Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) bakal menjadi wilayah pembangunan yang lebih kukuh hasil peningkatan hubungan udara.
Rantau ini semakin menyerlah sebagai wilayah ekonomi yang berpotensi berbanding kedudukannya semasa BIMP-EAGA diwujudkan kira-kira 18 tahun yang lepas.
Bagaimanapun, setiap kali menteri-menteri BIMP-EAGA bermesyuarat, isu pengangkutan udara yang terhad di wilayah itu yang mengekang pembangunan, sering dibangkitkan.
Masalah yang sama dibangkitkan di mesyuarat terakhir BIMP-EAGA di Cagayan De Oro, Filipina pada November 2011.
Para pemimpin BIMP EAGA yakin hubungan udara yang baik akan membantu memacu aktiviti ekonomi terutama pelancongan dan perdagangan di rantau ini.
Mesyuarat menteri-menteri BIMP-EAGA di Cagayan De Oro itu bersetuju untuk menghalusi cara-cara meningkatkan hubungan udara di rantau ini.
Ini termasuk inisiatif untuk melanjutkan MoU bagi peningkatan hubungan udara dengan tambahan destinasi yang mungkin di luar bidang kerjasama BIMP-EAGA.
PENERBANGAN ULUNG
Hasil persefahaman itu menyaksikan sebuah syarikat penerbangan serantau dari Malaysia yang berpangkalan di Sarawak, MASwings, muncul sebagai syarikat penerbangan pertama untuk menghubungkan pintu-pintu masuk BIMP-EAGA dengan penerbangan ulung ke Brunei dan Indonesia.
Pelbagai pihak menyambut baik penerbangan ulung itu sebagai wajar dan tepat pada masanya.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Bolkiah Ismail berkata hubungan negara anggota di BIMP-EAGA akan dapat dipertingkat menerusi perdagangan dan pelancongan antara Malaysia dan rantau kecil ini.
Penerbangan MASwings ke Brunei sudahpun mula menyumbang ke arah ini.
Perkhidmatan penerbangan antara Kota Kinabalu-Bandar Seri Begawan diadakan dua kali sehari manakala antara Kuching-Bandar Seri Begawan, tiga kali seminggu bermula 6 Feb 2012.
BIMP-EAGA PLATFORM TERBAIK
Bolkiah berkata BIMP-EAGA merupakan platform terbaik bagi mengukuhkan hubungan perdagangan dua hala antara negara-negara jiran, termasuk merapatkan jurang ekonomi dalam kalangan anggota di rantau kecil ini.
"Ini adalah penerbangan terbaik bukan sahaja dari segi pelancongan, tetapi melibatkan bidang lain seperti perdagangan dan pelaburan. Oleh kerana itu, kementerian akan mempergiat usaha ke arah menambah jumlah pelancong dari Brunei dengan memperkenalkan pelbagai tarikan pelancongan baru, terutama di pantai timur Sabah yang melibatkan bandar-bandar dan pekan-pekan kecil," katanya kepada media Sabah dan Sarawak yang menyertai delegasi penerbangan sulung ke Bandar Seri Begawan, di sini.
Menurut statistik, Bolkiah berkata ketibaan pelancong dari Brunei di Sabah meningkat dari 34,000 pada 2009 kepada 109,000 pada 2011, satu peningkatan sebanyak 300 peratus dan penerbangan baru ini memberi ruang untuk meneroka kawasan baharu di kedua-dua negara.
KERJASAMA
Dalam pada itu Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg yang turut menyertai penerbangan ulung ke Bandar Seri Begawan berkata menerusi MASwings kerjasama antara Malaysia dan Brunei dapat dieratkan melalui pendekatan 'berkongsi apa yang ada' antara kedua-dua negara.
"Kerjasama antara MASwings, Sabah dan Sarawak di pihak Malaysia, Brunei serta penggiat-penggiat industri lain dapat mewujudkan hubungan antara satu sama lain, kemudian kita jana hubungan ekonomi melalui perniagaan, modal semula jadi dan sumber-sumber yang akan memanfaatkan kedua-dua negara," katanya.
Beliau berkata penerbangan itu akan memberi impak positif kepada pelbagai industri lain termasuk penyelidikan sumber asli selain meningkatkan kerjasama dalam pelbagai sektor ekonomi bagi Sabah, Sarawak dan Brunei.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pelancongan Brunei Sheikh Jamaluddin Sheikh Mohamed turut menyambut baik inisiatif MASwings dalam memulakan perkhidmatan penerbangan ke Brunei dari Kota Kinabalu dan Kuching itu.
Beliau berkata perkhidmatan ini harus diteruskan kerana ia telah banyak membantu menjayakan pelbagai aktviti pelancongan yang lepas antara Brunei, Sabah, Sarawak dan Labuan seperti "Pakej Borneo" pada 2003.
Menurutnya, jika kos perkhidmatan yang ditawarkan memenuhi kehendak penduduk di Brunei, sudah pasti ia akan mendapat sambutan yang menggalakkan selain beliau percaya penerbangan dari Kota Kinabalu dan Kuching akan dapat meningkatkan serta mempergiat usaha jaringan dalam bidang pelancongan khususnya.
MEKANISME PEMBANGUNAN
Diwujudkan pada tahun 1994, BIMP-EAGA merupakan platform penting dalam merangsang pembangunan ekonomi negara anggota yang ketinggalan dengan menggalakkan perdagangan, pelancongan dan pelaburan dalam EAGA.
BIMP-EAGA merupakan kerjasama serantau terbesar Asia dengan anggaran lebih 57 juta penduduk yang menghuni kawasan seluas 1.5 juta kilometer persegi di empat negara anggota itu.
Kerjasama serantau berkenaan mencakupi seluruh negara Brunei, 10 wilayah di Kalimantan, Sulawesi, Maluku dan Irian Jaya di Indonesia,
dan Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan di Malaysia serta Mindanao dan Palawan di Filipina.
MASwings membuka laluan Kuching-Pontianak (Kalimantan Barat) dengan kekerapan sekali sehari dan Tawau-Tarakan (di Kalimantan Timur) tiga kali seminggu mulai 13 Feb 2012. - Bernama
MASwings tingkat hubungan udara rantau BIMP-EAGA
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini.
Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.




