KAEDAH rawatan bekam, yang wujud sejak zaman purba Greek ribuan tahun, semakin diyakini terutama di negara-negara Islam sebagai kaedah perubatan yang dikatakan dapat membantu menyembuhkan penyakit terutama yang kronik.

Bekam adalah kaedah membuang toksin dengan mengeluarkan darah kotor dari permukaan kulit sepertimana yang diamalkan Rasulullah SAW dan para sahabat.

Diperkuatkan dengan beberapa hadis sahih yang menjelaskan mengenai rawatan bekam, ia dikatakan sebagai kaedah yang boleh membantu mengubati segala penyakit.

Di Malaysia, walaupun rawatan bekam semakin meluas terutama di pusat-pusat rawatan bekam dan pusat rawatan kecantikan, namun masih terdapat kebimbangan dalam kalangan masyarakat untuk mengamalkannya.

Keadaan ini timbul berikutan terdapat kekeliruan daripada andaian-andaian negatif antaranya perempuan tidak perlu berbekam kerana akan mempercepatkan proses menopaus, berbekam akan menyebabkan darah bertambah kurang, ketagihan untuk berterusan melakukan bekam selain tidak yakin kaedah itu mampu menyembuhkan penyakit terutama penyakit-penyakit kronik.
    
Kekeliruan perubatan bekam

Kegagalan menjelaskan secara saintifik rawatan bekam dan kebaikannya mungkin antara punca wujudnya andaian-andaian itu.

Pengusaha dan pakar rawatan bekam, Pusat Homeopati, Refleksiologi dan Bekam Al-Jawad, Dr (homeopati) Ibrahim Burhanuddin berkata seseorang pengamal rawatan perubatan bekam harus mempunyai ilmu bukan sahaja ilmu bekam tetapi ilmu-ilmu berkaitan dengannya seperti psikologi dan saraf.

Beliau yang telah berpengalaman lebih 17 tahun dalam rawatan bekam berkata, masyarakat hari ini yang berpendidikan tinggi dan terbuka, mahu mengetahui secara saintifik satu-satu rawatan itu sebelum bersetuju untuk melakukannya.  

“Ramai pengusaha yang kurang mahir, jadi apabila ditanya apa tujuan bekam, macam mana fungsi setiap rawatan itu kepada anggota badan, mereka gagal menjelaskannya.

“Ini menyebabkan masyarakat tidak faham dan ia antara kekangan mengapa rawatan bekam sukar untuk pergi lebih jauh sepertimana bidang perubatan akupuntur yang mendapat pengiktirafan dunia,” katanya.

Berkongsi pengalamannya sendiri, beliau berkata segalanya bermula pada tahun 1991 setelah mencuba rawatan bekam bagi mengubati penyakit gastrik dan paru-paru berair yang dialami sejak sekian lama.

Setelah mencuba pelbagai ubat, masih gagal merawat penyakit yang dihidapi hingga beliau mencuba rawatan bekam dan kemudian pulih dari penyakit itu.

“Dari situlah saya mengkaji dan belajar kaedah rawatan bekam daripada beberapa guru termasuk seorang guru bekam dari Korea. Saya kaji bagaimana bekam boleh menyembuhkan penyakit dan bagaimana ia menjadi perubatan terbaik sepertimana yang dinyatakan dalam hadis Nabi,” katanya, yang turut mendapat ijazah kedoktoran dalam bidang homeopati dari Universiti Sumatera Utara, Indonesia.

    
Toksin punca penyakit?

Daripada kajian-kajian perubatan, penyakit yang singgah dalam tubuh individu itu berpunca daripada toksin. Ia diumpamakan seperti sampah yang menyebabkan tiga pembuluh darah iaitu ateri, vena dan kapilari menjadi sempit dan lemah hingga tidak mampu menjalankan tugasnya dengan sempurna.

Ketiga-tiga pembuluh darah ini jika disambungkan akan menjadi sepanjang 96 kilometer, menurut Ibrahim. Ia perlu dibersihkan bagi membolehkan ia mengalir dengan lancar.

Jelas beliau, apabila darah tidak dapat mengalir dengan sempurna, ia tidak dapat menghantar oksigen dan pemakanan yang diperlukan ke seluruh organ-organ tubuh.

“Apabila semakin banyak toksin dalam badan, oksigen akan bertambah kurang. Ini menyebabkan orang yang sakit akan bertambah-tambah sakit sekiranya sel-sel dalam badan tidak mendapat nutrien dan oksigen yang cukup,” katanya.

Apa yang membezakan setiap pesakit ialah tempat-tempat toksin itu berkumpul hingga menyebabkan pelbagai penyakit datang seperti gout, kencing manis, jantung, darah tinggi dan buah pinggang.

