• Produk serai wangi jenama Awin. Produk serai wangi jenama Awin.
1 /

Apakah serai wangi? Adakah ia sangat istimewa dan berkhasiat tinggi sehingga membuatkan ramai individu menggunakan bahan semula jadi ini sebagai kandungan utama dalam produk harian?.

Sudah pasti jawapannya adalah ya dan kelebihan inilah yang menjadi faktor utama bagi pemilik Awin Trading, Mekar Majali untuk menceburi perniagaan produk harian berasaskan serai wangi melalui jenama Awin.

Beliau berkata, serai wangi atau nama saintifiknya Cymbopon hardus ialah tumbuhan daripada keluarga rumput Poaceace yang berasal dari kawasan tropika Asia. Serai wangi adalah tumbuhan pelbagai guna yang ada di negara kita.

“Serai wangi ialah rumput saka, tinggi dan berbau wangi serta mengeluarkan rumpun daun yang lebat daripada rizom padat dan boleh membesar sehingga 1.5 meter.

“Daunnya berwarna hijau muda, kasar dengan urat selari dan mempunyai aroma yang kuat jika dibandingkan dengan serai makan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Shah Alam, baru-baru ini.

Katanya, tanaman serai wangi dipercayai berasal sama ada dari Selatan India atau Sri Lanka. Serai wangi juga tumbuh liar di kebanyakan negara di Asia Tropika, Amerika dan Afrika.

“Di negara ini, serai wangi biasanya ditanam di halaman rumah sebagai tanaman dapur dan kebelakangan ini terdapat beberapa pengusaha yang berminat untuk menanamnya bagi menghasilkan minyak pati,” katanya.


Mitos serai wangi

Dalam pada itu, mengikut kata orang tua, katanya, tidak semua orang boleh menanam serai wangi. Serai wangi hanya boleh hidup, apatah lagi berbunga, jika ditanam oleh individu tertentu sahaja.

“Serai wangi jarang berbunga dan hanya berbunga bila sudah cukup matang iaitu pada peringkat umur melebihi lapan bulan,” katanya.

Tambahnya lagi, lebih menarik, serai wangi yang sudah berbunga dikatakan ada penunggu yang menjaganya. Selain itu, katanya, di bawah rumpun serai wangi yang sudah berbunga mempunyai buntat atau batu hikmat. Ada pula yang mengatakan, ada harta karun yang sudah berbunga.

Dalam perkembangan lain, katanya, minyak yang dihasilkan dari serai wangi mampu memberi ketenangan jiwa selain digunakan untuk merawat rubefacient iaitu warna merah di bahagian kulit luar muka.

Akarnya digunakan untuk merawat diuretik (kerap berlaku kencing) dan sudorifik atau diaporetik (berperanan sebagai dadah untuk merangsang pengeluaran peluh).

“Serai wangi juga digunakan untuk bertindak menghalau nyamuk dan juga digunakan untuk membuat minyak wangi dan pembuatan sabun," katanya.

Di negara kita, katanya, minyak ekstraknya yang cepat meruap dan menggunakan sedikit dos boleh merawat sakit perut dan penghadaman.

“Air rebusan daun serai wangi yang di panas bersama dengan daun gendarusa dan di campur dengan lada hitam digunakan untuk memandikan ibu selepas bersalin,” katanya.


Produk serai wangi

Menurut Mekar, serai wangi adalah tumbuhan pelbagai guna yang sudah lama digunakan masyarakat di negara ini. Ia bukan sahaja mempunyai pelbagai khasiat, malah turut berpotensi untuk dikomersialkan ke pasaran tempatan dan antarabangsa.

Menerusi syarikatnya itu, beliau mengeluarkan empat produk serai wangi untuk kegunaan isi rumah iaitu pencegah lipas dan tikus, sabun dan minyak urut.

Produk yang paling mendapat sambutan ramai adalah pencegah lipas dan tikus di mana ia mempunyai keistimewaan tersendiri kerana tidak menggunakan bahan berbahaya.

“Kebanyakan pelanggan memuji produk ini di mana mereka menyatakan bahawa ia berkesan dan tidak mempunyai bau yang kurang menyenangkan,” katanya.

Beliau berkata, produk keluarannya boleh didapati melalui jualan ejen yang dilantik di beberapa negeri di Semenanjung.

“Setakat ini, saya mempunyai empat ejen yang berada di Perak, Terengganu, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. Untuk pasaran di tempat lain, jualan produk Awin dibantu perkhidmatan sub ejen,” katanya.

Ketika ditanya perancangan akan datang, beliau bercadang untuk mengeluarkan dua lagi produk keperluan rumah berasaskan serai wangi dalam tempoh jangka panjang.

Kesemua produk tersebut akan diletakkan dalam satu pek bagi memudahkan orang ramai mendapatkannya melalui satu harga.

“Ini adalah strategi kami untuk memantapkan jualan produk dan ia diharapkan membantu sasaran dalam memastikan produk jenama Awin berada di pelbagai pasaran menjelang 2013.

“Selain itu, kami juga berhasrat untuk mengeksport produk ini ke luar negara menjelang 2020, iaitu selepas kami berjaya mengukuhkan pasaran tempatan,” katanya.