JAMBATAN Victoria di Karai dibina pada 1897 dan siap pada 1900. Sesuai dengan usianya yang melebihi 100 tahun, sudah pasti banyak cerita di sebalik kewujudan jambatan kereta api yang gah di Tanah Melayu suatu ketika dahulu.

Dikatakan, Inggeris pernah mengebom jambatan tersebut ketika Jepun menjajah Tanah Melayu, bertujuan menghalang tentera Jepun menggunakannya bagi merentasi Sungai Perak.

Kisah pengeboman itu tersebar luas, malah sehingga kini dikongsi secara turun-temurun.

Namun, penduduk Kampung Seberang Karai, Syed Hamid Syed Mat Ali, 73, menafikan jambatan berusia 117 tahun itu pernah dibom Inggeris, sebaliknya ada cerita lain terjadi.

Menurutnya, pihak Inggeris membuka skru di jambatan tersebut lalu membiarkannya jatuh ke dalam sungai dan nampak seakan-akan dibom.

“Mana ada kena bom, orang Inggeris saja buat cerita konon jambatan ini dibom padahal mereka kerat jambatan ini sebab tak nak bagi tentera Jepun lepasi. Bila jambatan jatuh ke sungai, tentera Jepun tersangkut.

“Tentera Jepun sebenarnya yang naikkan semula jambatan ini dan sambung semula. Cerita jambatan dibom memang ramai tahu tapi sebenarnya tak pernah kena bom pun.

“Pakcik tinggal di sini sejak kecil, ibu ayah pun lama di sini. Kami tak pernah nampak jambatan ini dibom, kalau dikerat memang ada tapi bom memang tiada,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Aris Ishak, 63, turut berkongsi cerita sama.

Menurutnya, Inggeris mungkin mengatakan jambatan itu dibom kerana mahu cerita mereka nampak lebih gah, sekali gus menakutkan tentera Jepun yang mahu menakluki kawasan itu.

“Kalau mereka kata jambatan itu dibuka skrunya, dengar biasa-biasa saja tapi bila cerita kata mereka bom jambatan itu, nampak gah. Kita yang dengar pun rasa takut dan kagum.

“Tapi kalau ikutkan cerita ibu bapa pakcik, memang jambatan ini tak pernah dibom cuma kisah jambatan ini dibom memang tersebar luas. Gambar mengatakan Inggeris mengebom jambatan ini pun ada,” katanya.

Tiang ada penunggu

Berusia lebih 100 tahun, pastinya ada banyak lagi cerita berkaitan jambatan itu, malah kisah misteri di monumen itu pernah menjadi bualan penduduk.

Plat asal pembinaan Jambatan Victoria.

Menurut Syed Hamid dan Aris, antara kisah paling popular dalam kalangan penduduk adalah bunyi tangisan pada salah satu tiang jambatan terutama pada waktu hujan renyai.

Ujar Aris, banyak cerita pernah disebarkan termasuk mengatakan ada mayat ditanam pada tiang di jambatan itu bertujuan mengukuhkannya dan mewujudkan penunggu di situ namun kesahihan cerita itu tidak dapat dipastikan.

“Kalau dengar cerita orang dulu-dulu, bila nak bina jambatan terutama jambatan besar begini, mesti akan ada upacara ‘makan darah’, tak tahulah betul ke tidak.

“Tapi cerita dengar tangisan di tiang jambatan itu memang ada. Orang kata bila hujan renyai, malam pula tu, memang boleh dengar. Sekarang tak pasti ada lagi atau tak, tapi seram jugalah,” ujarnya.

Menurut Syed Hamid, kisah wanita berpakaian serba putih naik ke jambatan dan hilang tiba-tiba pernah menggemparkan penduduk di situ.

“Mujur saya tak pernah nampak. Ikut cerita orang, mereka nampak seorang wanita naik jambatan, pakai putih saja. Bila dah sampai atas, tiba-tiba hilang. Ramai jugalah pernah jumpa.

“Banyak cerita jambatan ini sebenarnya. Dulu masa belum ada jambatan besi, kami lintas pakai jambatan papan. Ramai juga jatuh dalam Sungai Perak sebab laluan sempit.

“Tapi semuanya selamat, ada cedera sikit-sikit. Dulu sungai tak dalam sangat, kuranglah bahaya tapi bila banjir besar pada 1967, sungai jadi makin dalam. Kalau sekarang jatuh, rasanya memang boleh lemas,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • VIETNAM sedang pesat membangun, tanda-tandanya jelas kelihatan di merata tempat.
  • SENYUMAN, riang tawa kanak-kanak Rohingya di kem Asean Village, Balukhali, Cox’s Bazar, Bangladesh sudah cukup menggambarkan betapa leganya hati mereka berada di kem yang terbina hasil daripada program SINAR4ROHINGYA.
  • ORANG selalu beranggapan, kedai-kedai kopi atau gerai di Kelantan memang menyediakan makanan manis dan akhirnya ia menjadi salah satu faktor penyebab penyakit kencing manis, namun ia sebaliknya pula berlaku.
  • BANGLADESH. Satu blok, sekurang-kurangnya satu masjid dan maahad tahfiz. Itu antara sistem infrastruktur penempatan pelarian Rohingya di Kem Balukhali, di Cox's Bazar, Bangladesh.
  • KITA sering terdengar rungutan orang mengenai kerja, stresslah, banyak kerja lah, tiada 'life' lah, malah ada juga yang ambil mudah terus berhenti kerja.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.