DIA tidak pernah terfikir pun untuk melibatkan diri dalam NGO, jadi sukarela mahupun persatuan amal. Lebih satu dekad lalu, yang dia tahu hidupnya hanya dengan dunia motor.

Mempunyai geng motosikal sendiri, setiap minggu dia sanggup menunggang bersama kumpulannya dari Hulu Yam hingga ke Genting Highlands yang menjadi lokasi tumpuan ramai peminat motosikal ketika itu.

Hasil kerja sampingan dengan pendapatan RM1,000 lebih sebulan sebagai guru tuisyen, jumlah agak besar bagi masih bergelar mahasiswa sekitar tahun 2000 hingga 2005 ketika itu digunakan melunaskan hobinya itu.     

Terlibat dunia motor, duit pun di tangan, kata orang benda 'gelap' lain pun datang sekali.

"Bila ada duit, perempuan, belajar pun macam belajar tak belajar, semua perkara rasa boleh buat, apalagi berjauhan dengan ibu bapa.

"Datang KL macam culture shock jugalah sebab bebas. Masa tu kebetulan parents duduk di USA kerana urusan kerja. Sekali tu dari sana mak saya hantar mesej cakap geram dengan saya, dia kata 'sampai bila nak macam ni, nak conteng arang pada mereka'.

"Bila dah tersentap kata-kata mak saya ini, saya pun terfikir... saya cakap kat kawan-kawan saya, kita buat ‘cuci dosa ride’ lah..  

"Rasa banyak dosa, jadi nak cuci dosalah. Masa tu dah tahun ketiga di universiti," cerita Pengasas Kindness Malaysia Muhammad Kamarulazizi,36, berasal dari Tasek Gelugor, Pulau Pinang ini.

Menurutnya, biarpun mulanya rakannya berasa pelik dengan hasratnya itu, tetapi mungkin dek kumpulan 'mat motor' biasanya dikenali dengan identiti bersatu hati, maka mereka menurutinya sahaja.

Memulakan misi pertama, mereka pergi ke masjid berhampiran tempatnya menuntut iaitu di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak dan berjumpa imam di situ bagi mendapatkan senarai nama keluarga miskin untuk dibantu.

"Sebab motor kami tak ada raga depan, barang-barang dapur dibeli kami letak dalam beg galas kat belakang. Kita bagi barang keperluan dapur bermula untuk 10 rumah. Ini aktiviti kebajikan pertama kami jalankan.

"Kita kutip sumbangan kalangan kami sendiri, sebab masa tu ada yang kerja engineer, ada despatch, macam-macam latar belakang. Bila dah buat dengan famili-famili tu, kita dah rasa kelainan sikit. Macam mana respons kita terima daripada orang-orang tu.. ya la tengok kita orang ni mat-mat motor," katanya yang memulakan kerja amal ini ketika berusia 23 tahun dan memulakan konvoi amal serta memberi tuisyen percuma selepas itu.

Terlibat NGO

Sebaik bergelar graduan dan sempat bekerja  kilang di bahagian kejuruteraan, selari minat baharunya tika itu, Muhammad terima tawaran bekerja sepenuh masa dengan sebuah NGO.

Hampir enam tahun bersama NGO kemanusiaan tersebut, dia banyak belajar dan mengutip pengalaman, tambahan apabila terlibat pengurusan dan pemasaran, selain menjadi pengurus projek.

"Bila kerja NGO ini gaji tak besar. Saya dah kahwin masa tu, anak pun ada seorang. Saya kata tak boleh teruskan macam ni. Masa tu memang niat nak bantu masyarakat, tapi famili pun kena jaga.

"Jadi saya buat keputusan berhenti kerja NGO ini dan sambung belajar sarjana dalam Pengurusan Strategik. Masa sama saya dapat tawaran, jadi pengurus pemasaran di KLIA. Masa di sinilah saya tubuhkan Kindness sekitar tahun 2013," katanya.

Pernah berpengalaman bekerja dengan sebuah pasar raya terkemuka mengelola bahagian korporat, pensyarah sambilan mengajar pemasaran internet, dan terakhir di syarikat aplikasi multimedia untuk bahagian pengurusan projek hingga Oktober 2017 lepas, Muhammad kini lebih menumpukan syarikat berkaitan perhubungan awam kepunyaannya sendiri.  

Faktor persekitaran sekeliling ditambah apabila terlibat NGO sebelum ini hingga pergi ke serata negara seperti Palestin, Myanmar, Indonesia sebelum menubuhkan NGO sendiri, paling 'dikesannya', masalah kemanusiaan ini sebenarnya berpunca daripada hati.

"Kalau boleh rawat atau tackle balik hati ni, banyak masalah boleh selesai. Itu tertubuhnya Kindness Malaysia. Kalau kita boleh terapkan kebaikan pada semua orang, ia boleh beri kesan pada kita, orang sekeliling, keluarga, masyarakat dan satu Malaysia.

"Saya nak tubuh NGO sendiri sebab matlamat lebih kepada untuk ubah hati," katanya.

Jadikan Rasulullah Tokoh Kindness

Asalnya dinamakan Kindness Dot My pada 2013, manakala pada 2015 baharu didaftarkan sebagai Kindness Malaysia, Muhammad gembira dengan pelbagai program dan aktiviti dijalankan NGO nya, yang terdapat cawangan di setiap negeri setakat ini.

Bermula dengan lima orang termasuk dirinya dan empat lagi pengasas bersama dengan kepakaran masing-masing, Kindness kini mempunyai kira-kira 70 ahli aktif di Lembah Klang dan kira-kira 30 ke 40 ahli aktif di setiap negeri.  

