan emosi, tahap kesabaran dan motivasi diri yang tinggi.

Program Diploma Kejururawatan KPTM bermula dengan pengambilan pertama seramai 150 pelajar pada Mac 2006 selepas mendapat kelulusan Lembaga Jururawat Malaysia (LJM), katanya.

Pelaksanaan program ini pada peringkat awal adalah di KPTM Pengkalan Chepa, Kota Bharu, tetapi sekarang telah berpindah ke cawangan Waterfront, Lembah Sireh, juga di Kota Bharu.

Rogayah berkata, program Diploma Kejururawatan dijalankan selama tiga tahun (enam semester) bertujuan melahirkan jururawat yang berfikiran kritikal, kompeten, beretika dan mempunyai kemahiran semasa memberi perawatan secara holistik kepada pesakit.

“Penuntut diberi pengetahuan teori berkaitan penyakit dan pengurusan perawatan. Selain teori, mereka akan menjalani amali di makmal kemahiran kejururawatan untuk memahirkan diri dengan prosedur-prosedur perawatan.

“Penuntut akan ditempatkan di hospital-hospital kerajaan dan klinik-klinik kesihatan kerajaan untuk menjalani latihan praktikal ini di bawah seliaan pensyarah dan penyelia klinik setiap semester.

“Selain itu, objektif kursus kejururawatan adalah untuk menyediakan dan memberi pendidikan kejururawatan yang terbaik dan terkini mengikut perkembangan kemajuan perubatan dan kesihatan global,” katanya.

Menurutnya, KPTM menyediakan graduan dengan pembelajaran dan kurikulum yang memenuhi syarat Lembaga Jururawat Malaysia, sekali gus melahirkan generasi jururawat berkualiti tinggi dari segi kemahiran dan pengetahuan yang mempunyai nilai-nilai murni dan bersikap penyayang.

“Ia mMerangsang minat dan minda penuntut untuk terus mendalami ilmu kejururawatan sehingga ke peringkat tertinggi dan menyediakan sumber tenaga paramedik yang kompeten untuk memenuhi keperluan negara,” katanya.



Tampung kekurangan 70,000 jururawat

Majlis Jururawat Antarabangsa (ICN) dalam statistiknya menunjukkan, Malaysia bakal kekurangan 70,000 jururawat menjelang 2020. Di sebalik usaha kerajaan melatih ribuan jururawat, Malaysia menjadi antara kilang terbesar mengeksport jururawat ke serata dunia, ia menunjukkan tiada langsung pengangguran dalam kalangan jururawat di Malaysia. Ia berbeza dengan negara-negara jiran yang mengalami 30 ke 10 peratus jururawat menganggur.

Sementara itu, Pengarah KPTM Lembah Sireh, Mohamed Saifuddin Hussin berkata, kini dengan ada kampus baru di Waterfront ia dapat menampung kekurangan jururawat dalam bidang berkenaan.

“Kerjasama antara Kementerian Kesihatan dan institusi pengajian tinggi awam/swasta (IPTA/IPTS) di seluruh negara memberi ruang latihan serta kemudahan yang diperlukan untuk memenuhi permintaan jururawat dalam bidang tersebut.

“Di Malaysia, kekurangan jururawat adalah disebabkan tekanan kerja amat tinggi dan penghijrahan mereka ke negara Timur Tengah mungkin disebabkan persamaan agama yang membolehkan jururawat negara ini, khasnya beragama Islam diterima baik.

“Senario ini menunjukkan, graduan kejururawatan mudah dan cepat 'disambar' kebanyakan hospital tempatan dan antarabangsa walaupun belum menamatkan pengajian semester akhir,” katanya.

Menurutnya, Malaysia memerlukan lebih ramai tenaga jururawat mahir dan berpengetahuan dalam lima bidang utama iaitu perbidanan, unit kawalan rapi (ICU), unit rawatan jantung (CCU), trauma dan rehabilitasi.

“Kewujudan kampus baru yang serba lengkap dan canggih, KPTM Lembah Sireh akan lebih berdaya saing untuk melahirkan modal insan yang berkualiti kepada negara, seklai gus memacu KPTM ke arah kejayaan.

"Kampus Lembah Sireh kini boleh memuatkan penuntut bagi satu-satu sesi pembelajaran seramai 1,300 orang berbanding di kampus Kemumin dahulu. Ini dapat menambahkan keluaran graduan kejururawatan," katanya.

Saifuddin berkata, setakat ini KPTM Lembah Sireh memperkenalkan Diploma Kejururawatan, Diploma Perniagaan, Diploma Perniagaan IT, Diploma Akauntan, Diploma Agroteknologi, Diploma Pelancongan dan Diploma Sains usahasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Pada Julai tahun ini, tiga program baru akan diperkenalkan iaitu Diploma Perbankan Islam, Diploma kewangan Islam dan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

“Seramai 1,500 penuntut telah tamat pengajian daripada program Diploma Kejururawatan bagi tahun 2009 hingga 2011, ia diharap dapat menampung permintaan jururawat seperti disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu 1:200,” katanya.


Penuhi permintaan pasaran kerja

Dalam pada itu, Pengerusi KPTM Datuk Sohaimi Shahadan berkata, kolej-kolej dalam kumpulan KPTM dikendalikan melalui kaedah pengurusan berkualiti dan mencapai kedudukan memuaskan dari segi pengendalian sumber, kualiti program pengajian dan graduan.

“Bermula dengan strategi penjenamaan semula awal 2010 dan kejayaan memperoleh sijil MS ISO 9001:2008, ia meletakkan KPTM pada landasan kukuh untuk menjadi institusi pendidikan tinggi yang berkualiti.

"Ternyata, strategi yang diambil membuahkan hasil. Kami menyasarkan untuk meningkatkan taraf KPTM menjadi kolej universiti agar dapat menyediakan program ijazah kerana sudah mempunyai 15,000 penuntut," katanya.

Menurutnya, penubuhan KPTM di bawah peruntukan ini mempunyai tiga objektif utama, iaitu menyediakan kemudahan latihan dan pendidikan Bumiputera, mempertingkatkan dan menggalakkan latihan dan pendidikan Bumiputera serta mewujudkan dan menguruskan biasiswa, pinjaman, geran dan lain-lain bantuan kewangan kepada Bumiputera melanjutkan pelajaran.