Jika toksin banyak berkumpul di kepala, sakit kepala mudah datang, akan cepat mengantuk, tumpuan akan hilang, susah untuk tidur dan pelupa hingga menyebabkan darah tinggi dan akhirnya strok.

“Cara untuk membuang toksin ini dengan cara membuang darah kotor yang terkumpul. Semakin banyak darah kotor yang dibuang semakin lancar dan bersih darah yang tinggal dan penghantaran oksigen dan pemakanan dalam tubuh akan berjalan lancar,” katanya.
   
Punca toksin

Ramai yang menyatakan toksin dalam badan diperoleh melalui pemakanan dan minuman. Ia mungkin satu daripada puncanya. Namun punca sebenar toksin terkumpul dalam tubuh kerana terganggunya sistem buah pinggang dan hati yang bertindak sebagai penapis terbaik di dunia.  

Buah pinggang yang sihat bekerja sebagai penapis darah daripada segala kekotoran yang akan dikeluarkan melalui air kencing, manakala hati pula bertindak sebagai penapis bahan-bahan kimia yang masuk ke dalam tubuh badan.

Apabila seseorang itu alami penyakit kronik, fungsi hati dan buah pinggang yang akan terganggu terlebih dahulu.

“Tidak akan berlakunya penyakit kronik kepada diri individu sebelum menurunnya fungsi kedua-dua organ ini. Selama buah pinggang dan hati seseorang itu sihat, dia akan sihat,” katanya.

Cara perubatan dan penyembuhannya ialah dengan menyihatkan kedua-duanya kerana selagi organ utama ini tidak sihat, penyakit dihadapi tidak akan sembuh.
    
Bekam untuk pesakit kronik

Ada yang menyatakan bahawa pesakit kronik seperti kencing manis tidak boleh menjalani rawatan bekam kerana dibimbangi menyebabkan luka sukar untuk disembuhkan.

Ibrahim berkata pendapat itu tidak benar, kerana beliau sendiri telah merawat pesakit kencing manis kronik melalui bekam dan pesakit telah menunjukkan kesan yang positif melalui kaedah itu.

Katanya, seseorang pesakit kencing manis sukar sembuh pada luka yang terdapat di kakinya kerana kandungan gula dalam darah telah menyumbat pembuluh darah hingga menyebabkan kaki menjadi kebas, saraf tidak dapat berfungsi kerana darah tidak dapat dihantar ke kawasan itu.

Yang akan menyembuhkan luka itu ialah antibodi yang terdapat di dalam darah bersih dan apabila pengaliran darah telah tersumbat, ia tidak dapat sampai ke tempat yang luka.

“Perlu dikeluarkan toksin itu dan secara perlahan-lahan darah bersih akan mengalir ke kawasan luka, yang akan menjadi antibodi terbaik berbanding antibiotik untuk menyembuhkannya.

“Dengan berbekam akan membuka laluan-laluan darah tersebut jika dilakukan dengan betul,” katanya.

Untuk pesakit kronik, bekam harus dilakukan secara teratur melalui konsultasi yang betul bagi menyembuhkannya. Ia berbeza bagi setiap individu. Manakala bagi yang tidak mempunyai penyakit kronik digalakkan melakukan rawatan bekam sekurang-kurangnya tiga bulan sekali bagi membuang darah kotor untuk melancarkan pengaliran darah bersih. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • Hasil daripada penambahbaikan produk inovasi smart satay burner 2.0 memberikan kemenagan pingat emas kepada sekumpulan pelajar UiTM Melaka didalam pertandingan Student Invention Innovation & Design Exhibition SIIDE2017 bertempat di UiTM Melaka cawangan Alor Gajah, baru-baru ini.
  • BARU-BARU ini, terdapat sekumpulan individu di negara ini mempersoalkan kewujudan Tuhan. Kegemparan ini hanya dirasai di pantai barat dan kawasan bandar metropolitan. Di sebelah pantai timur iaitu di Kelantan, Terengganu dan Pahang, kurang dirasai dan diberikan perhatian serius.
  • DUA minggu lepas, penulis ada menulis tentang perlunya undang-undang digubal bagi mengatasi diskriminasi tidak adil.
  • PILIHAN Raya Umum ke-14 pasti sahaja semakin hampir. Debarannya kian terasa. Ia sememangnya menjadi detik yang dinanti saban 5 tahun sekali bagi rakyat melakukan perubahan secara total.
  • TAHUKAH anda kaum wanita adalah tiga kali lebih mudah mengalami sindrom terowong karpal berbanding kaum lelaki? STK berasal daripada istilah bahasa Inggeris, carpal tunnel syndrome.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.