MENGHADIRI majlis konvokesyen anaknya, Muhamad Hafiz Abdullah Sani, 23, yang memperoleh Kelas Pertama Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal Universiti Royal Melbourne Institute Of Technology (URMIT), Melbourne, Australia, baru-baru ini memberi peluang ahli keluarga Abdullah Sani Majin melancong di negara kanggaru itu.

Inilah pengalaman berharga ahli keluarga Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Beluru (SMKSB), Enggor, Perak, itu dan isterinya, Jumaidah Yussof.

Kunjungannya suami isteri turut disertai dua anak lelaki mereka, Muhamad Hafiz, Muhamad Asyraf, seorang anak perempuan, Athirah, dua menantu, Alia Lokman, Hafiz Hazwan Hasim, dan dua cucu, Aira Hanna Hafiz Hazwan serta Syarif Irfan Syahir Aizat.

Muhamad Hafiz teruja apabila ahli keluarganya sanggup mengeluarkan perbelanjaan yang agak besar bagi meraikan kejayaannya di Australia.

“Selepas majlis konvokesyen saya membawa mereka melawat ke beberapa tempat menarik di sekitar Melbourne.

“Antaranya pusat beli-belah barangan cenderahati di Victoria Market. Ia adalah destinasi membeli-belah pelbagai pakaian, barang kemas dan cenderahati," katanya.

Menurutnya, mereka turut berkunjung ke Brighton Beach kira-kira sejam perjalanan dari Melbourne, di samping ke tempat pemandangan yang menakjubkan di sepanjang pantai The Nobbies dikenali sebagai Phillip Island.

Pulau Phillip sepanjang 140 kilometer menempatkan kanggaru yang boleh dilihat dari dekat. Mereka turut berkunjung ke Great Ocean Road yang merupakan warisan kebangsaan Australia merangkumi kawasan kira-kira 243 kilometer sepanjang pantai timur Australia.

“Menurut sejarah negara berkenaan, ia dibina tentera yang kembali ke tanah air  selepas Perang Dunia Pertama pada tahun 1919 dan 1932.

“Ia didedikasikan kepada tentera yang dibunuh semasa Perang Dunia Pertama dan  jalan itu dijadikan sebagai memorial peringatan perang terbesar di dunia," jelasnya

Perjalanan mereka diteruskan menuju Twelve Apostles, tempat koleksi  batu kapur di pantai Taman Negara Port Campbell.Perpustakaan Negeri Victoria juga dikunjungi mereka bagi melihat sendiri koleksi lebih dua juta buku dan 16,000 siri penulisan ilmiah tentang bandar berkenaan.

Mereka menggunakan Toyota Hiace yang menyediakan 12 tempat duduk ketika menjalani kembara itu bersama seorang pemandu pelancong tempatan.

Berbelanja besar

Sepanjang di sana mereka tinggal di Pangsapuri AirBNB selama lapan hari tujuh malam dengan kos sebanyak RM25,000.

“Penginapan ni ada dapur untuk memasak, tiga bilik tidur dan sebuah mesin basuh dan pengering.

“Selain gembira dengan pencapaian cemerlang Muhamad Hafiz, kami berpeluang menyaksikan beberapa tempat indah dan menakjubkan yang belum pernah dilihat sebelum ini," kata Abdullah Sani.

Mengimbau kembali pengalamannya di sana, Abdullah Sani berkata, bandar raya Mebourne yang bersih dan penduduknya berdisiplin ketika memandu di  jalan raya, merupakan imej menarik yang ditunjukkan mereka kepada pelancong di situ.

Namun katanya, bayaran tempat letak kereta terlalu mahal dan tempoh penyediaan kemudahan berkenaan dihadkan kepada dua jam saja. Pengguna kenderaan dikehendaki beredar dari situ apabila tempoh tamat dan bayaran tambahan tidak lagi diterima selepas itu.

“Cara mengatasi cabaran ini, pelancong digalakkan guna kenderaan awam menuju ke pusat bandar," katanya yang memuji kelazatan kebab di situ yang kadar harganya hampir sama di Malaysia.

Ternyata kunjungan ini beri kepuasan maksimum kepada mereka yang berazam kembali lagi jika keadaan mengizinkan.