KUALA LIPIS - Kuala Lipis adalah ibu negeri Pahang dari 1898 hingga 1953 sebelum Kuantan diiktiraf sebagai pusat pentadbiran negeri pada tanggal 27 Ogos 1955.

Daerah ini sememangnya terkenal dengan tempat kelahiran beberapa nama besar negara, antaranya Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; bekas menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Tun Muhamad Ghazali Shafie; wartawan, penulis dan aktivis politik, Ishak Muhammad atau lebih dikenali sebagai Pak Sako, chef selebriti terkenal, Redzuwan Ismail atau Chef Wan dan penyanyi kesayangan negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

Bandar Kuala Lipis yang pernah menjadi ibu negeri Pahang pada abad ke-19 semasa pentadbiran era kolonial di bawah Residen British, Sir Hugh Clifford adalah bandar transit pengunjung dan kenderaan dari Lembah Klang ke Kelantan.

Selain itu, bandar Lipis yang juga  bekas ibu negeri Pahang turut menempatkan 14 bangunan bersejarah yang didirikan ketika pentadbiran British.

Antaranya, pejabat pos (1910), Clifford School (1913), kediaman bekas SUK Pahang (1920), Rumah Residen (1922), Istana Hinggap (1926), Asrama Jururawat (1926), Stesen Keretapi (1926), Clifford Malay Hostel (1926) dan Rumah Pegawai Daerah (1929) memperlihatkan reka bentuk bangunan hasil cita rasa Pegawai Kolonial British ketika itu.  

Dari segi reka bentuk bangunan di Bandar Lama Kuala Lipis itu pula, kajian menunjukkan kepelbagaian ciri seperti ‘art deco’, ‘utilitarian’, ‘sino-palladian’, dan ‘straits eclectic’.

Sesuai dengan tempat yang pernah jadi pusat logistik pentadbiran dan ketenteraan British abad ke-19, tinggalan sejarah di daerah Lipis sewajarnya perlu dikaji oleh pihak-pihak yang berkunjung ke sini.

Pulihara bangunan sejarah

Status Kuala Lipis sebagai bandar bersejarah tetap akan terus dipertahankan menerusi projek pemuliharaan dan keindahan dilakukan Majlis Daerah Lipis (MDL).

Sehingga kini, majoriti bangunan bersejarah itu masih berfungsi dan diguna pakai termasuk Bangunan Kerajaan yang menempatkan pejabat MDL dan Rumah Residen yang diubahsuai menjadi rumah rehat.

MDL menganjurkan pelbagai aktiviti seperti ‘treasure hunt’ membabitkan 14 bangunan sejarah dan merealisasikan acara dan karnival bagi tujuan promosi bersama agensi pelancongan negeri.

MDL juga menaik taraf rumah Setiausaha Kerajaan Negeri yang terletak di Bukit Bius, sebagai Muzium Warisan Sejarah yang mempamerkan pelbagai artifak keluarga bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abd Razak Hussein.

Usaha ini sebagai kerangka mengingati rumah yang pernah menjadi tempat kelahiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak  dan juga tarikan pelawat.

Muzium tersebut dibuka kepada orang ramai sejak 2011, menempatkan lebih 100 jenis artifak kolonial British, Kesultanan Melayu Pahang dan tokoh politik tempatan.

Rancak bina premis baharu

Sektor perniagaan dan pelancongan di Lipis juga semakin berkembang menerusi peranan utama MDL.

Pihak berkenaan giat  merancang serta memacu pembangunan bandar bersejarah berkenaan,  sekali gus bermanfaat sebagai pusat pertumbuhan ekonomi setempat.          

Projek pembinaan premis baharu antara fokus utama pembangunan bandar apabila lokasi Bukit Residen dan Bandar Baharu Lipis telah dan sedang rancak dibina pelbagai prasarana perniagaan.

Berasaskan hakikat itu, Pusat Perniagaan Bukit Residen yang tersergam megah memberi pelbagai perkhidmatan sosial dan kemudahan berbelanja dalam kalangan penduduk Lipis.

Hasrat MDL juga untuk merancakkan sektor perniagaan menerusi pembabitan golongan usahawan Bumiputera di daerah berkenaan menerusi pasaran produk tempatan dan barangan dari luar.