LEBIH 10 tahun memegang tampuk pimpinan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Jerantut Feri bukanlah sesuatu yang mudah untuk ditempuhi.

Malah pelbagai karenah lebih 6,000 penduduk meliputi pelbagai kaum perlu dilayan malah ditempuhi pengerusinya, Sabri Kamaludin, 49, dengan sabar dan berhemah supaya permasalahan yang utarakan dapat ditangani dengan baik.

Menurut Sabri, perkara itu hanyalah sebahagian kecil cabaran yang perlu dihadapinya sepanjang menjadi ketua di Kampung Jerantut Feri yang  mempunyai 11 buah kampung tradisional, empat perkampungan Orang Asli dan empat taman perumahan.

“Menjaga satu kawasan yang agak luas, cabaran yang paling getir bagi saya adalah untuk memastikan keseluruhan penduduk mendapat maklumat yang disampaikan.

“Kerana kawasan di bawah JKKK Jerantut Feri meliputi banyak kampung, sudah semestinya ada antara penduduk yang tercicir daripada mendapat maklumat yang ingin disampaikan,” katanya.

Menurutnya, justeru JKKK menjadikan Masjid Jerantut Feri sebagai medium penyebaran maklumat dengan berharap dapat mengatasi kekurangan itu.

“Kami jadikan masjid sebagai tempat untuk menyebarkan apa juga jenis maklumat dengan harapan jemaah yang hadir terutamanya ketika solat Jumaat mendapat maklumat yang disampaikan kemudiannya menyampaikannya pula kepada orang lain.

Sabri (kanan) turut mengambil berat saat penduduknya ditimpa musibah.

“Selain itu, kami juga melantik wakil setiap kampung dan perumahan untuk bantuk salurkan maklumat kepada penduduk selain tmelibatkan juga ketua komuniti seperti Kawasan Rukun Tetangga (KRT), polis dan wakil klinik kesihatan untuk menghadiri mesyuarat JKKK,” katanya.

Dalam pada itu Sabri berkata, sebagai ketua kampung yang kelima selepas mantan ketua kampung, Wahab Berahim, sudah tentu pelbagai jenis pembangunan selama berkhidmat lebih 10 tahun.

“Antaranya ialah mendapatkan lampu jalan di kawasan kampung terutamanya di laluan-laluan utama yang sebelum ini agak gelap untuk dilalui.

“Selain itu, saya juga berjaya mendapatkan sebuah dewan serbaguna dan gelanggang futsal yang dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk setempat untuk pelbagai jenis aktiviti kemasyarakatan,” katanya.

Menurutnya, Kompleks Niaga Jerantut Feri juga berjaya disediakan sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada penduduk untuk menambah pendapatan melalui perniagaan yang dijalankan.