• Bekalan minyak pati disimpan dalam botol bagi dipamerkan di galeri mini BBC. Bekalan minyak pati disimpan dalam botol bagi dipamerkan di galeri mini BBC.
1 /

AROMATERAPI bukanlah satu perkara baru dalam dunia kesihatan dan kecantikan kerana ia sudah mula digunakan oleh manusia kira-kira 6,000 tahun dahulu sebagai kaedah untuk meningkatkan tahap kesihatan badan, minda dan emosi.

Amalan yang menggunakan pati ekstrak semula jadi daripada tumbuh-tumbuhan beraroma khas itu dilihat mampu untuk menyeimbangkan badan dan minda serta memberikan kesan dan dimensi baru dalam hidup manusia.

Ketika ini, pelbagai pilihan produk aromaterapi terdapat di pasaran yang mana ia tampil dengan formulasi dan ramuan tersendiri serta menawarkan khasiat tertentu bagi digunakan oleh setiap lapisan masyarakat terutama buat pengusaha spa dan orang ramai.

Koperasi Usahawan BiGDee Selangor Berhad (KUBSB) merupakan antara syarikat Bumiputera yang turut menghasilkan produk minyak aromaterapi untuk memberi pilihan kepada pengguna dalam memilih bahan berkualiti.

Produk yang menggunakan jenama BiGDee Magic Potions itu mempunyai kelainan tersendiri kerana ia dihasilkan secara bioteknologi dengan menggunakan kaedah fermentasi fungus ke atas campuran bahan semula jadi seperti buah-buahan, rempah dan herba perubatan.

Setiausaha KUBSB, Dr Mariyah Talib berkata, kaedah itu boleh dikatakan satu teknologi baru kerana lazimnya, industri minyak pati komersial menggunakan tiga kaedah untuk menghasilkan produk iaitu penyulingan stim, penggunaan pelarut dan pemerahan.

Menurutnya, mereka membangunkan kaedah berdasarkan fungus kerana ia mempunyai pelbagai bentuk dan khasiat tersendiri serta boleh menghasilkan enzim baik bergantung pada tempoh pemeraman (fermentasi) dan tujuan produk.

“Terdapat sesetengah pihak salah faham tentang kaedah yang kami gunakan kerana mereka menyangka benih fungus dicampurkan sekali. Pada hakikatnya, campuran bahan tersebut akan menghidupkan fungus dan menghasilkan minyak pati,” katanya pada InfoAgro.

Beliau berkata, kaedah ini amat unik kerana kandungan tumbuhan boleh digunakan sebelum proses pemeraman lagi sehingga ke proses akhir kerana tiada bahan beracun diaplikasikan dalam menghasilkan minyak pati Produk hasil kajian sendiri.

Untuk kaedah ini, tempoh masa pemeraman pula adalah tidak terhad cuma lebih lama bahan diperam maka produk yang dihasilkan lebih berkualiti dan keberkesanannya semakin meningkat.

“Idea untuk melaksanakan kaedah ini tercetus daripada hasil kajian kami sendiri dan bukan daripada luar negara meski pun terdapat kajian berkaitan perkara itu di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis.

“Kami mempunyai pengasas yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam pembiakan fungus berpotensi untuk farmaseutikal dan kecantikan. Apa paling menarik, segala proses pembuatan dilakukan sendiri oleh kakitangan kami,” katanya.

Buat masa ini, KUBSB sudah pun menghasilkan pelbagai jenis aromaterapi dan masih memiliki banyak lagi spesies fungus yang mampu menghasilkan pelbagai jenis nutrien seperti vitamin A, C dan kalsium.

BiGDee Magic Potions mempunyai sembilan jenis produk berasaskan aromaterapi yang dibahagikan kepada dua segmen penggunaan iaitu kecantikan dan kesejahteraan.

Ia mempunyai kandungan nutrien dan vitamin tinggi serta tidak mempunyai bahan kimia, pengawet dan pewarna tiruan. Apa paling penting, produk ini amat berbaloi dengan harga serta sesuai untuk digunakan seisi keluarga.

Antara kegunaan minyak pati ini adalah untuk membantu merawat luka, kulit gatal, strok, dan boleh dijadikan sebagai kit bantuan untuk sebarang kecemasan.

“Sehingga kini, produk jenama kami telah digunakan dan boleh didapati di 500 lokasi seluruh negara meliputi spa, farmasi dan orang perseorangan,” katanya.

KUBSB turut mengusahakan Galeri BiGDee House Of Magic Potions di Taman Royal Lily, Cameron Highlands untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat variasi jenama minyak itu secara lebih dekat.

Galeri aromaterapi dunia

Premis ini menempatkan lebih 100 jenis dalam bekas kaca pelbagai saiz di mana semuanya mengeluarkan aroma harum dan lembu. Selain itu, kepelbagaian warna dan kelembutan tekstur minyak dan serum pasti mengujakan pelancong.

Galeri ini merupakan galeri aromaterapi pertama di dunia dan ia sudah pun menerima kunjungan pelancong tempatan dan luar negara seperti Dubai, Nigeria dan Jepun.

Selain Taman Royal Lily, KUSB turut menyediakan sebuah galeri mini dan kemudahan spa di Taman Agroteknologi Mardi, Cameron Highland dikenali BiGDee Beauty Cottage (BBC).

Sebuah banglo era British yang terletak di tengah kebun teh dipilih sebagai lokasi bagi memberi pengalaman menarik kepada pengunjung. Tambah menarik, ia turut menyediakan kemudahan spa yang menawarkan terapi kesihatan dan kecantikan berkonsepkan aromaterapi.

Premis ini membentuk sebuah bahagian utama dalam Mini Agro-Forestry Village dan mula dibuka kepada pengunjung pada pertengahan September lalu. Ia dianggap satu komponen baru untuk menarik kunjungan pelancong ke Cameron Highlands dan stesen Mardi.

Mariyah yang juga Pengurus Pemasaran BBC berkata, idea untuk menempatkan kedua-dua tarikan ini datangnya daripada hasrat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar yang melakukan kunjungan ke galeri mereka di Royal Lily, beberapa bulan dahulu.

Menurutnya, Noh mencadangkan supaya mewujudkan mini galeri dan spa di sana bagi melonjakkan teknologi agro tempatan ke tahap global dan menjadikan produk mereka sebagai produk agro yang menepati standard dunia.

“Saya melihat penubuhan galeri dan spa ini boleh memainkan peranan dalam memberi kefahaman kepada mereka tentang tumbuhan herba tempatan

“Untuk merasai kenikmatan aromaterapi, pengunjung perlu datang ke galeri dan spa kami untuk mencuba kerana ia akan memberikan pengalaman eksotik di samping mampu merehatkan minda dan fizikal mereka,” katanya.