Bersyukur dengan perancangan dan matlamat untuk sebarkan kebaikan berjaya diterangkan dengan jelas, dia percaya ia antara sebab Kindness mampu berkembang cepat dengan lebih 100 program dan aktiviti dalam masa dua tahun.

"Konsep aktiviti amal dijalankan pula, kita cuba buatkan dengan cut cost atau zero cost. Contoh, masa peringkat awal kita buat projek tiket parkir kereta. Bila nampak ada kereta tiket nak expired kita mesej, bagi tahu plat kereta sekian-sekian, kita tolong top up kan, letak kat wiper tu. Masa tu kosnya 60 sen saja satu kereta.

"Kita buat area Kota Damansara, Bangsar. Kadangkala ada orang berlari nak pergi bayar tiket parkir. Tapi bila nampak nota Kindness letakkan, dia lega dan happy. Sebab misi kita nak sebarkan kebaikan, nak bagi inspirasi pada orang lain untuk lakukan kebaikan," katanya.

Muhammad percaya, padanya bila seseorang itu gembira, ia akan memberi impak pada orang sekelilingnya, hanya dengan kos kecil sebegini.

Projek selipar yang diletakkan di masjid terutama pada setiap hari Jumaat juga antara dijalankan NGOnya pada peringkat awal dengan kos minima.

"Kita buat nota dekat rak selipar tu, 'Jika anda hilang selipar, anda boleh dapatkan selipar ini secara percuma'. Selalunya, masa solat Jumaat memang akan ada orang hilang selipar.

"Bayangkan bila seorang hilang selipar, dia akan ambil selipar orang lain. Yang lain tu pun akan ambil selipar orang lain dan ramai akan hilang selipar," katanya.

Aktiviti tetap untuk projek jangka panjang sudah dimulakan pihaknya pula seperti projek Gerobok Rezeki, di mana Kindness meletakkan gerobok di masjid-masjid dengan diisi barang makanan asas seperti beras, tepung, gula, minyak, rempah untuk diambil secara percuma oleh golongan memerlukan.

Muhammad berkata, dua masjid terlibat Gerobok Rezeki Kindness buat masa ini adalah di kawasan perumahannya di Sentul dan di Klang, selain bekerjasama dengan NGO lain untuk turut melaksanakannya.

Projek jangka panjang

Satu lagi projek jangka panjang Kindness adalah Madrasah Hashimiah, di Bandar Utara Kuala Lumpur yang menempatkan 220 pelajar sekolah komuniti pelarian Rohingya dan Myanmar, bersama di madrasah berkenaan.

Sebagai Pengerusi Madrasah Hashimiah, Muhammad melalui Kindness berperanan membantu dari segi pengurusan madrasah yang memerlukan perbelanjaan kira-kira RM30,000 sebulan itu.

"Jadi kita perlu kreatiflah macam mana nak dapatkan dana. Misalnya dah masuk ke fasa kedua Gerobok Rezeki di masjid, kita galakkan orang datang masjid bawa satu barang. Maknanya gerobok ni akan sentiasa terisi, jadi ia boleh jalan dengan sendiri.

"Untuk madrasah ini pula kita buat 'kutu akhirat'. Ada 20 grup, minimum sumbang RM10, RM20 dan RM50. Menariknya bila ibu kutu collect, dari kutu tu saja, kita boleh dapat antara 3k ke 5k setiap bulan. Yang main kutu ni kita punya volunteers dan rakan mereka. Kita memang sentiasa telus. Ini antara inisiatif kami supaya dana tak putus," katanya yang menjadikan Rasulullah sebagai Tokoh Kindness Sepanjang Zaman.

Tidak dapat lari daripada pelbagai cabaran, bagi mengatasinya menurutnya perkara sentiasa disemat di fikiran ialah  sentiasa berfikir sama ada kebaikan dilakukan mampu membuat Rasulullah tersenyum atau tidak?

Mendidik sukarelawannya untuk mempunyai 'kindness pocket' sendiri, konsep diterapkannya mudah misalnya setiap RM1 di tangan disimpankan menjadi tabungan untuk membuat kebaikan.

"Berapa nilai duit pun tak apa, cuma bila kita ada 'kindness pocket' ni bila rasa nak buat kebaikan kita tak kata, 'alamak duit aku habis la..' Kita galakkan sukarelawan kita setiap hari fikirkan.. apa kebaikan kita nak buat.

"Lagi satu kami jarang minta derma. Kita come out dengan aktiviti yang banyak, orang sendiri yang akan nak datang menyumbang. Alhamdulillah, sebab kita sentiasa ada aktiviti," katanya.

Tidak hairanlah dia mampu menerapkan pemikiran ahlinya ke tahap ini, memandangkan Muhammad sendiri sedang menyambung pengajian ijazah doktor falsafah (PhD) di bidang Media dan Information Warfare (perang saraf).

Berkongsi rahsia dia membahagikan masa antara belajar, menguruskan madrasah, syarikat dan Kindness, suami kepada suri rumah, Aini Asyikin Ahmad, 36, ini yang akan menimang cahaya mata ketiga dalam masa terdekat ini, selalunya akan bangun seawal jam 4 pagi.

"Masa jam 6 ke 10 pagi tu la saya kosong memang saya tak ada aktiviti, tak jumpa kawan-kawan. Ketika itulah masa saya dengan keluarga, isteri dan anak.  

"Nak makan luar ke, joging, ke taman.. insya-ALLAH tak ada masalah nak bahagikan masa," kata anak kepada pasangan pesara pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, Lili Hanum Yusof dan Kamarulazizi Ibrahim ini.