• Lukisan payung tonjol keunikan Thailand
1 /

“Cantik lukisan bunga di atas payung hiasan ini,” detik penulis di dalam hati. Dek keterujaan melihat himpunan payung hiasan yang berwarna-warni itu pada Pameran Perdagangan Thailand 2012 di Pusat Pameran Mid Valley baru-baru ini, penulis disapa seseorang. “Boleh saya bantu,” ujar seorang lelaki. “Ya, sudah tentu. Boleh saya tahu siapa yang melukis lukisan bunga di atas payung hiasan ini?” aju penulis. “Sayalah,” kata lelaki yang mahu dikenali sebagai Jarin Kantapeng itu.

Kelihatan Jarin, 38, seperti segan untuk ditemu bual apabila penulis memperkenalkan diri. Namun, setelah diterangkan tujuan, barulah dia bersetuju untuk berkongsi cerita dengan pembaca Sinar Harian. Dia memberitahu minatnya terhadap seni lukis sejak kecil lagi. Kemahiran melukisnya itu lebih terarah kepada objek tertentu seperti motif bunga, mural dan potret.

Ketika mengikuti pengajian di Universiti Chiang Mai, Thailand beberapa tahun lalu, Jarin memilih jurusan seni dek minatnya dalam bidang tersebut. Di universiti, dia berpeluang untuk melahirkan sebarang idea kreatif dalam menghasilkan sesebuah kreativiti dan membuat lakaran, seterusnya menarik minat orang ramai untuk mengikuti karya terbabit.

“Apabila anda berada dalam dunia seni, sudah pasti estetika dan kecantikan kraf yang dihasilkan si pengkarya akan terarah kepada latar belakang budaya negara sendiri. Secara langsung, anda dapat memperkenalkan keindahan seni itu daripada mereka yang datang dari negara yang berbeza. Dari sinilah lahirnya keseronokan sepanjang berkarya,” katanya.

Berkecimpung selama 20 tahun dalam seni melukis terutamanya melukis motif bunga di atas payung hiasan memberikan banyak pengalaman indah buat Jarin.


Pendapatan sampingan

Selain melukis di tempat sendiri, Jarin juga berpeluang melukis di luar negara melalui penyertaannya dalam pameran tertentu. Kebiasaannya dia dan sahabatnya, Phornphilai Phungphee, 32, akan bergerak bersama-sama apabila adanya tawaran mengadakan demonstrasi lukisan di atas payung hiasan di mana sahaja.

“Malaysia dan Vietnam adalah antara negara yang pernah kami sertai. Memang seronok apabila berada di negara orang. Selain dapat mengenali budaya mereka, kami juga sempat beramah mesra dengan masyarakat di sini. Semuanya baik hati dan peramah,” kata Jarin.

Walaupun sudah 20 tahun mampu melukis objek di atas payung hiasan, namun dia masih belum dapat bergelar pelukis profesional.

“Jika di Thailand, pelukis profesional mampu menyiapkan 100 unit lukisan bunga di payung dalam tempoh sehari. Saya masih belum mencapai tahap itu lagi. Mungkin disebabkan terikat dengan kerjaya, jadi sukar untuk saya memberi tumpuan sepenuhnya pada hobi ini,” ujarnya.

Sementara itu, Phornphilai berkata, payung hiasan yang dilukis oleh mereka berdua bukanlah untuk digunakan apabila tibanya musim hujan.

“Ini adalah barangan kraf yang dijadikan perhiasan di rumah, pejabat atau di mana sahaja. Walaupun hobi, kami tetap melihat ia mampu memberi peluang untuk menambah kewangan. Misalnya, pada kali ini, selain mengadakan demonstrasi melukis pada orang ramai, kami turut mengadakan jualan payung hiasan. Harga untuk satu unit payung kecil dan payung besar adalah sekitar RM10 hingga RM85,” katanya.


Pameran yang menarik

Jarin berkata, penggunaan berus dan cat acrylic sahaja diperlukan untuk melukis motif bunga atau apa sahaja objek di atas payung hiasan.

Menurutnya, kedua-dua bahan berkenaan mudah didapati di semua tempat malah harganya yang berpatutan boleh dimiliki oleh semua orang. Manakala tempoh menyiapkan lukisan payung tidak mengambil masa yang lama.

“Untuk payung besar, masa diperlukan dalam setengah jam manakala payung kecil hanyalah 10 minit sahaja. Setakat ini tiada keluhan atau rungutan diterima daripada pelanggan atau peminat kraf terhadap lukisan payung ini. Rata-ratanya memuji hasil yang kami tampilkan,” kata mereka yang berhasrat mahu membawa keunikan lukisan payung hiasan itu hingga ke peringkat lebih tinggi.

Melihat kunjungan orang ramai yang datang melihat demonstrasi lukisan payung dan ada antaranya berbual-bual dengan Jarin dan Phornphilai, penulis berkesempatan untuk meninjau di sekitar pameran yang berlangsung pada ketika itu.

Apa yang boleh dikongsi, pelbagai hasil kraf tangan Thailand dijual di samping banyak juadah boleh dinikmati yang didatangkan khas dari segenap pelosok Thailand. Pengunjung pameran tersebut itu juga turut menawarkan pakej percutian ke destinasi popular.

Semua pengunjung berpeluang untuk memenangi tiket pergi dan balik kelas bisnes ke Chiang Mai tajaan Thai Airways dengan mengisi borang penyertaan yang boleh didapati di kaunter penganjur.
Persembahan tarian tradisional Thailand turut diadakan di atas pentas selain aktiviti permainan dan sesi memasak secara langsung daripada restoran Thai yang terkenal.