Langkah bijak dan selamat hadapi air bah
$entry.content.caption.value

Hujan lebat tanpa henti yang mengakibatkan air sungai melimpah, kini mula menimbulkan kebimbangan penduduk di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia. Keadaan kelam kabut berlaku baru-baru ini apabila Kajang dilanda banjir kilat dan menyebabkan seluruh bandar itu lumpuh. Ini berpunca daripada hujan lebat tanpa henti selama beberapa jam yang menyebabkan air Sungai Langat melimpahi tebing.

Banjir kilat ialah bencana banjir yang muncul tanpa amaran. Soalnya adakah rakyat Malaysia sentiasa bersedia menghadapinya secara mengejut?

Pengarah Khidmat Bantuan International SOS yang berpangkalan di sini, Yunus Bayat memberikan beberapa nasihat untuk mereka yang tinggal di kawasan yang mudah dilanda banjir, mengenai apa yang perlu mereka lakukan bagi mengelak daripada risiko besar semasa banjir.

“Mulakan dengan memindahkan perabot dan barang elektrik di dalam rumah ke tempat yang lebih tinggi, selain barang berharga dan dokumen penting.

“Ini adalah langkah pertama bagi mengelakkan anda menjadi kelam-kabut apabila air mula naik,” katanya.

Jika perlu berpindah, anda hendaklah menyediakan satu beg yang boleh memuatkan beberapa keperluan asas sekurang-kurangnya mencukupi untuk bekalan beberapa hari, nasihat Yunus.

Beliau yang pernah bertugas di Johannesburg, Afrika selatan selama empat tahun mencadangkan beg itu diisi sekurang-kurangnya dengan dokumen penting, sedikit makanan dalam tin, kotak ubat, lampu suluh, wang untuk membeli bahan-bahan perlu dan telefon bimbit yang dicaj penuh.

Kenderaan juga sepatutnya dialihkan ke tempat yang lebih tinggi bagi mengelakkan kerosakan ditenggelami air.

“Kenderaan biasa masih boleh lagi dipandu dalam banjir yang tidak melebihi enam inci tinggi,” kata Yunus.

Tambahnya, kenderaan pacuan 4-roda (4WD) merupakan kenderaan yang sesuai digunakan dalam situasi banjir.

International SOS adalah badan antarabangsa bagi bantuan penjagaan kesihatan, perubatan dan keselamatan yang mempunyai pejabat di Malaysia sejak 1996. Sebanyak 60 peratus daripada petugasnya ialah pengamal perubatan.

Dua doktor akan bertugas secara bergilir di pejabat bagi menghulur bantuan melalui kaedah tele-perubatan dan 60 jururawat bertugas di pelbagai lokasi seluruh negara.

Beliau berkata, ketika banjir berlaku, bekalan air bersih menjadi isu utama. Masak air paip sebelum diminum atau digunakan. jika ketiadaan air paip bersih, boleh juga guna air banjir tetapi hanya sebagai pilihan terakhir.

Untuk memastikan air banjir selamat diminum, segala sedimen dalam air mestilah dibiarkan mendap di dalam bekas terlebih dahulu sebelum menapis air di bahagian atas. Air yang ditapis itu kemudian boleh dimasak sehingga mendidih dan diminum.

“Air (banjir) yang dimasak itu boleh diminum tetapi hanya jika tiada bekalan air bersih. Pilihan yang lain adalah dengan menggunakan tablet pembersih yang mengandungi klorin,” katanya.

Beliau merujuk kepada kuantiti air mineral dan minuman yang begitu banyak diimport Thailand ketika banjir besar yang melanda negara itu baru-baru ini.


Bukan pesta

Timbalan Pengarah Kesihatan International SOS (Malaysia dan Singapura), Dr Alan Tan turut memberikan panduan menjaga kesihatan ketika musim tengkujuh.

“Harus diingat banjir bukanlah pesta air dan masa untuk bersuka ria. Kanak-kanak ini perlu pengawasan teliti. Jika anak itu mengalami luka ketika bermain air banjir, ia perlu dirawat segera dan dibersihkan dengan krim antibiotik," katanya.

Beliau mengingatkan bahawa anak yang mengalami luka mestilah diperiksa dengan teliti bagi memastikan tiada cacing masuk ke bawah kulit mereka.

"Pastikan anak kecil di kawasan banjir menerima vaksin terutamanya bagi anti-tetanus selain daripada imunisasi dan dos tambahan,” katanya.

Anak kecil tidak seharusnya dibenarkan bermain air banjir walaupun cetek kerana mudah dihanyutkan. Manakala anggota keluarga warga emas atau uzur, pastikan langkah segera untuk keselamatan mereka.

Jangan tunggu hingga ke saat akhir untuk memindahkan mereka ke tempat yang lebih selamat. Minta bantuan pihak berkuasa seperti hospital dan klinik.

Pihak polis atau bomba juga boleh dipanggil untuk mendapatkan bantuan berpindah.

“Warga tua dapat menerima pandangan atau nasihat jika mereka diberi penerangan yang meyakinkan mengenai situasi yang mengancam mereka. Sudah tentu mereka akan bersetuju untuk berpindah,” kata Dr Tan yang pernah bertugas di Hospital Ipoh, Perak.

Jika perlu meredah banjir hendaklah pakai kasut untuk mengelakkan daripada digigit binatang berbisa ataupun terkena kaca selain terpijak bangkai binatang yang mendatangkan jangkitan kuman.
Banjir kilat

Kuala Lumpur biasanya mengalami banjir kilat apabila hujan lebat turun tanpa henti selama beberapa jam dan keadaanya bertambah buruk sekiranya berlaku pada waktu kerja.

Bagi mereka yang terperangkap dalam banjir kilat, International SOS memberikan nasihat ini:

“Pastikan anda berada di tempat selamat.Hubungi keluarga atau jiran untuk membantu anak anda di rumah. Jika mereka terhalang untuk ke rumah anda, minta bantuan pihak polis,” kata Dr Tan.

International SOS menawarkan khidmat pengangkutan kecemasan bagi klien korporat serta ahlinya jika mereka terperangkap di dalam banjir.

Sementara itu kata Yunus: “Kami juga memberi maklumat terkini tentang situasi banjir sama ada menerusi telefon, notis kecemasan serta laman web. Kami tidak menolak sesiapa yang memerlukan bantuan.

“Kami juga memberi nasihat kepada orang awam dan bukan ahli dengan menyediakan maklumat terkini mengenai banjir di kawasan perbandaran mereka. Mereka boleh berkongsi maklumat ini dengan yang lain,” kata beliau.
Dr Tan menambah, ketika banjir pastikan tangan anda bersih dan sentiasa mencucinya dengan sabun atau sanitiser.

Ingatkan juga anak anda tentang aspek kebersihan ini dan hanya makan makanan yang dimasak dan hindari makanan yang mentah. Pencemaran boleh berlaku walaupun hanya dengan setitik air yang kotor menitik di dalam bekas besar air yang bersih.

“Taun, deman kepialu, malaria boleh berjangkit dengan cepat di kawasan banjir,” katanya.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.