$entry.content.caption.value
Lawatan ke penjara bukanlah satu aktiviti yang disenangi ramai. Namun, jika anda berada di Fremantle, Australia Barat, jangan pula lepaskan peluang melawat Penjara Fremantle yang menjadi tarikan pelancongan. Penjara berkenaan, yang kini menjadi muzium dan dibuka kepada umum, masih mengekalkan ciri dan suasana muram sebuah penjara.
Sesiapa sahaja yang berjalan melalui koridornya yang sejuk dan lembap sambil melintasi sel penjara berukuran 1.2 meter x 2.1 meter pasti akan terasa seram sejuk, lebih-lebih lagi setelah mendengar kisah yang diceritakan warden Paul Coates, 82.
Struktur batu kapur penjara itu dibina banduannya sendiri sekitar 1850-an. Ia dahulunya dikenali sebagai Convict Establishment. Usia bangunan itu sahaja sudah cukup untuk menambahkan elemen seram kepada pelancong, ditambah dengan cerita Coates yang cukup meyakinkan.
Penjara itu dipindah milik kepada kerajaan kolonial pada 1886. Ia berfungsi sebagai penjara berkawalan maksimum sehinggalah ditutup pada 1991. Setelah digunakan sebagai penjara selama 136 tahun, ia dibuka kepada umum pada tahun itu sebagai sebuah muzium.
Bagi Coates, penjara itu bagaikan rumah keduanya. Beliau begitu selesa membawa pelawat melalui pelbagai koridor dan laman sambil menceritakan kisah-kisah di penjara dengan nada seram dan kadangkala bergurau. Seramai 42 lelaki dan seorang wanita menjalani hukuman gantung di situ.
Meremang bulu roma
Pada tahun-tahun pertama penjara itu mula beroperasi, kanak-kanak dikurung dalam lokap yang sempit kerana kesalahan kecil seperti mencuri buah oren. Pelawat seolah-olah dapat mendengar raungan kanak-kanak yang ketakutan akibat dikurung di ruang kecil dengan hanya sebuah baldi kecil untuk membuang air kecil atau besar.
Tahun berganti tahun, barulah saiz sel penjara dibesarkan dan dilengkapi dengan katil dua tingkat untuk dikongsi banduan. Ada juga banduan yang mula menghias dalaman sel mereka dengan melukis mural, menjadikan suasana di sel itu sungguh berbeza berbanding kemuraman sel penjara yang lain.
Menjelang 1920-an, kawasan penjara itu kian dikembangkan dan tenaga elektrik mula dibekalkan ke blok utama. Lampu mula dipasang namun pada mulanya hanya dapat digunakan pada April dan November sahaja. Punca kuasa hanya mula dipasang dalam sel pada 1980-an.
Pelawat dapat melihat tali gantung yang terapung di atas bahagian lantai yang akan “jatuh” ketika pesalah menerima hukuman, menyebabkan tali itu membelit lehernya sampai mati. Menurut Coates, proses itu hanya mengambil masa sepertiga daripada sesaat.
“Lagi berat pesalah, lagi cepat, manakala lagi ringan, lagi lama,” jelasnya, membuatkan pelawat terbayang-bayang saat seseorang pesalah digantung.
Pesalah di Penjara Fremantle dihukum gantung kerana kesalahan membunuh. Namun mereka yang bakal menjalani hukuman mati tidak akan dapat melihat tempat gantung kerana kain hitam akan disarungkan di kepala mereka sebelum memasuki bilik itu, yang dibina pada tahun 1888. Tangan dan kaki mereka juga akan digari dengan belenggu yang dibuat daripada kulit binatang.
Pada hari hukuman, pesalah akan digerakkan pada pukul 5.30 pagi dan dibenarkan mandi terlebih dahulu. Selepas sarapan pagi, dia akan dikurung dalam sel tahanan persendirian. Di situ, pesalah akan diperhatikan. Mereka diberi pilihan untuk mendapatkan segelas wiski dan khidmat paderi atau seumpamanya. Perjalanan dari sel tahanan persendirian ke tali gantung mengambil masa hanya beberapa minit.
Sub heading
Kata Coates, pesalah terakhir yang digantung di Penjara Fremantle ialah Eric Edgar Cooke, pada 1964. Cooke adalah seorang pembunuh bersiri. Walaupun dia hanya didakwa dan disabitkan kesalahan bagi satu pembunuhan, bukti serta pengakuan secara sukarela dari Cooke menunjukkan bahawa dia telah membunuh ramai mangsa di pedalaman Perth selama tiga atau empat tahun.
Hukuman gantung terakhir di Australia adalah pada 1967, di Melbourne. Pada Julai 1984, hukuman mati di negara itu telah dihapuskan sama sekali.
Sejarah dilakar di Penjara Fremantle pada Januari 1988, ketika banduan merusuh dan mengakibatkan kebakaran yang menyebabkan kerugian sehingga A$1.8 million.
Pelawat juga dibawa melawat ke gereja kecil di penjara itu yang dinamakan The Anglican Chapel. Gereja itu mula dibina pada 1855 dan siap sepenuhnya pada 1858.
Coates berkata ada ruangan khas di belakang gereja itu untuk mereka yang beragama lain bersembahyang, termasuk penganut Islam. Gereja itu masih memainkan peranan penting hari ini sebagai tempat melangsungkan perkahwinan.
“Ada bekas banduan yang kembali ke sini untuk melangsungkan perkahwinan mereka,” katanya.
Kerajaan Australia Barat telah menjaga lokasi penjara itu yang berkeluasan enam hektar dengan baik. Ini termasuk kawasan rumah pengawal, terowong, kotej dan karya seni banduan.
Penjara itu turut dilengkapi kemudahan seperti kafe, kedai cendera hati, kedai ais krim dan jurugambar.
Ogos lepas penjara ini telah dimasukkan dalam senarai Tapak Warisan Dunia Unesco. Turut masuk dalam senarai adalah 10 lokasi penjara Australia yang lain.




