PRU13 semakin hampir. Semakin sibuk parti politik mengatur strategi menawan hati rakyat. Pengundi yang dinamakan akar umbi nampak semakin penting. Ramailah juga wakil rakyat mula bekerja dan sedar serta memahami slogan yang dilaungkan oleh Perdana Menteri iaitu ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian di Utamakan’. Apa jua perkara yang didahulukan kepada rakyat dan harus diberi kepada rakyat, tentulah setiap wakil rakyat mengetahui tugas masing–masing.
Kepada pemimpin yang sedang melobi untuk menjadi calon, dan yang masih mahu kekal jadi calon, atau apa-apalah yang disebut sebagai winnable candidate, bolehlah dan seharusnya sudah merangka usaha untuk berbakti kepada rakyat. Ada beberapa wakil rakyat sudah mula memperbanyakkan walk about atau datang terus kepada pengundi di kawasan masing-masing. Tidak kurang juga yang berusaha menyediakan profil diri sebagai calon kepada agensi kerajaan yang dilihat atau ditugaskan untuk menilai senarai calon-calon berkelayakan.
Amalan turun padang dan melawat kawasan pengundi adalah yang amat baik. Bertanya khabar dan mendekati pengundi akar umbi (orang yang mengundi di kawasan tersebut) seharusnya dibuat sejak mula memegang tampuk wakil rakyat lagi dan tentulah ia salah satu cara pengundi melihat wakil rakyat mereka bekerja. Tidak kiralah dengan apa cara sekalipun, berjalan kaki, naik basikal, bas, keretapi dan lain-lain lagi yang disebut merasai denyut nadi rakyat, susah senang rakyat dirasai bersama. Rakyat tentu lebih tahu menilai siapa wakil rakyat sejati atau yang datang bermusim penuh kepura-puraan.
Bagi wakil rakyat sejati mereka tahu sasaran. Mereka kenal pengundi dan pemimpin tempatan di kawasan mereka. Biarlah sedikit yang datang mendengar ucapannya asalkan sasaran yang datang adalah memang pengundi akar umbi. Apalah ertinya dapat mengumpulkan sehingga 10,000 orang dalam sesuatu kehadiran program pemimpin tetapi yang datang adalah pengundi luar atau tetamu import.
Bagi wakil rakyat sejati, mereka nampak lebih semula jadi. Cara mereka berbakti dipenuhi dengan keikhlasan dan mereka benar-benar berusaha memimpin dan mendekati rakyat. Ciri inilah yang menguatkan mereka di akar umbi. Ada parti atau tiada parti, wakil rakyat seperti ini tetap kuat dan kukuh. Bertanding atas kerusi mana pun mereka tetap akan menang. BN tentu memerlukan wakil rakyat seperti ini untuk kekal menang.
Apabila Perdana Menteri mengumumkan calon yang akan bertanding nanti adalah yang diterima rakyat atau winnable candidate maka berlumba-lumbalah semua wakil rakyat menggelar diri sebagai winnable candidate. Ada yang berpura-pura rela digugur dan tidak dicalonkan untuk mendapat simpati rakyat. Tidak kurang yang merasa dirinya menjadi calon sudah memulakan operasi melobi pelbagai pihak.
Di Sabah misalnya, sudah terdengar spekulasi bertiup kencang mengenai penubuhan parti baru, lompat parti, perebutan kerusi dan perpecahan parti. Kita akan sama-sama menyaksikan, sama ada BN masih mampu mempertahankan rekod cemerlangnya (24 Parlimen, 59 Dun) atau dikuburkan oleh pihak lain kerana sikap rakus pucuk pemimpin tertinggi Sabah.
Di atas kertas, sesiapa saja boleh memenangi 222 kerusi Parlimen. Bagi BN, pencapaian kemenangan majoriti mudah dan dua pertiga adalah sangat diperlukan untuk meneruskan survival parti dan pemerintahan di negara ini. Begitu juga bagi parti Pembangkang yang telah memenangi 83 kerusi Parlimen sekarang, adalah tidak mencukupi untuk menubuhkan kerajaan dan berharap pada PRU13, kerusi mereka akan bertambah. Tentulah harapan pada PRU13, sejarah dicipta oleh setiap parti masing-masing.
Bagi BN Sabah, 24 kerusi Parlimen dan 59 kerusi Dun tentu tidak mudah dipertahankan hanya dengan laporan pihak yang menyedapkan rasa kepada pucuk pimpinan. Analisis strategi berikut mungkin boleh membantu setelah dipadankan dengan winnable candidate BN itu iaitu;
i) Tawan dan Tahan (T&T) - tumpu kawasan yang sedia menang. Mempertahankan kemenangan; ii) Tawan dan Ambil (T&A) - tawan semula kawasan yang dulu pernah menang dan diyakini boleh menang semula dalam PRU13; iii) Tawan dan Rampas (T&R) - tawan kawasan yang tidak pernah menang tetapi boleh dirasakan menang sehingga 70 peratus sokongan; dan iv) Tinggal Terus (T&T) - tidak perlu menawan kawasan yang jelas ‘hitam’ dan memang tidak boleh menang.
Persoalannya apakah BN Sabah sudah bersedia?. Sudahkah ada winnable candidate yang diterima rakyat dan memuaskan hati semua orang?.
Mencari winnable candidate
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini.
Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.




