ETHIOPIA - Tidak pernah terlintas dalam kamus hidup untuk menjejakkan kaki di negara Afrika.

Saya berpeluang menjejakkan kaki di Ethiopia selepas menjadi tetamu ALLAH SWT untuk menunaikan umrah beberapa bulan lalu.

Kesempatan menunaikan umrah diselit juga dengan aktiviti ziarah yang penuh dengan sejarah Islam.

Sebelum menjejakkan kaki dibumi Madinah, saya dan sekumpulan jemaah yang lain singgah di Ethiopia selama tiga hari dua malam.

Mutawif, Ustaz Mohd Zamri Adam dan Ustaz Zuber Abu Bakar menguruskan segala penginapan dan juga aktiviti sepanjang di Ethiopia.

Setiba di sana, kami diberikan masa untuk berehat dan hotel yang menjadi pilihan kami ialah Afarensis International Hotel.

Menginap dihotel berkenaan membuatkan saya dan jemaah yang lain diuji dengan makanan.

Kami dihidangkan dengan makanan yang bercampur antara halal dan tidak halal, akhirnya kami mengambil keputusan untuk tidak makan.

Hanya bungkusan mi segera yang dibawa dari Malaysia menjadi santapan kami semua kerana sudah tidak tahan dengan rasa lapar.

Masa itu perasaan teringat akan nikmatnya nasi lemak dan teh tarik sangat menebal, namun begitu kami semua kuatkan hati dan anggap ini adalah sebahagian daripada pengalaman.

Kota sibuk

Rugi kalau datang tempat orang tapi hanya berbungkus selimut di bilik, jadi kami semua mengambil keputusan melawat beberapa kawasan di Ethiopia atau nama Islamnya Habsyah.

Ustaz Zamri dan Ustaz Zuber menyewa kenderaan untuk kami dan destinasi pertama kami ialah Bukit Entoto.

Dalam perjalanan ke Bukit Entoto saya sempat melihat keadaan Ethiopia dari mata kasar.

Rakyatnya kebanyakannya berjalan dan jarang sekali kelihatan motosikal, tidak seperti negara kita yang banyak kelihatan motosikal di jalan raya.

Kami mengambil masa sekitar setengah jam untuk sampai di Bukit Entoto.

Kota Ethiopia yang sentiasa sibuk.

Setibanya di bukit itu kami melihat wanita melakukan kerja berat dengan mengusung kayu di atas belakang mereka.

Kayu yang dibawa bukannya sedikit dan kadang-kala mereka kelihatan sehingga tertunduk seperti dalam keadaan rukuk.

Namun keadaan itu seperti sudah menjadi kebiasaan kerana mereka langsung tidak kekok apabila mampu berkeadaan sebegitu dengan menuruni bukit.

Anak-anak mereka juga tidak ketinggalan mengikuti ke mana sahaja ibu mereka pergi dan ada dalam kalangan anak-anak berkenaan mengelilingi kami dan menghulurkan tangan meminta wang.

Kelihatan hidup mereka agak daif dan ada dalam kalangan mereka yang hanya tidur di bawah pohon pokok.

Kaum lelaki hanya melibatkan diri dengan berniaga di kaki jalan dan ada juga yang melepak di tepi jalan.

Selesai berkunjung ke Bukit Entoto kami pulang ke hotel untuk berehat.

Peristiwa hijrah Rasulullah

Hari kedua kami melawat pula sebuah masjid di kota berkenaan.

Meskipun ramai dalam kalangan rakyat negara itu beragama Kristian tetapi penganut Islam masih lagi wujud.

Mengimbau sejarah Islam, peristiwa hijrah ke Habsyah/Ethiopia berlaku pada tahun 615 masihi iaitu tahun kelima kerasulan Nabi Muhammad.

Hijrah berkenaan berlaku sebanyak dua kali, kali pertama seramai 15 orang telah berpindah ke Habsyah, melibatkan 10 lelaki dan lima perempuan.

Antara mereka ialah Saidina Uthman Affan, Az-zubir Awam, Abdul Rahman Auff, Usman Mazun, Rokiyah putri Rasulullah dan lain-lain.

Mereka kembali, semula ke Makkah setelah tiga bulan menetap di Habsyah namun begitu setelah berlaku pemulauan dan penyiksaan dari kaum Quraisy terhadap bani Hashim dan orang Islam, Rasulallah memerintahkan semua orang Islam berhijrah buat kali ke dua ke Habsyah.

Peristiwa ini berlaku pada, 617 masihi iaitu tahun ke tujuh ke nabian dan hijrah kali kedua itu, seramai 101 orang melibatkan 83 lelaki dan 18 perempuan.

Kawasan Ethiopia juga merupakan antara tapak tamadun yang terawal di dunia dan Kerajaan Ethiopia merupakan yang pertama dibentuk sekitar tahun 980 SM dan menerima agama Kristian pada abad ke-4 M.

Masih jauh ketinggalan

Hari ketiga walaupun cuaca sejuk kami masih lagi mahu keluar kerana ini adalah mungkin kali pertama dan terakhir kami datang ke sini.

Kali ini perjalanan kami tiada arah tuju, hanya mahu melihat suasana kota itu namun apa yang kelihatan Ethiopia masih lagi jauh ketinggalan jika mahu dibandingkan dengan negara kita.

Tiang elektrik masih lagi diperbuat daripada kayu.

Pembinaan bangunan mereka juga masih lagi menggunakan kaedah lama dan tiada jentera besar yang digunakan untuk mengangkut barang.

Saya juga berpeluang melihat mereka menyiapkan longkang dengan menggunakan tangan sedangkan di negara kita semua kerja berkenaan menggunakan jentera.

Ethiopia merupakan sebuah negara yang terletak di kawasan Afrika dan tergolong dalam negara tertua di dunia.

Sungguh, pengalaman melihat kehidupan mereka membuatkan saya berasa sangat bersyukur menjadi rakyat Malaysia.