• Mahir seni kraf jana pendapatan asnaf
1 /

Menghasilkan barangan kraf menjadi kegemaran tiga wanita gigih, Siti Hawa Hassan, 42, Siti Suzie Ismail, 51, dan Zubaidah Kusaini, 20-an. Bagi mereka, bahan tersebut mampu digunakan untuk menghasilkan barang kreatif yang unik dan cantik dan boleh dijadikan cenderahati mahupun barangan perhiasan rumah.

Lebih menarik, jika kraf tangan yang dihasilkan itu mendapat perhatian ramai pihak. Mungkin dari sini, mereka yang memiliki bakat dalam pembuatan kraf mampu menjana kewangan sampingan meskipun dilakukan sekadar hobi.

Penulis berpeluang menemu bual tiga wanita ini ketika berkunjung ke D’Asnaf Kraf, yang terletak di Meru, Klang. Masing-masing ada kemahiran dan bakat tersendiri dalam pembuatan barangan kraf. Sepanjang bersama mereka, banyak cerita menarik berkaitan hobi dan minat mereka boleh dikongsi.

Bagi Siti Hawa, 42, berkemahiran dalam pembuatan produk kraf anyaman rotan memberi kelebihan berganda buat dirinya. Ibu tunggal kepada empat anak berusia 13 hingga 19 tahun ini berkata, pelbagai produk rotan boleh dihasilkan seperti bakul buah-buahan, perabot, bunga telur dan bingkai cermin.

Selain kegunaan sendiri, produk tersebut dijual secara kecil-kecilan kepada kalangan rakan. Siti Hawa akui bahawa penghasilan sesuatu produk rotan itu bukanlah perkara mudah. Ia memerlukan ketekunan dan kesabaran tinggi dalam menyiapkannya.

“Saya bersyukur miliki kemahiran membuat produk berkenaan. Semuanya hasil tunjuk ajar ibu saudara saya, Supiah Ramli yang memang berkecimpung dalam pembuatan kraf sepenuh masa,” ujarnya.


Nilai kreativiti

Siti Hawa adalah peserta D’Asnaf Kraf dalam menyiapkan produk kraf. Dia akui ada kalanya tak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan. Bagaimanapun, dia berusaha untuk memenuhi tempahan tersebut kerana tidak mahu mereka berkecil hati.

“Sebagai asnaf, tempahan membuat produk rotan daripada sahabat handai sedikit sebanyak menambah pendapatan keluarga. Lagipun pihak D’Asnaf Kraf tidak pernah mengekang minat saya ini sebaliknya menyokong saya agar terus berusaha mengubah kehidupan keluarga ke arah lebih selesa,” katanya.

Jika Siti Hawa berbakat dalam membuat produk rotan, Siti Suzie pula berkemahiran dalam anyaman kertas daripada surat khabar dan majalah.

Dia yang juga ibu tunggal berkata, menghasilkan produk daripada anyaman berkenaan memang sukar namun jika ada kemahuan dan bakat semula jadi, semuanya menjadi mudah.

“Contohnya, produk seperti bakul dan bekas telur memerlukan penelitian sepenuhnya jika mahukan hasil terbaik. Malah kreativiti si pembuat dapat menambah nilai produk tersebut seperti menghiasinya dengan reben dan manik. Jika mahukan warna yang lebih cantik, warnakannya dengan tiga warna yang berlainan seperti Golden Pine, Pitch Pine dan Mohagany,” katanya.

Siti Suzie yang amat meminati bidang pembuatan seni itu berkata, kraf tangan yang dihasilkan pembuat kraf sepertinya wajar diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

“Walaupun nampak macam biasa, namun kraf tangan ini wajar diberikan pengiktirafan kerana ia adalah satu hasil seni yang diterjemahkan seseorang yang berbakat. Bukan semua orang mempunyai bakat dan kemahiran ini. Jadi tidak salah jika kita menghargainya,” jelasnya.


Tambah duit poket

Siti Suzie yang juga asnaf memberitahu, sebanyak 20 bekas telur kertas dapat dihasilkan dalam masa sehari. Bagaimanapun kuantiti menyiapkan bekas telur kertas itu bergantung pada teknik anyaman dan masa.

“Saya sebagai peserta D’Asnaf Kraf, masa seharian bertumpu di sini. Namun begitu, saya seronok kerana banyak belajar kemahiran pembuatan barangan kraf seperti kraf tempurung kelapa dan perhiasan wanita,” ujarnya kepada penulis.

Manakala Zubaidah melibatkan diri dalam bidang kraf dek minatnya di samping dapat mengisi masanya dengan menghasilkan sesuatu yang boleh menjadi sumber pendapatan untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Sebagai anak asnaf, dia turut mempelajari kemahiran membuat membuat produk perhiasan wanita yang diperbuat daripada mutiara, kristal, manik dan batu.

“Perhiasan wanita seperti gelang, rantai, cincin, kerongsang dan tasbih dapat dihasilkan setelah mendapat tunjuk ajar daripada mereka yang pakar. Jika sudah minat, kerja tangan susah jadi mudah,” ujarnya sambil tersenyum.

Zubaidah menganggap dirinya bertuah kerana memiliki kemahiran dalam menghasilkan perhiasan wanita, seterusnya boleh dikembangkan untuk dijadikan sumber pendapatan.

“Memang ada yang cakap kenapa saya sanggup berkecimpung dalam pembuatan kraf sedangkan bidang itu lebih sesuai dimonopoli individu yang berusia 30 tahun ke atas. Bagi saya, hobi dalam pembuatan kraf tangan boleh dilakukan sesiapa saja tanpa mengira usia.

"Mereka mungkin tidak tahu hanya disebabkan hobi inilah saya mampu menambah duit poket dan seterusnya membantu keluarga,” katanya yang kini semakin ligat menerima tempahan perhiasan wanita daripada pelanggan.